Mahathir: Selatan Thailand “Tidak Mungkin” Dapat Autonomi atau Kemerdekaan

Perdana Menteri berikrar untuk memudahkan usaha damai di sepanjang sempadan wilayah dengan Malaysia.
Nani Yusof
2019.09.27
New York
190927-MY-TH-mahathir-deepsouth-620.jpg Polis Thailand memeriksa satu lubang pada dinding susulan serangan bom di sebuah pangkalan sukarelawan awam di selatan wilayah Narathiwat, 29 Dis 2018.
[AFP]

Malaysia akan terus menjadi orang tengah dalam rundingan damai di Selatan Thailand yang terjejas akibat pemberontakan, namun Bangkok tidak akan bersetuju untuk memberikan autonomi atau kemerdekaan kepada wilayah itu, kata Perdana Menteri Mahathir Mohamad kepada BeritaBenar dalam satu temu bual eksklusif.

BeritaBenar menemu bual Mahathir di New York pada Khamis, di luar Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu minggu ini. Mahathir berkata fasilitator Malaysia akan bekerjasama dengan Jeneral Wanlop Rugsanaoh, ketua Majlis Keselamatan Negara Thailand yang bakal bersara dan dilantik mengetuai delegasi Thailand dalam rundingan damai di selatan negara itu yang diumumkan pada hari sama.

“Kami akan cuba bekerjasama dengan pemimpin baharu ini, kerana kami hanya ingin mencari jalan untuk menghentikan rusuhan yang berlaku kerana pada pendapat kami, Thailand tidak mungkin akan memberikan autonomi atau kemerdekaan dan ini juga boleh menyebabkan Thailand bertindak lebih keras dan ramai lagi yang akan terbunuh,” kata Mahathir.

“Saya memandang tinggi kepada mereka yang berani dan patriotik tetapi apa gunanya jika tidak mendapat hasil yang dicita-citakan?”

Mahathir mengesahkan bahawa Malaysia merancang untuk memainkan peranan sebagai orang tengah dalam usaha damai yang diketuai fasilitator Abdul Rahim Noor.

“Kami akan meneruskan usaha kami untuk memujuk pihak-pihak di Thailand agar menghentikan tindakan yang menyebabkan ramai orang terkorban, orang yang tidak bersalah, orang yang bukan dalam pasukan tentera. Mereka perlu menimbang perkara ini, jika tidak dunia akan marah kepada mereka,” katanya kepada BeritaBenar.

“Sebaliknya, seperti yang kita tahu, kami telah berusaha selama bertahun-tahun di Filipina dan  akhirnya kami berjaya kerana kerajaan Duterte bersetuju memberikan autonomi namun bukan Thailand. Mereka telah menyatakan dari awal lagi, tiada autonomi,” kata perdana menteri itu.

Beliau merujuk peranan Malaysia dalam membantu menjayakan perjanjian damai 2014 antara Manila dan kumpulan gerila Barisan Pembebasan Islam Moro yang membawa kepada penubuhan wilayah autonomi Islam di selatan Filipina tahun ini.  

“Dan kami juga percaya peperangan tidak akan menghasilkan autonomi atau kemerdekaan, jadi lebih baik mencari jalan yang lebih selamat dan menerima hakikat bahawa Thailand tidak akan memberikan kemerdekaan kepada mereka,” kata Mahathir.

Di selatan Thailand, Malaysia telah memainkan peranan sebagai fasilitator dalam usaha damai antara kerajaaan dan MARA Patani, satu panel perunding yang mewakili puak dan kumpulan pemberontak di Selatan Thailand sejak 2015.

Kuala Lumpur juga telah mengatur rundingan damai secara langsung antara  Thailand dan Barisan Nasional Revolusi (BRN), kumpulan pemisah bersenjata terbesar di selatan wilayah sempadan itu. Bagaimanapun usaha itu menemui jalan buntu pada Disember 2013 di bawah kerajaan pimpinan awam, yang digulingkan dalam satu rampasan tentera lima bulan kemudian.

Rundingan sebelum itu menemui jalan buntu apabila ketua perunding BRN Hassan Toyib mengumumkan lima tuntutan menerusi sebuah video yang dimuat naik di YouTube yang ditolak oleh kerajaan. Dalam video itu, beliau menuntut agar Thailand memberikan kedaulatan kepada semua wilayah di Selatan Thailand dan mengiktiraf “negara Melayu Patani.”

Rundingan dengan MARA Patani juga menemui jalan buntu. Setakat ini, ia tidak membuahkan sebarang hasil dan telah dihujani dakwaan bahawa pemimpin tegar BRN, yang memberi arahan kepada gerila di lapangan, tidak mengambil bahagian dan menyokong usaha itu.

Dalam satu temu bual dengan BeritaBenar pada Julai, Sukree Hari, yang mengetuai wakil BRN dalam panel MARA Patani sehingga beliau berundur pada Mei 2019, menyelar kerajaan Thailand berhubung rundingan itu.

“Apa sahaja yang dipersetujui bersama di meja rundingan, pihak Thailand enggan menandatanganinya, dan itu adalah bukti yang jelas bahawa pihak Thailand hanya berpura-pura dalam rundingan ini, cuba melengah-lengahkan masa,” katanya semasa ditemu bual di utara Malaysia.

Pada Mac, dalam apa yang disifatkan sebagai kritikan terhadap peranan Malaysia sebagai fasilitator rundingan damai itu, BRN telah memuat naik sebuah video sempena ulang tahun ke-59nya yang menyaksikan ia meminta bantuan komuniti antarabangsa untuk menyelesaikan konflik itu, sambil berikrar untuk meneruskan perjuangannya.

“Jadi, kepada semua penduduk Patani, marilah kita meneruskan perjuangan ini sehingga ke akhir hayat,” kata jurucakap BRN yang memperkenalkan dirinya sebagai Abdul Karim Khalib dalam beberapa video yang dikeluarkan kumpulan itu pada 2013. “Bersabarlah dalam menempuh sebarang penderitaan dan kesulitan. Ketenangan abadi menanti kita.”

Ketika diminta mengulas penolakan BRN terhadap peranan Malaysia sebagai broker keamanan, Mahathir menzahirkan kesediaan untuk memberikan laluan kepada negara atau pihak lain untuk menjadi orang tengah antara kedua-dua pihak yang bertelagah.

“Ya, ia mungkin berlaku dan jika diterima oleh kedua-dua pihak, pemberontak dan kerajaan, jika mereka bersetuju, kami tidak ada bantahan terhadap sesiapa yang boleh menjadi fasilitator,” kata beliau.

 

 

Penggubal undang-undang Thailand ingin turut serta

Pada Jun, tiga ahli politik dari Pedalaman Thailand telah menggesa anggota parlimen mengambil bahagian dalam rundingan damai pada masa akan datang.

Areepen Utarasint, yang bersara dari parlimen selepas sembilan penggal mewakili wilayah Narathiwat, berkata penduduk ingin merasakan bahawa mereka mempunyai wakil di Bangkok.

Sukarno Matha, MP Pedalaman Selatan ketika ini daripada pembangkang iaitu Parti Prachachart, berkata beliau menyokong gesaan Areepenl.

“Pada masa lalu, jawatankuasa itu yang diketuai komander tentera di selatan, tidak membuka ruang untuk ahli politik tempatan,” kata Sukarno kepada BeritaBenar. “Perlu ada penglibatan MP dalam jawatankuasa yang boleh memainkan peranan dalam rundingan damai.”

Pedalaman Thailand, yang penduduk majoritinya beragama Islam dan bertutur dalam bahasa Melayu serta bersempadan dengan Malaysia, adalah terdiri daripada wilayah Pattani, Narathiwat dan Yala selain empat daerah dalam wilayah Songkhla. Hampir 7,000 orang terbunuh dalam keganasan di wilayah itu sejak kebangkitan semula pemberontakan puak pemisah pada awal 2004.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Komen

Mohon bantuan
Jul 05, 2021 03:18 PM

Patani Darussalam akan merdeka akan bebas
Rakyat rakyat Patani kerjaan Thailand banyak yang
zolim tindas kepada rakyat Patani dunia tidak tahu apa yang terjadi kesusahan rakyat Patani kehidupan rakyat Patani
Karana kerajaan Thailand tutup berita dan kami harus tetap berjuang sampai merdeka atau sampai mati insyaallah