Follow us

Kemenangan BN Akan Matikan Demokrasi di Malaysia, kata Mahathir

Hadi Azmi
Kuala Lumpur
2018-04-06
E-mel
Komen
Share
Pengerusi Blok pembangkang Pakatan Harapan Mahathir Mohamad pada sidang media di ibu negara Kuala Lumpur, 6 April, 2018.
Pengerusi Blok pembangkang Pakatan Harapan Mahathir Mohamad pada sidang media di ibu negara Kuala Lumpur, 6 April, 2018.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Malaysia akan mengalami satu era pemerintahan diktator jika parti perikatan Barisan Nasional terus diberikan mandat untuk memerintah sekali lagi berikutan Pilihan Raya Umum ke 14, dakwa pemimpin pembangkang parti terbaharu negara.

Pengasas dan juga pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Mahathir Mohamad membuat kenyataan itu di satu sidang media yang diadakan di ibu negara, beberapa minit selepas Perdana Menteri Najib Razak mengumumkan pembubaran Parlimen untuk menghadapi kempen Pilihan Raya Umum ke-14, yang bermula pada Sabtu.

Pemimpin berusia 92 tahun itu mendakwa Najib melanggar norma pembahagian kuasa yang diamalkan oleh negara-negara demokrasi lain untuk memastikan kedudukan beliau tidak tergugat.

"Kita sudah menjadi satu negara kleptokrasi tetapi jika Najib menang pilihanraya kali ini, beliau akan menamatkan demokrasi dan membuka jalan kepada satu era diktator," kata Mahathir.

Pembahagian kuasa, Mahathir berkata adalah penting bagi sesebuah demokrasi untuk memastikan pemerintahan negara semak dan seimbang.

Beliau turut mendakwa bahawa mereka yang berada di tampuk kepimpinan yang mengawal keselamatan negara dan undang-undang negara menggunakan pangkat dan kedudukan mereka untuk memastikan Najib kekal berkuasa.

Pada 30 Mac lalu, Panglima Angkatan Tentera Malaysia Raja Mohamed Affandi menggesa anggota tentera dan polis bersyukur dan setia kepada kerajaan yang diketuai Najib Razak.

"Kita sebagai perajurit dan penjaga keamanan bangsa perlu ada rasa kesyukuran di atas nikmat yang telah diberi ini.

"Saya menyeru untuk manifestasikan segala ini dan unjurkan rasa dengan beri kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada negara dan kerajaan yang dipimpin oleh perdana menteri," katanya di hadapan kira-kira 460 anggota tentera dan polis di sebuah majlis yang dihadiri perdana menteri.

Mahathir turut berkata bahawa beliau bersedia untuk berdepan dengan tindakan mahkamah atas kenyataan beliau.

“Ini ialah tuduhan saya dan mereka boleh mengenakan mana-mana undang-undang terhadap saya.

Pembubaran sementara bukti Bersatu mampu beri tentangan


Pembubaran sementara yang diumumkan oleh badan yang mendaftarkan parti politik di Malaysia terhadap parti Bersatu di dakwa sebagai satu cubaan berbaur politik kerana parti tersebut mampu menarik undi Melayu dari Umno.

“Amat jelas fokus Najib ialah pada Bersatu kerana Bersatu mampu menarik undi Melayu daripada UMNO,” kata Mahathir.

Pendaftaran Parti Bersatu yang dipimpin oleh Mahathir telah dibatalkan kerana gagal menyerahkan beberapa dokumen dalam tempoh 30 hari selepas diminta berbuat demikian, Ketua Pengarah Pendaftaran Pertubuhan (RoS), Surayati Ibrahim memberitahu.

Bersatu adalah sebuah parti dalam blok pembangkang Pakatan Harapan (PH), dan RoS turut menolak permohonan PH untuk mendaftar sebagai satu perikatan parti politik berikutan apa yang berlaku pada Bersatu.

Pendapat Mahathir itu disokong penganalisa politik Wong Chin Huat yang berkata tindakan Najib membuktikan perdana menteri itu yakin akan terjadi sebuah ‘tsunami Melayu’ yang akan menarik undi daripada Barisan Nasional.

Menurut Wong, akibat daripada pembubaran tersebut kesemua parti komponen Pakatan Harapan di Semenanjung Malaysia akan menggunakan logo parti yang sama dalam pilihanraya umum ke 14.

“Inilah kali pertama gabungan parti pembangkang akan bertanding menggunakan logo yang sama,” kata Wong lagi.

Pemimpin Barisan Nasional Nazri Aziz walaubagaimana pun berkata RoS mempunyai hak untuk membuat keputusan sebegitu apabila ahli parti berkenaan sendiri membuat aduan kepada RoS.

Beliau berkata jika Bersatu tidak mematuhi perlembagaan partinya sendiri, sememangnya ia tidak boleh menjadi satu parti yang sah untuk mengetuai blok pembangkang Pakatan Harapan.

“Semua perlu mematuhi undang-undang. Semua orang perlu mematuhi undang-undang. Ingat pada beberapa tahun lalu dimana Umno telah diisytiharkan sebagai satu pertubuhan haram? Itu kerana kita tidak mematuhi apa yang kita telah letak dalam perlembagaan parti,” kata Nazri.

Beliau turut menyifatkan parti Bersatu sebagai parti ‘nyamuk’ dan ia tidak menjejaskan sokongan terhadap Umno.

“Samaada ia menjejaskan kita(Umno) atau pun tidak, pengundi tahu siapa yang mereka perlu undi. Lagipun kita tidak mahu kemenangan sebabkan perkara seperti ini (pembubaran Bersatu) - kita mahu menang selepas pertempuran yang sengit.”

Pembubaran Parlimen berkuatkuasa Sabtu

Perdana Menteri Najib  pada Jumaat telah mengumumkan pembubaran parlimen Malaysia yang berkuatkuasa pada Sabtu bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum paling sengit, yang akan diadakan dalam tempoh beberapa minggu lagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) akan menetapkan tarikh penamaan calon dan pilihan raya umum ke-14, yang mengikut undang-undang hendaklah diadakan dalam tempoh dua bulan dari tarikh pembubaran parlimen dan mungkin berlangsung sebelum Ramadan bermula atau sekitar 15 Mei.

“Dengan ini saya ingin memaklumkan kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa saya telahpun mengadap ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-1, Sultan Muhammad V dan menyembah warkah kepada Baginda memohon pekenan supaya Parlimen ke-13 dibubarkan pada hari Sabtu, 7 April 2018,” kata pemimpin Malaysia itu.

Pembubaran dilakukan selaras dengan peruntukan Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, pembubaran parlimen itu sekaligus menzahirkan komitmen kerajaan Barisan Nasional terhadap proses demokrasi berparlimen dengan membolehkan pilihan raya umum bagi kali yang ke-14 bagi negara itu, sejak tahun 1959, dijalankan menurut lunas undang-undang.

Lihat Laman Penuh