Follow us

Mahathir: Malaysia Tidak Kecewa Dilucutkan Sebagai Tuan Rumah Sukan Paralimpik

Ali Nufael
Kuala Lumpur, Malaysia
2019-01-28
E-mel
Komen
Share
Perdana Menteri Malaysia, Mahathir Mohamad bercakap kepada media selepas diminta mengulas mengenai keputusan Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa IPC yang membatalkan hak Malaysia sebagai tuan rumah Sukan Paralimpik di Putrajaya, 28 Jan, 2019.
Perdana Menteri Malaysia, Mahathir Mohamad bercakap kepada media selepas diminta mengulas mengenai keputusan Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa IPC yang membatalkan hak Malaysia sebagai tuan rumah Sukan Paralimpik di Putrajaya, 28 Jan, 2019.
AP

Perdana Menteri Mahathir Mohamad pada Isnin menegaskan bahawa Malaysia tidak kecewa dengan pelucutan hak menjadi tuan rumah pada Kejohanan Renang Para Dunia 2019  susulan tindakannya yang tidak membenarkan penyertaan atlet renang Israel.

Mahathir berkata Malaysia boleh menganjurkan acara lain sekiranya tidak dibenarkan untuk menganjurkan kejohanan Olimpik.

"Dia [Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa - IPC] nak batal, batallah. Saya dapati dunia terpaksa ikut (cakap) Israel, saya tidak faham kerana dunia ada kuasa tetapi masih terpaksa ikut Isreal. Tetapi, kita tidak ikut," tambah Perdana Menteri berusia 93 tahun itu di Putrajaya.

Pada Ahad, IPC di mesyuaratnya yang diadakan di London membuat keputusan untuk melucutkan hak Malaysia sebagai tuan rumah Kejohanan Renang Paralimpik 2019 di Kuching, Sarawak bermula 29 Julai hingga 4 Ogos depan.

Malaysia tetap dengan pendiriannya tidak membenarkan atlet Israel mengambil bahagian dalam acara sukan itu kerana  kedua negara tersebut tiada hubungan diplomatik serta negara Asia Tenggara itu juga membantah pendudukan dan penindasan berterusan Israel ke atas rakyat Palestin di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza.

Presiden IPC Andrew Parsons berkata keputusan itu juga dibuat selepas negara tuan rumah menghalang penyertaan atlet negara tertentu, dan oleh itu IPC terpaksa mencari lokasi baru.

“Semua kejohanan dunia mesti terbuka kepada penyertaan atlet pelbagai negara dengan selamat tanpa diskriminasi. Apabila negara tuan rumah menghalang penyertaan atlet negara tertentu kerana alasan politik, maka kami tiada pilihan melainkan mencari tuan rumah baharu,” kata Andrew dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di London pada Ahad.

Selain itu, IPC dalam kenyataannya juga berkata Kementerian Dalam Negeri Malaysia juga gagal untuk memberikan jaminan bahawa perenang Israel akan bebas dari diskriminasi dan selamat.

Mahathir yang mempertahankan tindakan Malaysia itu berkata, "Kami berpendirian teguh untuk tidak membenarkan rakyat Israel masuk ke negara ini kerana negara itu melakukan jenayah perang. Mereka melanggar undang-undang antarabangsa, tetapi tiada sesiapa berkata apa-apa mengenainya dan ia hak kami untuk menyuarakan pendirian,"

‘Kita ada sebab untuk menghalang mereka. Mereka bukan (orang) pelarian, mereka tidak menderita dan mereka datang dari negara yang melanggar undang-undang antarabangsa,” kata Mahathir.

Perdana Menteri juga memberi contoh yang Amerika turut menghalang rakyat dari lima negara Islam memasuki negara itu dan sambil bertanya kenapa isu berkenaan hanya didiamkan oleh banyak negara termasuk negara Eropah.

Ditanya mengenai keputusan Malaysia membenarkan atlet kriket menyertai satu kejohanan di negara itu pada tahun 1997, Mahathir menjelaskan bahawa tujuan kebenaran itu berikan adalah untuk membuktikan kepada Israel bahawa orang Islam bukan pengganas.

"Ya benar. Saya juga benarkan murid sekolah dari Israel datang ke sini. Kita mahu tunjuk kepada mereka bahawa orang Islam bukan pengganas. Kita masyarakat yang normal dan berkelakuan baik."

"Tetapi apa yang mereka (Israel) buat? Apabila kanak-kanak Palestin membaling batu ke arah mereka. Mereka tembak kanak-kanak itu," kata Mahathir.

Jaminan keselamatan

Andrew turut memberitahu “pada September 2017 apabila IPC menandatangani kontrak dengan Majlis Paralimpik Malaysia (NPC Malaysia) untuk menjadi tuan rumah kejohanan berkenaan, IPC telah mendapat jaminan bahawa semua atlet dan negara yang layak menyertainya diberi jaminan keselamatan mereka.

“Bagaimanapun, terdapat perubahan kepimpinan politik dan kerajaan Malaysia yang baharu mempunyai idea berbeza. Politik dan sukan tidak pernah menjadi gabungan yang baik dan kami kecewa atlet Israel tidak dibenarkan bertanding di Malaysia,” kata beliau.

Disebabkan kejohanan berkenaan menjadi arena untuk kelayakan bagi Sukan Paralimpik Tokyo 2020, Andrew berkata IPC akan mencari tuan rumah yang baharu tetapi berusaha untuk mengekalkan tarikh dan syarat kejohanan itu supaya tidak mengganggu jadual atlet.

Mahathir dalam blognya yang disiarkan malam ini [Isnin] menulis dengan berkata “Malaysia bukan anti-Yahudi atau anti-Semitik. Orang Arab juga orang Semitik. Tetapi kami berhak mengecam tingkah laku tidak berperikemanusiaan dan penindasan oleh mana-mana negara di mana sahaja ia berlaku,”

Dalam pada itu, Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg berkata bahawa kerajaan negeri akur dengan keputusan IPC untuk melucutkan hak penganjuran Malaysia sebagai tuan rumah untuk kejohanan berkenaan.

"Malaysia mempunyai pendirian tentang penglibatan Israel. Sarawak hanya venue sahaja. Jadi, kita akur dengan keputusan Kerajaan Persekutuan," katanya pada Isnin di Sarawak seperti dilaporkan media tempatan.

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut mengulangi pendirian negara itu dengan berkata “Malaysia berpegang teguh dengan pendirian yang dinyatakan sebelum ini di atas dasar kemanusiaan dan rasa simpati terhadap perjuangan Palestin. Kita tidak akan berganjak,”

Ketua Pemuda UMNO, Asyraf Wajdi Dusuki pula berkata "Malaysia tiada hubungan diplomatik dengan Israel dan Pemuda UMNO berpendapat bahawa IPC keterlaluan dengan mengaitkan konflik anti-Semitik dan Israel dalam mempersoalkan keputusan Malaysia tidak membenarkan perenang negara itu masuk ke negara ini,"

Malaysia mula menyokong usaha pembebasan Palestin sejak negara Israel diisytiharkan pada 1948, dan tidak pernah mempunyai sebarang hubungan rasmi atau diplomatik dengan  negara Timur Tengah tersebut.


Lihat Laman Penuh