Kalah dalam Pilihan Raya, bekas PM Malaysia Mahathir Mohamad mahu tulis sejarah

Fitri Hazim
2022.11.23
Kuala Lumpur
Kalah dalam Pilihan Raya, bekas PM Malaysia Mahathir Mohamad mahu tulis sejarah Bekas Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad menunjukkan jarinya yang sudah dicelup dakwat selepas membuang undi dalam pilihan raya umum negara itu di Alor Setar, Kedah, 19 Nov 2022.
[Jabatan Penerangan Malaysia/Hafiz Itam/melalui Reuters]

Bekas Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad merancang untuk memberikan tumpuan beliau kepada penulisan, kata pemimpin veteran itu pada Rabu, beberapa hari selepas kalah pada pilihan raya buat kali kedua dalam karier politiknya sejak 1960an.

Dalam kenyataan pertama dikeluarkannya sejak kalah kerusi Parlimen Langkawi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang diadakan pada Sabtu lalu, ahli politik berusia 97 tahun itu berkata beliau berasa sedih dengan keputusan pilihan raya berkenaan, namun menerima pilihan yang dibuat oleh para pengundi.

Mahathir bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 sebagai ahli parti Pejuang yang ditubuhkannya pada 2020. Beliau tidak menyatakan sama ada akan bersara dari politik dalam kenyataan tersebut.

"Saya sebagai pengerusi Pejuang sedih. Tetapi saya terima pilihan rakyat," tulis Mahathir di Facebook rasminya.

"Saya sendiri akan tumpu kepada penulisan berkenaan dengan sejarah dan aktiviti dalam negara. Sesungguhnya banyak peristiwa yang berlaku dalam negara belum pun direkod, termasuk apa yang berlaku di zaman British," tambah beliau, merujuk kepada zaman negara itu semasa di bawah jajahan British.

Ahli politik yang paling lama berkhidmat itu, yang turut dikenali sebagai Dr. M, berkata beliau juga "terbuka untuk ditemuduga penulis."

Doktor perubatan itu sebelum ini memegang jawatan Perdana Menteri selama 22 tahun antara 1981 dan 2003, di mana beliau memenangi empat pilihan raya. Mahathir kemudiannya kembali memegang jawatan berkenaan pada tahun 2018 tetapi hanya buat tempoh yang singkat.

Pada bulan Mei 2018, ketika berusia hampir 93 tahun, Mahathir menjadi individu tertua menjadi perdana menteri di dunia selepas mengetuai gabungan pembangkang Pakatan Harapan untuk memenangi pilihan raya dalam satu kejayaan yang mengejutkan ramai apabila menewaskan UMNO, parti yang pernah diketuainya dahulu.

Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) telah memerintah negara sejak Malaysia mencapai kemerdekaan 61 tahun terdahulu itu, sebelum terpalit dengan skandal rasuah berskala besar yang dikaitkan dengan Najib Razak yang merupakan perdana menteri ketika UMNO dikalahkan pada 2018.

Dalam kempennya yang berkisar usaha memerangi rasuah dan membersihkan kerajaan daripada masalah itu serta menjatuhkan Najib ekoran skandal 1MDB, Mahathir bekerjasama dengan bekas anak didiknya Anwar Ibrahim.

Parti pimpinan dua ahli politik itu bergabung bersama beberapa parti pembangkang lain untuk membentuk Pakatan Harapan. Blok itu menewaskan UMNO dalam pilihan raya dalam skala yang tidak pernah disaksikan parti yang berkuasa sebelum itu.

"Untuk menjadi pemimpin yang hebat, seseorang perlu mempunyai strategi yang bagus, berpengetahuan serta mampu menjangka apa yang akan berlaku di masa depan," kata Mahathir suatu masa dahulu.

Mahathir kembali ke tampuk pemerintahan negara sebagai seorang nonagenarian selepas bekerjasama dengan Anwar, yang dijanjikannya akan menjadi pengganti beliau selepas dua tahun.

Akan tetapi, pergolakan kuasa antara parti-parti dalam Pakatan Harapan mengenai isu transisi kuasa kepada Anwar telah membawa kepada kejatuhan kerajaan pimpinan mereka pada bulan Februari 2020, dengan Mahathir meletakkan jawatannya sebagai perdana menteri.

Mahathir sekali lagi cuba menyatukan parti-parti pembangkang untuk pilihan raya 2022 tetapi tidak berjaya.

Pemerhati politik berkata kekalahan Mahathir dalam pilihan raya pada Sabtu menandakan penamat karier politik beliau.

Akan tetapi, melihat kepada sejarah Mahathir, ia mungkin adalah sesuatu yang tidak bijak untuk mengenepikannya - walaupun pada usia 97 tahun.

Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.