Follow us

Kecekapan PDRM Tangani Ancaman Militan Berjaya Tangkap Lebih 460 Pengganas

Hadi Azmi
Kuala Lumpur, Malaysia
2019-03-25
E-mel
Komen
Share
Perdana Menteri Malaysia, Mahathir Mohamad bersama Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun semasa memeriksa perbarisan pada sambutan  Peringatan Hari Polis ke-212 di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur [PULAPOL] di Kuala Lumpur, 25 Mac, 2019.
Perdana Menteri Malaysia, Mahathir Mohamad bersama Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun semasa memeriksa perbarisan pada sambutan Peringatan Hari Polis ke-212 di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur [PULAPOL] di Kuala Lumpur, 25 Mac, 2019.
[AP]

Perdana Menteri Mahathir Mohamad berkata tahap profesionalisme dan keupayaan pasukan Polis DiRaja Malaysia [PDRM] dalam menangani ancaman militan Negara Islam [IS] di negara itu telah berjaya menangkap seramai 464 orang ahli kumpulan pengganas di Malaysia.

Tanpa memberi tempoh tangkapan itu dibuat, Mahathir berkata tugas polis kini semakin mencabar dan pasukan itu bukan sahaja berhadapan dengan cabaran jenayah konvensional, tetapi juga ancaman pengganas yang menuntut pasukan berkenaan untuk menanganinya secara tegas, strategik dan berkesan.

“Kerajaan percaya, kejayaan tangkapan ini dapat dicapai kerana PDRM dan anggota keselamatan yang lain memiliki pasukan risikan yang mampu menangani isu yang kompleks membabitkan kumpulan militan,” katanya semasa berucap sempena sambutan Peringatan Hari Polis ke-212 di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur [PULAPOL] pada Isnin.

Baru-baru ini Ayob Khan Mydin Pitchay, yang mengetuai bahagian anti pengganas di Cawangan Khas, iaitu sayap perisikan PDRM memberitahu BeritaBenar, dari 2013 hingga Februari 2019, Malaysia telah menggagalkan 24 rancangan pengganas dan menahan 457 suspek militan termasuk 131 orang dari 21 negara.

Daripada mereka yang ditangkap, seramai 200 orang telah didakwa di mahkamah dengan 175 daripada mereka telah disabitkan kesalahan dan dipenjara. Seramai 123 orang lagi telah dibebaskan.

Sementara itu, Perdana Menteri berusia 93 tahun itu juga memaklumkan yang indeks jenayah bagi 2018 telah merekodkan satu penurunan sebanyak 11.9 peratus dengan 88,662 kes berbanding nilai ambang atau threshold sasaran sebanyak 100,611 kes.

“Statistik ini membuktikan komitmen PDRM untuk memenuhi harapan masyarakat yang sekarang ini amat peka terhadap aspek keselamatan dan kesejahteraan mereka,” tambahnya lagi.

Perdana Menteri itu juga berjanji akan terus memberi komitmen dalam menyalur pelbagai peruntukan yang diperlukan oleh PDRM walaupun ia melibatkan kos tambahan.

“Ini adalah bagi memastikan pasukan benteng keselamatan negara mempunyai kelengkapan yang sesuai dan terkini,” tambah beliau.

Beliau juga meminta rakyat Malaysia untuk bersama-sama membantu pihak berkuasa dalam melindungi negara dari anasir luar dan ancaman militan yang menganggu gugat keselamatan negara.

Dalam pada itu, Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun yang mengulas kenyataan Perdana Menteri berkata PDRM perlu terus berkembang dari segi teknologi agar tidak ketinggalan dalam bidang siasatan.

“Semasa saya menyertai polis, ketika itu kita tidak berhadapan masalah media sosial dan jenayah-jenayah berasaskan IT dan sebagai contoh, pengkaderan IS, dahulu ia dilakukan secara fizikal melalui ceramah tetapi sekarang golongan muda dan remaja, seramai 95 peratus dipengaruhi oleh media sosial. Jadi ini adalah cabaran-cabaran yang perlu kita tangani,” jelas Fuzi.

Serius tangani keganasan

Pakar kriminologi anti keganasan dari Universiti Sains Malaysia, Geshina Ayu Mat Saat ketika dihubungi BeritaBenar berkata, Malaysia masih lagi terselamat daripada sebarang serangan keganasan dan banyak cubaan daripada pelbagai pihak berjaya dipatahkan oleh pihak berkuasanya.

“Ini membuktikan Malaysia serius dalam menangani keganasan dan aktiviti berkaitan, namun begitu, kita tidak seharusnya berhenti daripada berwaspada kerana jika terjadi walaupun satu serangan, ia mungkin menyebabkan akibat yang buruk,” jelas beliau.

Tambah beliau lagi, pihak polis perlu proaktif dalam soal pemulihan individu yang dikesan mempunyai kecenderungan ke arah keganasan kerana kajian menunjukkan bahawa individu yang dilaporkan sudah direhabilitasi sebenarnya cuma memendamkan semangat perjuangan mereka dan berkemungkinan kembali agresif di masa hadapan.

“Sebagai contoh, Taufik Abdul Halim yang ditemuramah BeritaBenar pada Februari lalu. Dapat dilihat mereka cuma ‘pulih’ di atas kertas, dan bukan di dalam jiwa,” tambahnya lagi.

Taufik yang merupakan bekas anggota kumpulan militan Jemaah Islamiyah didapati masih mempunyai kecenderungan ke arah keganasan walaupun telah pulang ke Malaysia selepas menjalani hukuman penjara 12 tahun di Indonesia kerana melakukan satu siri serangan bom di beberapa buat gereja di Indonesia sekitar tahun 2001.

Keganasan ekstrem


Menurut satu kajian kefahaman normatif terhadap keganasan ekstrem di kalangan belia di sekitar negeri Selangor oleh IMAN Research yang dikeluarkan pada 29 Jan lalu didapati purata 10 peratus warga belia Malaysia bersetuju dengan keganasan ekstrem dan melihat keganasan ekstrem sebagai wajar.

“Dua watak utama yang dikongsi oleh mereka ialah sifat manipulatif dan etnosentrisme. Di dalam maksud lain, seseorang yang mempunyai tahap yang tinggi dalam kecenderungan untuk memanipulasi dan bersifat etnosentris, memiliki tanggapan yang positif tentang keganasan ekstrem,” kata laporan IMAN Research dengan dua pensyarah kanan Universiti Putra Malaysia (UPM) itu.

Kajian itu juga mendapati program pemulihan atau ‘deradicalization’ yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa hanya bertumpu kepada membetulkan ritual agama berdasarkan kepada tanggapan umum tentang keganasan ekstrem yang berpunca daripada ideologi agama yang sempit, seperti Wahhabi atau Salafi.

“Untuk itu, inisiatif pemulihan yang wujud di bawah Undang-undang seperti Akta Pencegahan Terrorisme 2015 (POTA) dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) perlu dikaji semula secara mendalam dengan memberi tumpuan kepada menangani “sifat-sifat buruk” yang terdapat di dalam kumpulan individu yang cenderung menyokong keganasan ekstrem,” jelas laporan itu lagi.

Sehingga kini, hanya satu kejadian yang dikaitkan dengan IS iaitu kes letupan bom tangan di sebuah pusat hiburan di Puchong, Selangor pada 2016 yang mendatangkan kecederaan kepada lapan pelanggan pusat hiburan itu.

Kejadian itu dikatakan didalangi oleh warga Malaysia Muhammad Wanndy Mohamed Jedi berpengkalan di Syria. Wanndy meninggal dunia dalam satu serangan drone pada April 2017.

Pada tahun ini sahaja, Unit Anti-Keganasan PDRM telah menahan 26 individu yang disyaki terlibat dalam aktiviti keganasan.  Lima daripadanya adalah rakyat tempatan dan selebihnya adalah warganegara Filipina, Mesir, Pakistan dan Tunisia.

Radzi Razak di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Lihat Laman Penuh