Mahathir Usul Majlis Tindakan Negara Ambil Alih Urus Tadbir Kerajaan Banteras COVID-19

Cadangan itu dibuat kerana kerajaan Perikatan Nasional ketandusan idea dalam menangani pandemik dan memulihkan ekonomi negara.
Hadi Azmi & Noah Lee
Kuala Lumpur
2021-06-10
Share
Mahathir Usul Majlis Tindakan Negara Ambil Alih Urus Tadbir Kerajaan Banteras COVID-19 Sebuah kenderaan yang membawa bekas perdana menteri Mahathir Mohamad dilihat meninggalkan Istana Negara, di Kuala Lumpur, 10 Jun, 2021.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Bekas Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad pada Khamis berkata yang beliau telah mencadangkan kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah supaya satu majlis gerakan untuk mentadbir negara ketika darurat ditubuhkan bagi menangani pandemik COVID-19 serta krisis ekonomi yang dihadapi Malaysia semasa pertemuannya dengan Baginda.

Menurut Mahathir, Yang di-Pertuan Agong bagaimanapun memberitahu beliau bahawa majlis seperti itu, yang pernah mengambil alih pemerintahan ketika negara berada dalam darurat susulan rusuhan kaum pada tahun 1969, hanya boleh ditubuhkan atas nasihat kerajaan.

"Saya telah menyuarakan mengenai kemungkinan untuk ditubuhkan sebuah badan seperti Majlis Gerakan Negara (Mageran) yang ditubuhkan pada tahun 1969," kata Mahathir dalam satu sidang media yang diadakan secara atas talian selepas beliau pulang daripada perjumpaan dengan Sultan Abdullah.

Untuk rekod, Sultan Abdullah pada minggu ini membuat beberapa pertemuan dengan pemimpin parti-parti politik negara dari kedua-dua belah kerajaan dan pembangkang bagi membincangkan isu-isu negara.

Sesi pertemuan secara berasingan itu bermula Rabu di mana Seri Paduka telah menerima mengadap ketua pembangkang Anwar Ibrahim serta presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu dan setiausaha agung Parti Tindakan Demokratik, Lim Guan Eng. Sebelum itu, pada pagi Rabu, Seri Paduka itu telah menemui Perdana Menteri Muhyiddin dalam satu mesyuarat pra-kabinet.

Pada Khamis pula, selain daripada Mahathir, Yang di-Pertuan Agong dilaporkan turut bertemu dengan pemimpin dari beberapa parti lain termasuk presiden parti Warisan Sabah, Shafie Apdal, presiden parti MCA Wee Ka Siong, serta timbalan presiden parti PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man.

Sultan Abdullah dijangka akan menemui presiden parti UMNO Ahmad Zahid Hamidi pada Jumaat.

Menurut Mahathir, cadangan beliau dibuat kerana kerajaan Perikatan Nasional hari ini dilihat ketandusan idea untuk menangani cabaran pandemik COVID-19, termasuk bagi menguruskan isu kesihatan, ekonomi, politik serta sosial negara. Penubuhan Mageran katanya akan membolehkan cadangan lebih bagus daripada pakar serta ahli akademik diterima pakai negara.

Mahathir, yang pernah menjawat jawatan Perdana Menteri sebanyak dua kali, berkata bahawa Yang di-Pertuan Agong tidak menolak cadangan yang diberikan itu, tetapi menyatakan bahawa badan seperti Mageran hanya boleh ditubuhkan atas nasihat kerajaan.

Beliau bagaimanapun tidak yakin bahawa kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin akan berbuat demikian, kerana ia sesuatu yang telah ditolak Perikatan Nasional sebelum ini.

"Saya tidak yakin bahawa kerajaan hari ini akan menubuhkan Mageran, kerana dari permulaan lagi mereka tidak mahukan majlis tersebut. Pada mereka (kerajaan), semua sedang berjalan dengan baik dan semua isu telah diselesaikan," kata Mahathir.

Malaysia adalah negara yang menggunakan sistem pemerintahan Raja Berperlembagaan, di mana Yang di-Pertuan Agong selaku Raja adalah tertakluk kepada Artikel 40(1) Perlembagaan Persekutuan. Ia memperuntukkan bahawa Seri Paduka hendaklah bertindak mengikut nasihat kabinet atau menteri yang diberi kuasa oleh kabinet, kecuali perkara selainnya yang telah diperuntukkan oleh perlembagaan.

Mageran

Mageran adalah sebuah badan yang ditubuhkan bagi mengambil alih pentadbiran negara ketika Malaysia berhadapan dengan rusuhan kaum terburuk pernah berlaku dalam sejarahnya. Rusuhan itu tercetus selepas keputusan Pilihanraya Umum 1969 diumumkan, dan berdasarkan laporan disediakan majlis tersebut, rusuhan itu telah mengakibatkan kira-kira 200 orang terbunuh.

Perdana Menteri ketika itu, Tunku Abdul Rahman telah menasihatkan Yang di-Pertuan Agong Ismail Nasiruddin Shah supaya membuat proklamasi darurat dan menubuhkan Mageran bagi mentadbir negara, kerana kerajaan yang formal masih belum sempat ditubuhkan selepas pilihanraya. Majlis itu diketuai Timbalan Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Abdul Razak Hussein, dan menjadi kerajaan sementara selama dua tahun sebelum dibubarkan pada tahun 1971 selepas parlimen dibuka semula.

Ketika ditanya wartawan samada Muhyiddin atau orang lain patut mengetuai Mageran sekiranya ia ditubuhkan sekali lagi, Mahathir sebaliknya menyatakan bahawa beliau telah menawarkan diri sendiri kepada Tuanku.

"Kita tidak menyatakan siapa yang akan menjadi ketua, tetapi kerana saya berada di situ, saya telah menawarkan khidmat saya, sekiranya kerajaan mahu," kata Mahathir.

Sehari sebelum itu (pada Rabu), ketua setiausaha sulit kepada Muhyiddin, Marzuki Mohamad telah membuat kenyataan menolak penubuhan majlis seperti Mageran bagi mentadbir negara. Kata beliau, situasi negara pada waktu ini adalah berlainan dengan tahun 1969, di mana kini negara mempunyai sebuah kabinet yang berfungsi untuk menjalankan tugas mentadbir.

"Keadaan yang kita hadapi pada masa ini amat jauh berbeza dengan situasi pada tahun 1969. Pertamanya, kita tidak berhadapan dengan darurat keselamatan, tetapi darurat kesihatan.

"Keduanya, kita telah ada kabinet yang sedang berfungsi," kata Marzuki dalam kenyataannya yang dibuat melalui sebuah video berdurasi 9-minit yang dimuatnaik di Facebook.

Tambah beliau, penubuhan Mageran hanya akan menghalang semua rancangan yang telah dibuat oleh kerajaan untuk memulihkan negara dari krisis COVID-19.

"Kerajaan sivil atau a civilian government masih berfungsi. Ciri civilian government ini mesti dipertahankan sepanjang tempoh darurat berkuatkuasa," kata Marzuki.

Situasi tidak serupa

Sementara itu, penilaian yang dibuat Marzuki itu turut dikongsi oleh penganalisa politik dari Universiti Tasmania, James Chin yang bersetuju bahawa situasi pada hari ini tidak serupa dengan apa dilalui Malaysia 52 tahun lepas.

"Struktur politik Malaysia masih dalam keadaan baik. Apa yang retak adalah kepimpinan politik Melayu dan keretakan dalam ekonomi," Chin berkata kepada BenarNews.

Menurut beliau, apa yang penting adalah semua perbincangan di kalangan pemimpin utama negara itu menandakan bahawa tempoh Darurat yang dijadualkan berakhir 1 Ogos ini mungkin akan dilanjutkan lagi.

"Jangkaan bilangan kes positif COVID-19 untuk bulan Julai masih tinggi, jadi kita boleh agak yang kerajaan akan bertemu dengan Yang di-Pertuan Agong pada bulan Julai ini dan menyatakan bahawa bilangan kes masih banyak dan tidak mungkin darurat boleh ditamatkan," kata beliau.

Namun, tambah Chin, Tuanku perlu memaksa kerajaan supaya bertolak ansur dengan membuka semula parlimen serta melibatkan pemimpin pembangkang dalam proses membuat keputusan negara, sebagai pertukaran untuk melanjutkan tempoh darurat.

"Orang ramai mahu melihat satu penelitian dibuat terhadap kerajaan. Jadi kerajaan akan dapat meneruskan darurat dan rakyat pula akan dapat melihat parlimen bersidang semula sebagai satu mekanisme semak dan imbang," kata Chin.

Untuk rekod, kerajaan pimpinan Muhyiddin telah menghalang parlimen daripada bersidang sejak Proklamasi Darurat diumumkan pada 12 Jan lalu, walaupun selepas Sultan Abdullah menyatakan bahawa parlimen boleh bersidang ketika darurat jika kerajaan membenarkannya.

Pada 4 Jun lepas, kerajaan Malaysia telah menyatakan persetujuan "secara dasar" untuk mengadakan sidang Parlimen secara "hibrid", iaitu dengan menggabungkan sidang secara fizikal dengan sidang secara maya.

Keputusan kerajaan itu dibuat susulan desakan kuat pelbagai pihak termasuk ahli parlimen dari kedua-dua belah pihak kerajaan dan pembangkang. Antara mereka yang lantang mendesak supaya Parlimen dibenarkan bersidang adalah Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Azalina Othman Said,dari Parti UMNO serta Majlis Presiden Pakatan Harapan, iaitu gabungan tiga parti pembangkang.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh