Follow us

Kerajaan Baharu Malaysia Arah Peguam Negara Bercuti

N. Nantha & Hadi Azmi
Kuala Lumpur, Malaysia
2018-05-14
E-mel
Komen
Share
Polis mengawal kediaman peribadi bekas Perdana Menteri Malaysia Najib Razak, di Jalan Langgak Duta di Kuala Lumpur, 14 Mei 2018.
Polis mengawal kediaman peribadi bekas Perdana Menteri Malaysia Najib Razak, di Jalan Langgak Duta di Kuala Lumpur, 14 Mei 2018.
[S.Mahfuz/BeritaBenar]

Kerajaan baharu Malaysia pada Isnin mengarahkan peguam negara bercuti dan melarang beliau serta beberapa pegawai tinggi lain meninggalkan negara susulan satu siasatan sedang dijalankan berhubung dakwaan menyembunyikan kaitan bekas Perdana Menteri Najib Razak dengan satu skandal rasuah membabitkan wang berbilion dolar.

Selain itu, sumber berkata ketua setiausaha perbendaharaan negara direhatkan daripada tugasnya manakala pengerusi agensi anti-rasuah Malaysia (MACC) telah meletakkan jawatan.

Perdana Menteri Mahathir Mohamad memberitahu satu sidang akhbar yang disiarkan secara langsung bahawa peguam cara negara akan mengambil alih tugas-tugas Peguam Negara Mohamed Apandi Ali buat sementara waktu.

“Terdapat banyak aduan terhadap peguam negara,” kata Mahathir kepada pemberita. “Atas alasan itu, kami mengarahkan beliau bercuti.”

“Sebaik sahaja siasatan dijalankan, barulah kami boleh menggantung tugas beliau dan melarangnya daripada meninggalkan negara,” katanya.

Pada 2016, Apandi telah membersihkan Najib daripada sebarang salah laku berhubung dakwaan rasuah berkaitan dana negara 1MDB, yang, menurut Jabatan Keadilan Amerika Syarikat, telah dicuri sebanyak US$4.5 bilion oleh sekutu-sekutu Najib. Ini termasuk sejumlah wang hampir US$700 juta yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib, kata jabatan itu. Beliau bagaimanapun telah menafikan sebarang salah laku.

Apandi telah turut menghentikan siasatan domestik berhubung dakwaan penyelewengan itu.

Perdana menteri baharu telah membuat pengumuman itu selepas beliau memulakan tugasannya secara rasmi pada Isnin, dan turut menerima kunjungan rasmi pertamanya – pemerintah Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah – serta bertemu pegawai-pegawai kerajaan yang baharu dilantik.

Sejurus selepas mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ketujuh negara pada Khamis, Mahathir telah memberitahu pemberita bahawa  “beberapa ketua jabatan tertentu perlu dipecat” berhubung skandal yang menyelubungi 1MDB, yang Najib wujudkan pada 2009 kononnya untuk mencari projek-projek pembangunan yang akan memanfaatkan rakyat  Malaysia.

Mahathir, 92, yang kini merupakan pemimpin negara tertua di dunia, keluar dari persaraan politik dua tahun lepas. Beliau meninggalkan parti pemerintah Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) dan kemudian menyertai pembangkang, serta menuduh pemimpin-pemimpin UMNO melindungi Najib daripada dakwaan terbabit dalam skandal 1MDB.

Dilarang meninggalkan negara


Selepas sidang akhbar Mahathir pada Isnin, kerajaan telah mengeluarkan satu kenyataan akhbar yang mengumumkan bahawa Mohamad Irwan Serigar Abdullah “tidak dibenarkan meneruskan tugas-tugas beliau sebagai Ketua Perbendaharaan Negara atau sebarang isu berkaitan kementerian kewangan.”

Irwan, yang turut berkhidmat sebagai pengerusi 1MDB, juga dilarang daripada meninggalkan negara, kata sumber kerajaan kepada BeritaBenar.

Arul Kanda, Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, dan bekas pembantu Najib, Abdul Razak Baginda, turut dilarang melakukan perjalanan ke luar negara, menurut sumber yang tidak mahu dikenali dan berkata mereka tidak mempunyai kuasa untuk bercakap kepada media.

Mahathir, dalam sidang akhbar di pusat pentadbiran Putrajaya, berkata kerajaan memutuskan untuk melarang beberapa individu tertentu daripada meninggalkan negara kerana bantuan mereka diperlukan dalam siasatan berhubung isu 1MDB.

“Pasport mereka bagaimanapun tidak akan dibatalkan. Tidak ada senarai hitam, kami hanya menyiasat pegawai-pegawai yang kami dapat aduan telah melakukan pelbagai kesalahan,” katanya. “Kami tidak boleh membenarkan mereka meninggalkan negara demi kepentingan untuk membantu siasatan.”

Mahathir juga berkata pegawai kementerian telah diarah untuk tidak memusnahkan dokumen penting. Beliau mengumumkan bahawa beliau akan melantik ketua suruhanjaya anti-rasuah yang baharu.

Larangan tidak boleh berlepas ke luar negara terhadap pegawai daripada pentadbiran yang digulungkan dibuat dua hari selepas Mahathir mengeluarkan arahan melarang Najib dan isterinya, Rosmah Mansor, daripada meninggalkan negara.

“Kami tidak mahu dibebani dengan permohonan ekstradisi,” kata Mahathir, merujuk kepada Najib.

Pada Sabtu, Mahathir berkata beliau telah mengarahkan polis untuk mengubah status laporan 1MDB yang dilindungi oleh Akta Rahsia Rasmi.

“Kami kini melakukan siasatan berhubung pengubahan wang haram secepat mungkin dan kami telah menghubungi Amerika, Singapura, Switzerland dan Luxembourg,” katanya. “Ia akan mengambil masa tetapi kami ingin bertindak secepat mungkin.”

Ketua MACC letak jawatan

Empat individu yang berada dalam senarai teratas Mahathir untuk menerajui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (MACC) selepas ketuanya, Dzulkifli Ahmad, meletakkan jawatan beliau, kata sumber kepada BeritaBenar pada Isnin.

Antaranya ialah Mohd Shukri Abdull, bekas Timbalan Ketua Pesuruhjaya bagi Operasi MACC; dan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Mustafar Ali, yang berkhidmat sebagai Timbalan Pesuruhjaya bagi Pencegahan MACC sebelum dilantik sebagai ketua imigresen.

Ketua baharu MACC diharap dapat diumumkan Selasa ini, kata Mahathir kepada pemberita pada Isnin.

Sementara itu, Abdul Razak Idris, bekas pengarah MACC bagi risikan dan siasatan, membuat satu laporan kepada agensi anti-rasuah itu terhadap Najib, yang mendakwa bekas PM itu menyalahgunakan kuasa dengan menghalang siasatan berhubung isu 1MDB.

Jika didapati bersalah, Najib berdepan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda, kata pakar perundangan.

Abdul Razak memberitahu BeritaBenar bahawa laporan itu hanya dibuat sekarang kerana “sebelum ini ia sekadar membuang masa.”

“Siasatan hanya akan ditutup, kerana membabitkan orang tertentu,” katanya.

Undang-Undang anti-berita tidak benar akan ‘dikaji semula’

Mahathir, dalam satu kenyataan ringkas pada Ahad, berkata beliau akan mengkaji semula tafsiran undang-undang baharu kontroversi anti-berita tidak benar yang diperkenalkan oleh Najib.

Undang-Undang itu akan dikaji semula dan satu tafsiran yang betul akan disediakan, bagi membolehkan pengamal media dan orang awam memahami dengan jelas apa yang dikatakan berita tidak benar, katanya.

“Meskipun kami menyokong kebebasan akhbar dan kebebasan bersuara, ada hadnya,” kata Mahathir, yang jelas berpatah balik daripada janji pilihan raya untuk menghapuskan sepenuhnya undang-undang itu, yang telah dikritik sebagai percubaan Najib bagi membendung percanggahan politik dan kebebasan bersuara menjelang hari pengundian pada 9 Mei.

Pada hari beliau mengangkat sumpah jawatan, Mahathir merujuk undang-undang anti-berita tidak benar ketika beliau memberitahu pemberita bahawa kerajaannya akan “menghapuskan undang-undang yang bersifat menindas dan tidak adil.”

Hanya beberapa minggu lepas, Mahathir sendiri menjadi sasaran Rang Undang-Undang Anti-Berita Tidak Benar 2018, yang telah diluluskan pada April, yang memperuntukkan bahawa individu membuat atau berkongsi berita tidak benar bakal berdepan hukuman maksimum penjara enam tahun.

Polis berkata Mahathir telah disiasat kerana didakwa menyebarkan berita tidak benar apabila berkata beliau mengesyaki sebuah pesawat peribadi, yang akan membawanya berkempen di seluruh negara, telah disabotaj.

Bulan lepas, seorang rakyat Denmark telah disabitkan kesalahan di bawah undang-undang itu apabila mengaku membuat dakwaan palsu berhubung pembunuhan seorang militan Hamas menerusi sebuah video yang dimuat naik dalam YouTube.

Sementara itu, dalam satu lagi langkah yang diambil oleh kerajaan baharu pada Isnin, pegawai menarik balik larangan melakukan perjalanan ke atas kartunis politik dan penyumbang BeritaBenar Zunar, atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwarul Haque.

Zunar membuat pengumuman itu di laman Twitter beliau.

Zunar telah menghasilkan ilustrasi mengkritik Najib dan isterinya, Rosmah, yang mendapat publisiti meluas.

Beliau telah ditahan dan didakwa mengikut akta hasutan kerana menghina Najib menerusi karikaturnya yang berkaitan dengan skandal 1MDB.

Lihat Laman Penuh