Malaysia, Singapura Mungkin Guna Timbang Tara Selesai Pertikaian Harga Air
2019.04.09
Putrajaya, Malaysia

Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad dan rakan sejawatannya dari Singapura, Lee Hsien Loong pada Selasa bersetuju menyelesaikan isu perjanjian harga air secara damai, dengan kedua-dua negara mungkin menggunakan timbang tara terhadap pertikaian tersebut.
Kedua-dua pemimpin kanan itu mengeluarkan kenyataan bersama di Putrajaya apabila tekad untuk menyelesaikan masalah berkenaan secara baik dan bersetuju secara bersama untuk membenarkan Peguam Negara kedua negara duduk dan berbincang mengenai menyelesaikan pertikaian air itu.
“Bagi Malaysia, penyelesaian isu harga air yang telah berlarutan sekian lama merupakan antara keutamaan negara. Kami telah mengadakan pertemuan secara aktif untuk menyemak semula penilaian yang dilakukan pada awal tahun 90-an dan 2000.
“Perdana Menteri Lee dan saya bersetuju untuk mencari jalan penyelesaian, termasuk kemungkinan penyelesaian pertikaian melalui timbang tara, yang dipersetujui kedua-dua belah pihak,” kata Mahathir pada sidang media selepas pertemuan kedua-dua pemimpin itu.
Pemimpin Malaysia berusia 93 tahun itu bertemu dengan Lee dalam rangka lawatan rasmi untuk menghadiri perbincangan Permukiman Pemimpin Malaysia dan Singapura kali ke-9 yang berlangsung selama dua hari bermula Isnin di pusat pentadbiran Putrajaya.
Dalam perjanjian yang dimetrai pada 1962, Singapura memberi air sungai dari Malaysia dengan membayar sebanyak 3 sen bagi setiap 1,000 gelen manakala Malaysia membeli kembali air terawat daripada republik itu pada harga yang lebih tinggi iaitu 50 sen untuk jumlah yang sama.
Pada pertemuan empat mata bersama Lee, Mahathir berkata isu-isu lain turut dibincangkan termasuklah ruang udara, sempadan maritim, projek keretapi lintas sempadan serta kesesakan di Tambak Johor.
Lee pula berkata, isu harga air telah membangkitkan sejak November lalu dan telah memaklumkan Perdana Menteri Mahathir bahawa perbincangan isu itu akan berterusan sehingga penyelesaian dipersetujui.
“Pada pendapat Singapura, Malaysia telah kehilangan haknya untuk menyemak semula harga air itu, tetapi pada November lalu kami telah bersetuju yang Peguam Negara Malaysia dan Singapura akan bertemu untuk membincangkan mengenai kedudukan perundangan terhadap permasalahan itu
“Kali ini saya memberitahu Dr M [Mahathir] yang Peguam Negara kedua-dua negara telah bertemu dan akan terus bertemu sehingga mereka mencapai kemajuan,” kata Lee.
Bagaimanapun, Lee melahirkan kebimbangan republik itu terhadap dua isu air, iaitu tahap ammonia yang tinggi di kawasan tadahan Sedenak, Johor, dan juga kelestarian jangka panjang sumber air di Sungai Johor.
“Jika Sungai Johor ditimpa insiden seperti di Sungai Kim Kim tempoh hari, kesannya pasti membawa bencana kepada kedua-dua negara,”
Singapura melalui Jabatan Kerja Rayanya [Public Utilities Board –PUB] memiliki sebuah loji air di Sungai Johor dekat Kota Tinggi untuk menyalurkan air ke republik itu.
Menurut Lee, tindakan kerajaan Johor membina sebuah lagi loji di hulu sungai itu serta kewujudan pusat rawatan air Semanggar menimbulkan kerisauan pihaknya tentang kebolehan Sungai Johor untuk menyalurkan air yang mencukupi bagi kedua-dua negara.
“Jadi kita perlu mengkaji bagaimana untuk memastikan kapasiti air di Johor dan Singapura mencukupi sepanjang tempoh perjanjian air ini,” tambah Lee.
Dalam isu ini, Malaysia juga telah menamakan Menteri Luar, Saifuddin Abdullah sebagai wakili negara dalam perbincangan bersama Menteri Luar Singapura, Vivian Balakrishnan.
Kedua-dua menteri dilaporkan telah bertemu beberapa kali untuk membincangkan mengenai penyelesaian harga air namun masih belum berjaya mencapai sebarang persefahaman.
Ruang udara
Dalam pada itu, semasa mengulas mengenai isu ruang udara, Lee memberitahu Mahathir bahawa semua pihak-pihak berkepentingan perlu dirujuk sebelum Malaysia boleh memulakan langkah untuk mengambil kembali kawalan ruang udara di selatan Semenanjung Malaysia daripada Singapura.
“Perkara ini tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa,” kata Lee.
“Kita bersedia untuk berbincang dengan Malaysia berkenaan isu mengambil kembali kawalan ruang udara itu namun ada beberapa perkara yang perlu diberi pertimbangan seperti keselamatan dan kelancaran operasi kawalan trafik udara serta keperluan dan kepentingan kedua-dua negara,
"Saya beritahu Dr Mahathir bahawa perkara ini memerlukan banyak perundingan dengan pihak berkepentingan," tambah Lee.
Tahun lepas Malaysia memaklumkan niatnya untuk mengambil kembali kawalan ruang udara yang diserahkan kepada kawalan udara Singapura seperti dalam perjanjian pada tahun 1974.
Perjanjian tersebut dibuat pada ketika Malaysia tidak mempunyai kelengkapan kawalan udara yang mencukupi menyebabkan International Civil Aviation Organisation (ICAO) mencadangkan tanggungjawab itu diberikan kepada Singapura.
Sementara itu Mahathir semasa menjawab mengenai isu ruang udara itu berkata, “Objektif Malaysia ialah untuk mengambil kembali kawalan ruang udara itu secara berperingkat daripada Singapura dan matlamat ianya dapat dibuat bagi tempoh antara 2019 ke 2023,”
Pemerhati politik Awang Azman Awang Pawi ketika memberi pandangan tentang pertemuan pemukiman tersebut berpendapat Lee cuba menjadi lebih diplomatik apabila berurusan dengan Mahathir.
“Lee tahu Mahathir adalah seorang pemimpin yang tegas dalam isu-isu berkait dengan Singapura, jadi beliau cuba untuk lebih diplomatik dan halus dalam berurusan dengan pemimpin veteran itu.
“Bagaimanapun Mahathir sentiasa merasakan Malaysia berada di pihak yang rugi apabila berunding dengan Singapura. Walaupun terdapat bagi isu yang dibincangkan tetapi tidak semua akan dipersetujui oleh Mahathir, terutamanya isu air dan ruang udara, Mahathir akan tegas dalam keputusannya dan menari hasil menang-menang dalam setiap perbincanganya,” kata professor kanan Universiti Malaya itu kepada BeritaBenar.