Mahathir Mohon Mahkamah Beku Aset, Harta Dan Wang Najib
2016.04.19
Kuala Lumpur

Bekas Perdana Menteri Dr. Mahathir Mohamad memohon kepada Mahkamah Malaysia untuk membekukan aset Perdana Menteri Najib Razak sementara menunggu keputusan berkaitan tuntutan saman bernilai RM2.6 bilion kerana salah laku semasa menyandang jawatan awam.
Dalam permohonan injuksi ‘Mareva’ yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa melalui peguam Mohamed Hanif Khatri, Dr Mahathir meminta mahkamah supaya membekukan, memindah dan penyekat semua harta, termasuk hartanah, wang tunai, saham sehingga nilai RM2.6 bilion atau sebarang nilai yang difikirkan adil.
Mahathir beserta dua plaintif yang lain, iaitu bekas naib ketua bahagian UMNO Batu Kawan, Khairuddin Abu Hassan dan bekas ahli UMNO Langkawi, Anina Saadudin dalam permohonan itu juga meminta mahkamah mengarahkan Najib untuk mengisytiharkan dan menyediakan butir-butir semua asetnya dalam tempoh 10 hari daripada perintah itu.
Menurut permohonan itu, pendedahan aset Najib perlu dilakukan dalam satu kenyataan bersumpah, termasuk aset yang dipegang oleh penama.
Hanif ketika dihubungi oleh BeritaBenar memberitahu permohonan membekukan harta Najib perlu dilakukan sehingga mahkamah membuat keputusan dalam kes tuntutan saman yang difailkan pada 23 Mac lepas.
“Permohonan ini dinamakan permohonan dalam tindakan dan pengurusan kes bagi tuntutan saman Mahathir itu akan dibuat di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur esok (Rabu) yang akan memberi arahan-arahan berkaitan dengan saman tersebut,’’ katanya pada BeritaBenar pada Selasa.
Mac lepas, Mahathir, Khairuddin dan Anina turut memfailkan saman terhadap Najib atas dakwaan rasuah dan salah guna kuasa, dalam usaha berterusan untuk menyingkir Najib daripada jawatan beliau sebagai seorang Perdana Menteri.
Saman itu menghendaki Najib membayar kepada kerajaan Malaysia sebanyak RM2.6 bilion (AS$681 juta) sebagai ganti rugi teladan dan RM42 juta (US$10.1 juta) sebagai ganti rugi teruk untuk salah laku jawatan yang didakwa dilakukan semasa menyandang jawatan awam, kata peguam mereka.
Salah laku jawatan itu didedahkan oleh pihak siasatan terhadap salah laku kewangan di bawah kepimpinan Najib, termasuk dakwaan salah laku berkaitan dengan dana negara yang sarat hutang, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Mahathir, 90, yang menyandang jawatan perdana menteri dari 1981 hingga 2003, adalah antara pengkritik Najib yang paling lantang. Sejak tahun lepas, beliau telah menerajui gesaan supaya Najib meletakkan jawatan berikutan skandal kewangan berkenaan, terutamanya berhubung deposit sebanyak AS$681 juta ke dalam akaun bank peribadinya pada 2013.
Pada Februari, Mahathir keluar daripada Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), parti yang pernah diperintahnya semasa menerajui kerajaan, bagi membantah skandal yang dikaitkan Najib dan 1MDB.
Pada 7 Mac, Mahathir dan sebilangan besar bekas musuh politiknya melancarkan "Deklarasi Rakyat" yang menggesa pemyingkiran Najib secara aman.
Peguam Negara Malaysia, Mohamed Apandi Ali pada Januari lepas, membersihkan nama Najib daripada potensi salah laku dan mengarahkan siasatan terhadap perdana menteri itu ditutup, dengan menyatakan bahawa "tiada kesalahan jenayah" yang dilakukan beliau.
Wang sebanyak AS$681 juta itu merupakan sumbangan peribadi kepada Najib daripada keluarga diraja Arab Saudi, dan sebahagian besar wang itu telah dikembalikan kepada penyumbangnya, demikian menurut Apandi.
Najib menegaskan bahawa beliau tidak pernah mengambil wang untuk kepentingan dirinya. Najib yang tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen mengenai saman mahkamah itu, adalah pengerusi lembaga penasihat 1MDB.