Follow us

PM Malaysia Bertemu Bekas Ketua Pemberontak Islam Filipina

Jeoffrey Maitem & Joseph Jubelag
Cotabato & General Santos, Filipina
2019-03-08
E-mel
Komen
Share
Gambar yang dikeluarkan oleh Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) ini menunjukkan Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamed berjabat tangan dengan Pengerusi MILF Murad Ebrahim selepas mereka bertemu di sebuah hotel di Manila, 8 Mac 2019.
Gambar yang dikeluarkan oleh Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) ini menunjukkan Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamed berjabat tangan dengan Pengerusi MILF Murad Ebrahim selepas mereka bertemu di sebuah hotel di Manila, 8 Mac 2019.
[HO/MILF]

Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad menamatkan lawatan dua hari beliau ke Manila dengan bertemu bekas ketua gerila kumpulan pemisah yang memimpin sebuah wilayah autonomi Islam yang baharu diwujudkan di selatan Filipina pada Jumaat, kata pegawai.

Mahathir, 93, membincangkan cabaran membangunkan ekonomi selepas perang di Wilayah Autonomi Islam Mindanao Bangsamoro dengan Murad Ebrahim, pengerusi Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) yang baru-baru ini menyandang jawatan kepimpinan tertinggi di wilayah itu, kata Ebrahim dan beberapa lagi yang menghadiri pertemuan itu.

“Saya memberitahu beliau mengenai perjuangan kami dan cara kami ingin memajukan diri. Kami mahukan program yang memberi manfaat kepada penduduk di wilayah ini,” kata Ebrahim kepada BeritaBenar selepas itu.

Mahathir bertemu Ebrahim sebelum menamatkan lawatan rasmi pertamanya ke Filipina selepas kembali berkuasa, setelah memimpin pembangkang meraih kemenangan mengejut yang menakjubkan dalam pilihan raya umum Malaysia.

Lima tahun lepas, kerajaan Malaysia menjadi broker perjanjian damai antara Manila dan MILF yang menamatkan pemberontakan gerila kumpulan pemisah, yang pada akhirnya menyaksikan penubuhan sebuah wilayah autonomi Islam di kawasan majoriti penduduknya beragama Islam di selatan Filipina, sebagai pertukaran.

Ebrahim akan mengawasi pemerintahan sendiri di wilayah autonomi itu sehingga penduduknya memilih anggota parlimen mereka sendiri menjelang 2022. Terdahulu beliau mengakui bahawa untuk memajukan wilayah yang terjejas akibat peperangan itu bukanlah sesuatu yang mudah kerana banyak kumpulan serpihan dan militan yang bersekutu dengan kumpulan pelampau Negara Islam (IS) masih wujud di kawasan terpencil di bahagian selatan Filipina.

“Perdana Menteri Mahathir memaklumkan beliau bahawa untuk melepaskan tembakan dan membunuh adalah mudah namun untuk membangunkan wilayah selatan itu adalah sukar,” kata Nabil Tan, seorang pegawai Filipina merangkap setiausaha rendah proses damai Mindanao, yang turut hadir dalam pertemuan pada Jumaat itu.

“Pengerusi Murad berkata ‘ya, itu adalah perjuangan kami di peringkat yang seterusnya – bagaimana untuk membangun dan mengubah organisasi revolusioner kami,’” kata Tan, yang juga sekutu rapat Ebrahim.

Dalam satu kenyataan ringkas kepada pemberita selepas pertemuan itu, Murad berkata Mahathir telah memaklumkan beliau bahawa selagi terdapat keamanan di wilayah itu “maka segala-galanya akan dapat dicapai.”

Mahathir berkunjung ke Filipina beberapa minggu selepas pengundi di selatan negara itu bersetuju menubuhkan sebuah wilayah autonomi Islam.

Apabila MILF mengakhiri pemberontakannya pada 2014, ramai bekas pejuangnya berpecah dan menuduh kumpulan itu berpaling tadah terhadaap perjuangan untuk mendapatkan sebuah negara Islam yang sah dan bebas di selatan Filipina.

Sebuah kumpulan serpihan, Pejuang-Pejuang Kebebasan Islam Bangsamoro (BIFF), telah bersekutu dengan Negara Islam. Ia, bagaimanapun, tidak menyertai langkah menawan bandar Marawi di selatan pada 2017 yang diketuai IS, namun telah melancarkan serangan di beberapa kawasan lain di wilayah Mindanao untuk mengalih perhatian tentera.

Pada Khamis, semasa pertemuan di Manila, Mahathir dan Presiden Filipina Rodrigo Duterte bersetuju untuk meningkatkan kerjasama dua hala dalam memerangi kegiatan militan di Mindanao, di mana militan IS masih bebas.

Serangan udara Jolo


Semasa Murad dan Mahathir bertemu di Manila, tentera Filipina telah melancarkan serangan udara baharu ke atas lokasi yang disyaki kubu militan Abu Sayyaf di kawasan hutan Patikul di selatan Pulau Jolo, kata pegawai.

Kumpulan Abu Sayyaf (ASG), yang merupakan kumpulan militan terkecil namun paling ganas di selatan, telah dipersalah atas serangan pengganas terburuk di negara itu. Satu puak pemisah di Jolo yang diketuai Hatib Hajan Sawadjaan dipercayai melancarkan pengeboman berkembar yang meragut 23 nyawa di sebuah gereja tempatan pada lewat Januari, kata pihak berkuasa Filipina.

Serangan udara itu menyasarkan kumpulan Sawadjaan dan kumpulan yang diketuai Radulan Sahiron, seorang lagi komander Abu Sayyaf, menurut Brigidier Jeneral Divino Rey Pabayo Jr, komander operasi tentera darat.

Sawadjaan telah didakwa bekerjasama dengan beberapa militan, termasuk pengebom bunuh diri rakyat Indonesia dalam merancang dan melancarkan serangan pada 27 Jan itu ke atas Our Lady of Mount Carmel Cathedral di Jolo, Filipina, kata pegawai. Bagaimanapun, pihak berkuasa di Jakarta menafikan pembabitan rakyat Indonesia dalam insiden itu.

Tidak diketahui lagi jika terdapat kemalangan jiwa atau kecederaan di pihak musuh dalam serangan udara itu.

“Kami telah meningkatkan serangan taktikal kami ke atas ASG susulan pemantauan dan maklumat sahih mengenai penggabungan pengganas ASG di pedalaman Patikul,” kata Pabayo.

“Serangan tentera ini dilancarkan sebelum mereka mampu melakukan sebarang tindakan keganasan yang telah mereka rancang, yang saya percaya adalah sesuatu yang besar memandangkan mereka telah menggabungkan sejumlah besar pengganas,” tambah beliau.

Lihat Laman Penuh