Anggota Parlimen Pembangkang Tuntut Speaker Dewan Tarik Balik Arahan Larangan 1MDB

Hata Wahari
2016.11.08
Kuala Lumpur
161108-my-mahathir-parlimen620.jpg Bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad bersama barisan pemimpin pembangkang Malaysia selepas mempengerusi mesyuarat di bangunan Parlimen, Kuala Lumpur, 8 November 2016.
[Hata Wahari/BeritaBenar]

Anggota Parlimen dari parti pembangkang pada Selasa menuntut supaya Speaker Parlimen Malaysia menarik balik arahan terhadap anggotanya yang tidak dibenarkan bertanya atau menjawab sebarang soalan berkaitan dengan 1 Malaysia Development Berhad  (1MDB) serta hal-hal mengenai tindakan saman sivil Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ).

Bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad yang menjadi wakil rakyat Kubang Pasu selama 30 tahun, buat pertama kalinya, hadir di Parlimen selepas beliau bersara pada tahun 2003, bersama mereka yang pernah menjadi seteru politik beliau untuk menghadiri mesyuarat khas mengenai keistimewaan dan imuniti anggota Parlimen.

Seramai 70 anggota parlimen pembangkang dan Mahathir  mengadakan mesyuarat di bangunan Parlimen, selain menuntut  agar soalan berkaitan dengan wang sebanyak RM2.6 bilion (AS$700 juta) yang dimasukkan ke dalam  akaun Perdana Menteri Najib Razak, dibenarkan ditanya di dalam Dewan Rakyat.

Mereka juga menuntut Speaker Parlimen Pandikar Amin Mulia mengembalikan hak ahli parlimen untuk berbahas mengenai masalah rakyat tanpa disekat supaya rakyat mendapat manfaat daripada perbahasan di Parlimen

Pandikar pada 17 Oktober lalu dilaporkan berkata, menteri tidak perlu menjawab soalan yang dikemukakan wakil rakyat mengenai saman Jabatan Kehakiman AS yang telah menyita aset yang didakwa dibeli menggunakan dana 1MDB, kerana menurutnya, kes itu adalah ‘sub judice’ memandangkan ia masih dibicarakan di mahkamah AS.

“Sebarang usaha untuk mengekang suara anggota Parlimen di Dewan Rakyat melanggar hak istimewa mereka sebagai wakil yang dipilih oleh rakyat,” kata anggota Parlimen Sungai Petani dari Parti Keadilan Rakyat Johari Abdul yang membacakan kenyataan tersebut.

Mahathir yang kini Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mempertahankan kebebasan Dewan Rakyat pada era beliau, dan berkata ia lebih demokratik berbanding sekarang di bawah pentadbiran Najib.

“Saya rasa sangat sedih kerana Parlimen ini bukan Parlimen yang kita ada sejak zaman (Perdana Menteri pertama) Tunku Abdul Rahman.

“Kecuali peraturan tidak menghasut kaum. Jika tidak, tiada sekatan dan tindakan diambil terhadap apa yang dikatakan di Parlimen.

“Walaupun ketika mereka kata saya mahazalim dan mahafiraun. Malah, kalau mereka mahu gelar saya seperti itu sekarang, tidak apa,” katanya kepada media di Parlimen.

Mahathir kembali sebagai pembangkang

Mahathir yang kembali ke Parlimen buat kali pertama selepas bersara turut melahirkan rasa sedihnya sambil berkata “bangunan ini cantik tetapi kandungannya tidak ada.”

“Di dalam Dewan Rakyat tidak boleh berucap mendedahkan perkara ini walaupun perkara ini  di ketahui malahan dibahaskan di seluruh dunia. Kini anggota Parlimen juga tidak boleh membahaskannya dan jika sekiranya dilakukan akan disiasat di bawah Akta Rahsia Rasmi  (OSA ),” katanya.

Tegas Dr. Mahathir, OSA hanya melindungi dasar-dasar kerajaan tetapi sekiranya pemimpin melakukan jenayah di dalam kerajaan, ia seharusnya dilaporkan tetapi malangnya kalau dilaporkan akan ditangkap serta dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan melanggar OSA.

Antara yang hadir dalam mesyuarat untuk mempertahankan kebebasan ahli-ahli Parlimen ialah Ketua Pembangkang yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat Wan Azizah Wan Ismail, Presiden PPBM Muhyiddin Yassin, Presiden Parti Warisan Sabah Shafie Apdal, Anggota Parlimen Gelang Patah dan pemimpin Parti Tindakan Demokratik (DAP), Lim Kit Siang dan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guang Eng serta satu-satunya wakil dari PAS iaitu Anggota Parlimen Pokok Sena Mahfuz Omar.

Dalam pada itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Azalina Othman Said yang bertanggungjawab dalam hal- ehwal Parlimen menegaskan tindakan pembangkang menjemput Mahathir ke Parlimen menunjukkan mereka begitu terdesak sehingga perlu mendapatkan sokongan daripada pihak luar.

"Saya hairan kenapa pembangkang tidak menggunakan Peraturan Mesyuarat sedia ada bagi membawa usul untuk dibincangkan sesuatu perkara yang tidak dipersetujui di dalam Dewan Rakyat.

"Mendiang Anggota  Parlimen Bukit Gelugor pernah membawa usul kepada Dewan Rakyat berhubung isu penahanan beliau di Parlimen pada 26 Februari 2009. Usul itu telah diluluskan dan satu Jawatankuasa Pilihan telah ditubuhkan bagi menyiasat insiden tersebut," katanya sambil memberi contoh kes, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa.

Menurut Azalina, Dewan Rakyat mempunyai mekanisme dan prosedur tersendiri untuk mengadili sesuatu perkara itu secara adil dan saksama.

Manakala Ketua Penerangan UMNO, Annuar Musa yang merupakan anggota Parlimen Ketereh, Kelantan berkata kehadiran Mahathir di Parlimen bagaikan “kereta antik dalam perlumbaan F1” – “ cantik dilihat tetapi tidak memberi kesan langsung”.

Wan Azizah pula menegaskan semua pihak termasuk anggota-anggota Parlimen perlu bersatu buat perubahan sebagai jaminan agar (negara) ditadbir secara berkesan.

“Bagi mengelakkan pentadbiran yang pincang, pihak berkuasa dan rakyat perlu melihat ke hadapan bukan sebagai individu tetapi sebagai rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau juga menegaskan bahawa perbincangan mengenai 1MDB adalah kepentingan negara kerana ia merupakan skandal kewangan negara yang terbesar dalam sejarah dan perlu diberi ruang seluasnya untuk dibincangkan, khususnya di Parlimen.

“Saya juga berharap Speaker Dewan Rakyat, Pandikar Amin Mulia akan memastikan perlindungan tegas yang diberikan kepada anggota Parlimen melalui Perkara 63 tidak dicabuli dan menasihatkan polis dengan sewajarnya.

“Semua Ahli Parlimen perlu diberikan ruang secukupnya mengikut Perlembagaan dan Aturan Mesyuarat dan tidaAk diugut dengan apa cara pun, demi kebaikan masa depan demokrasi Malaysia,” kata beliau.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.