Mahathir Peringatkan PH Supaya Kekal Bersatu Sempena Ulang Tahun Pertama

Hadi Azmi
2019.05.09
Putrajaya, Malaysia
190509-MY-PH-Anniversary1000.jpg Perdana Menteri Malaysia, Mahathir Mohamad, menyampaikan perutusan sempena ulang tahun pertama kerajaan Pakatan Harapan yang mengambil alih tampuk pemerintahan negara selepas memenangi pilihan raya umum yang mencatatkan sejarah, di Putrajaya, 9 Mei 2019.
[S.Mahfuz/BeritaBenar]

Perdana Menteri Mahathir Mohamad pada Khamis menyeru parti-parti dalam Pakatan Harapan (PH) supaya kekal bersatu atau berisiko membawa Malaysia menjadi "negara gagal", ketika negara itu meraikan ulang tahun pertama perubahan kerajaan yang menakjubkan.

Keempat-empat parti gabungan PH telah mengetepikan perbezaan mereka untuk meraih kemenangan bersejarah pada pilihan raya umum 9 Mei tahun lalu bagi menyelamatkan Malaysia daripada kerajaan yang dianggap sebagai kleptokrasi, kata Mahathir semasa menyampaikan perutusan sempena satu tahun pemerintahan PH yang disiarkan secara langsung dari pusat pentadbiran Putrajaya.

"Pakatan Harapan ditubuhkan sebagai satu gabungan empat parti lawan. Tujuan utamanya hanyalah satu - untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinin Najib Razak, "katanya sambil disambut dengan tepukan gemuruh daripada hadirin yang berhimpun di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.

Mahathir mengimbau kesukaran perjuangan PH menentang gabungan Barisan Nasional diterajui parti utamanya, Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), yang telah mentadbir Malaysia selama 61 tahun.

Pakar-pakar politik, ahli-ahli akademik dan para kolumnis akhbar, yang menganggap kempen itu sebagai mustahil, jelas tidak sepenuhnya memahami kekecewaan rakyat terhadap kepimpinan rasuah BN, kata Perdana Menteri.

“Tanpa takut kepada ugutan, tekanan dan rasuah pilihan raya, rakyat menolak Kerajaan BN dan memberi mandat yang besar kepada Pakatan Harapan,” kata beliau.

"Tetapi, jika kita tidak dapat mengetepikan perbezaan kita, masa depan negara akan menjadi amat buruk dan rakyat akan terus menderita. Besar kemungkinan Malaysia akan menjadi apa yang dipanggil sebagai negara gagal,” tegas beliau.

Pakatan Harapan, yang terdiri daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP), Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dipengerusikan  Mahathir telah memenangi 113 daripada 222 kerusi di Parlimen untuk membolehkannya menubuh kerajaan dengan kemenangan majoriti.

Sejak itu, kerajaan Pakatan Harapan bertindak membanteras rasuah, membuka semula penyiasatan terhadap dana negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB), yang dibelenggui masalah.

Siasatan itu membawa kepada pertuduhan jenayah terhadap Najib dan mereka yang dikaitkan dengan apa, yang didakwa oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat, termasuk pengalihan sebanyak AS$4.5 bilion (RM18.3 bilion) wang berkaitan 1MDB ke dalam akaun bank miliknya, rakan dan keluarganya. Para pegawai kerajaan Amerika Syarikat menyifatkan skandal 1MDB, yang merentasi dunia, sebagai "kleptokrasi yang paling buruk."

Walaupun Najib sedang dibicarakan bagi tujuh daripada 42 pertuduhan yang difailkan terhadapnya, Mahathir berkata rakyat semakin bosan dengan cerita dan laporan mengenai perbuatan salah laku kerajaan terdahulu dan mahukan kerajaan semasa untuk menunaikan janji-janji pilihan raya.

"Hakikatnya, perbuatan yang salah oleh Kerajaan Barisan Nasional di bawah Najib, memang menjadi masalah besar yang mengganggu pemulihan negara dan kesejahteraan rakyat,” kata Mahathir.

Selain itu, kerajaan beliau yang membuat janji dalam manifesto Buku Harapan, telah berdepan dengan kritikan daripada para pembangkang yang bersekutu dengan Najib kerana gagal menunaikan janji serta mempergunakan bekas perdana menteri itu sebagai ‘kambing hitam’.

"Cabaran utama ialah memulihkan imej negara ini. Ramai yang membuat macam-macam tuduhan terhadap kami termasuk akhbar dan media sosial kerana mereka melihat kami sebagai sasaran, "kata Mahathir.

Selepas setahun memerintah, kerajaan Pakatan Harapan telah membawa kepelbagaian dalam kepimpinannya di Malaysia yang mempunyai penduduk pelbagai kaum dan agama. Antara yang pertama dalam kerajaan itu ialah Timbalan Perdana Menteri wanita Wan Azizah Wan Ismail; Ketua Hakim wanita Tengku Maimun Tuan Mat; dan seorang peguam bukan etnik Melayu Tommy Thomas.

"Kita perlu lakukan sesuatu, dan apabila kita melakukan sesuatu, kita mendedahkan diri kepada kritikan - kita mesti mengambil tindakan terhadap mereka yang mencuri wang daripada kerajaan," kata Perdana Menteri. "Sudah tentu, sesetengah orang tidak begitu gembira kerana mereka menyangka mereka dapat lari daripada kesalahan mereka."

Najib: 'Sedih dengan apa yang berlaku dengan negara kita'


Selepas setahun berulang alik ke mahkamah bagi menghadapi sejumlah besar pertuduhan dan menyaksikan polis merampas berjuta-juta wang tunai, barang kemas dan beg tangan berjenama daripada premis yang dikaitkan dengannya, populariti Najib semakin meningkat. Antara yang kembali kepada Najib adalah pengundi yang tidak berpuas hati dan mahu masalah ekonomi segeri diatasi seperti yang dijanjikan oleh Pakatan Harapan.

Pada hari ulang tahun pertama pilihan raya umum yang menyaksikan beliau disingkirkan daripada kuasa, Najib memuat naik video berdurasi 12 minit di laman Facebook di mana beliau membaca senarai kegagalan Pakatan Harapan serta dakwaan yang dianggapnya sebagai fitnah yang dilemparkan terhadap dirinya. Video itu ditonton lebih 100,000 kali dalam jam pertama selepas dimuat naik.

"Saya sedih dengan apa yang berlaku dengan negara kita selepas satu tahun sahaja, namun ada hikmahnya kerana rakyat boleh membuat perbandingan antara Pakatan Harapan dan Barisan Nasional," kata Najib.

Perdana Menteri sementara


Ketika ditemui pemberita sebelum menyampaikan perutusannya yang disiarkan secara langsung di televisyen, Mahathir, 93, bercakap tentang penyandangan jawatannya. Tetapi, beliau tidak menjelaskan sama ada beliau bercadang untuk terus menjadi pemimpin negara selama satu atau dua tahun lagi.

Beliau pernah memberitahu untuk melepaskan jawatan bagi memberi laluan kepada penggantinya, Anwar Ibrahim, pemimpin PKR yang dipenjarakan tahun lalu tetapi mendapat pengampunan Yang di-Pertuan Agong dan kemudian dipilih menjadi Anggota Parlimen.

"Saya fikir saya dapat melakukan pemulihan dalam tempoh dua tahun dan selepas itu, orang lain tidak hadapi banyak masalah,” kata Mahathir sambil memberitahu bahawa beliau melihat dirinya sebagai perdana menteri sementara.

Sementara itu, Anwar turut menyampaikan perutusan sempena setahun pembentukan kerajaan Pakatan Harapan. Beliau mengingatkan tentang perlunya menangani masalah perkauman, sebelum mengucapkan terima kasih kepada Mahathir, bekas seteru politiknya, kerana membantu pembangkang mendapatkan kemenangan pada pilihan raya umum 2018.

“Harus diingatkan bahawa masalah hubungan antara kaum di negara ini dilihat semakin meruncing tatkala Pakatan Harapan sedang menjelmakan perubahan dan reformasi yang didambakan,” katanya kepada Malaysiakini pada Rabu. “Ancaman api perkauman dan kejumudan tidak harus dipandang enteng dan dikesampingkan, malah jika dibiar, ia mampu meroboh segala usaha dalam meletakkan negara ini kembali ke landasannya.”

Mahathir pula terus menerima tekanan daripada kalangan orang Melayu supaya melindungi hak-hak istimewa mereka seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.

Pada November, beliau menarik balik janji bahawa bahawa kerajaannya akan menyokong satu perjanjian PBB, Konvensyen Antarabangsa Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD). Langkah itu dibuat di tengah-tengah kecaman para pengkritik yang menyuarakan kebimbangan bahawa tindakan menyokong perjanjian itu boleh menjejaskan hak keistimewaan orang Melayu.

Setahun lalu, kerajaan PH terperangkap dalam suasana politik dan sosioekonomi yang tidak menentu, kata penganalisis politik Oh Ei Sun.

"Pada satu sudut, mereka mempunyai pengundi teras yang liberal dan di sudut lain ialah pengundi regresif dan konservatif yang mengelak memilih mereka dalam pilihan raya umum lalu dan mahu didekati mereka," kata Oh kepada BeritaBenar. "Oleh itu, anda kerap melihat keadaan tidak menentu dalam inisiatif dasar pemikiran liberal."

Selepas mencapai matlamat mereka untuk menggulingkan Najib, Oh berkata gabungan PH yang rapuh boleh berpecah belah.

"Ini tidak mustahil berlaku sekiranya mereka tidak mengambil berat tentang krisis penggantian antara Mahathir yang jelas nampak keberatan dan Anwar yang kelihatan mendesak," katanya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.