Perdana Menteri Mahu Rakyat Bersama Bantu Kerajaan Banteras Rasuah

Muzliza Mustafa & Ray Sherman
2018.10.30
Kuala Lumpur, Malaysia
181030-MY-Mahathir1000.jpg Perdana Menteri Malaysia, Mahathir Mohamad menjawab soalan pada satu majlis di Universiti Chulalongkorn di Bangkok, 25 Oktober 2018.
AFP

Perdana Menteri Malaysia, Mahathir Mohamad pada Selasa meminta orang ramai melaporkan amalan rasuah dalam pentadbiran kerajaannya sendiri, dengan turut memberi jaminan bahawa tiada tindakan akan diambil terhadap pemberi maklumat.

Dalam ucaptama di Persidangan Anti-Rasuah 2018 yang bertemakan "Good Governance And Integrity For Sustainable Business Growth" anjuran Transparency International Malaysia (TI-M) di Kuala Lumpur, beliau berkata kerajaan juga akan memastikan sesiapa yang melakukan kesalahan akan dihadapkan ke muka pengadilan.

“Kami memerlukan sokongan rakyat. Rakyat hendaklah memahami bahawa rasuah adalah sesuatu yang tidak baik untuk mereka. Oleh itu, mereka perlu memainkan peranan dalam menghapuskan rasuah,” kata Perdana Menteri berusia 93 tahun.

Beliau berkata, pada masa ini, fokus utama pentadbiran sekarang adalah terhadap rasuah yang melibatkan kerajaan terdahulu, tetapi jika ada bukti berlakunya rasuah dalam kerajaan baru, rakyat perlu memaklumkannya kepada pihak berkuasa.

"Setakat ini, kita belum lagi mendengar laporan mengenai pegawai korup dalam kerajaan baru. Di dalam kerajaan yang lalu, pelantikan pegawai di pelbagai agensi kerajaan adalah dari parti yang membentuk kerajaan, dan mereka ini tidak peduli dengan tanggungjawab untuk melaksanakan kerja yang ditugaskan; sebaliknya hanya mahu keuntungan bagi diri mereka sendiri, " tambah Mahathir.

Mahathir menambah bahawa semua pegawai yang dilantik oleh parti politik telah dikeluarkan dan digantikan oleh mereka yang profesional sebagai sebahagian daripada usaha membersihkan kerajaan daripada rasuah.

"Di dalam kerajaan ini, penting bagi seseorang yang terpilih dalam pilihan raya lalu untuk mengelakkan rasuah. Jadi peraturan baru telah diperkenalkan dalam usaha untuk memerangi rasuah di kalangan pemimpin kerajaan.

"Mereka kini menikmati kuasa yang sama seperti kerajaan sebelum ini dan pentadbiran baru mesti menunjukkan dari awal lagi bahawa kerajaan baru ini tegas dan bebas daripada rasuah," tegas Mahathir.

Sementara itu semasa sidang media, Perdana Menteri mendedahkan yang ramai lagi pegawai kerajaan dari pentadbiran terdahulu akan berhadapan dengan tindakan undang-undang atas kesalahan rasuah.

“Sebaik sahaja kita mempunyai cukup bukti, kita akan bertindak terhadap mereka namun buat masa ini, kita mempunyai tugas untuk memerintah negara, kita tidak boleh hanya memberi tumpuan kepada pembasmian rasuah sahaja,” katanya

Pembaharuan undang-undang rasuah


Terdahulu itu, Presiden Transparency International Malaysia, Akhbar Satar menggesa pentadbiran sekarang supaya tidak terlalu mengikut cara pentadbiran di bawah Barisan Nasional, terutamanya dalam masalah melibatkan rasuah.

Akhbar menggesa kerajaan untuk mempercepatkan usaha pembaharuan undang-undang dan institusi, dan merangka undang-undang yang melibatkan pengisytiharan aset dan pembiayaan parti politik.

Beliau menambah bahawa terdapat keperluan mendesak untuk memperkukuhkan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat, dan pelaksanaan Akta Kebebasan Maklumat, di peringkat persekutuan.

Presiden TI-M itu menambah, melindungi kebebasan akhbar di mana wartawan mempunyai peranan penting dalam sistem demokrasi yang bergantung kepada pemeriksaan dan imbangan juga perlu diberi keutamaan.

Beliau berkata, kajian menunjukkan bahawa kebebasan akhbar mempunyai kuasa untuk membanteras rasuah. Terdapat bukti yang mengaitkan kebebasan akhbar dengan kawalan rasuah seperti Norway dan Belanda yang memiliki Indeks Persepsi Rasuah [CPI] tinggi.

“Kita memerlukan wartawan untuk membantu agensi-agensi penguatkuasa dan kerajaan mendedahkan skandal rasuah profil tinggi. Wartawan itu mesti objektif, melaporkan kebenaran dan bersikap neutral dalam memberi laporan dengan maklumat yang tepat dan bernilai tinggi,” katanya lagi.

Akhbar mendedahkan bahawa CPI Malaysia turun dari tempat ke-55 pada 2016 ke tangga 62 pada 2017 sambil menambah “Ini merupakan tahap rasuah di Malaysia yang paling buruk sejak penubuhan CPI pada 1994.”

"Dengan mengadakan Persidangan Anti-Rasuah di Kuala Lumpur ini, dialog-dialog penting boleh menangani isu, dan kerajaan boleh mengambil tindakan yang sangat diperlukan,” ujar beliau.

Penceramah lain di persidangan itu termasuk ahli akademik dan pemberi maklumat dalam kes 1Malaysia Development Berhad [1MDB], Andre Justo Xavier, Menteri Undang-undang Hanipa Maidin dan peguam Eric Paulsen.

Justo, seorang warga Switzerland yang dipenjarakan selama 18 bulan di Thailand dalam skandal 1MDB, menegaskan bahawa beliau akan terus memberi maklumat mengenai 1MDB jika diperlukan lagi tetapi akan memastikan keselamatannya dan keluarga sebelum mengambil sebarang langkah yang berisiko tinggi.

"Kalau diperlukan, saya akan lakukannya sekali lagi.Tetapi saya akan lindungi keluarga saya daripada masalah ini…orang yang anda sayangi tidak sepatutnya menderita akibat tindakan anda," katanya yang juga bekas eksekutif PetroSaudi International Ltd.

Mengenai peranannya dalam mendedahkan skandal 1MDB, Justo berkata ia bukan "pilihan yang sukar untuk dibuat".

Pada 22 Jun 2015, Justo ditangkap di rumahnya di pulau Koh Samui, Thailand selepas para pegawai PetroSaudi memfailkan aduan bahawa beliau cuba memeras ugut firma itu sebanyak 2.5 juta Swiss francs (RM11 juta) dengan menggunakan dokumen yang dicuri daripada syarikat berkenaan.

Bagaimanapun, pada Disember 2016, Justo adalah seorang daripada beribu-tibu banduan asing yang diberi pengampunan oleh Raja Thailand, Raja Maha Vajiralongkorn Bodindradebayavarangkun.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Justo berkata ahli perniagaan yang menjadi buruan Malaysia, Low Taek Jho (Jho Low), akan ditangkap apabila sudah kehabisan wang.

"Saya tidak tahu beliau berada di mana, tetapi saya tahu dia akan ditangkap satu hari nanti. Dia hanya membelanjakan wang dan tidak mempunyai pendapatan… ini akan mengambil masa tetapi suatu hari nanti beliau mungkin akan kehabisan wang dan tidak dapat lagi membiayai kehidupannya di negara itu,"katanya.

Bekas perdana menteri Malaysia, Najib Razak didakwa dengan 38 pertuduhan berkaitan siasatan rasuah, pengubahan wang haram dan penyalahgunaan kuasa berkaitan skandal 1MDB, manakala isterinya dituduh dengan 12 pertuduhan pengubahan wang haram dan lima dakwaan penipuan cukai yang dikaitkan dengan skandal yang sama.

Kedua-duanya dan beberapa lagi pegawai kanan kerajaan kini sedang disiasat berhubung 1MDB selepas kes itu dibuka semula berikutan kemenangan mengejut blok Pakatan Harapan yang diketuai oleh Mahathir pada  pilihan raya umum 9 Mei lalu.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.