Follow us

Peletakan Jawatan Mahathir Sebagai PM Mengejutkan Malaysia

Muzliza Mustafa, Lex Radz, Noah Lee, Hadi Azmi & Nisha David
Kuala Lumpur, Malaysia
2020-02-24
E-mel
Komen
Share
Kereta rasmi yang membawa Perdana Menteri Mahathir Mohamad memasuki Istana Negara pada kira-kira pukul 5 petang di Kuala Lumpur, 24 Februari, 2020.
Kereta rasmi yang membawa Perdana Menteri Mahathir Mohamad memasuki Istana Negara pada kira-kira pukul 5 petang di Kuala Lumpur, 24 Februari, 2020.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad meletak jawatan pada Isnin berikutan perpecahan dalam pakatan pemerintah namun, Yang di-Pertuan Agong telah meminta beliau untuk menjadi perdana menteri interim sehingga berakhirnya krisis politik itu.

Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah menerima peletakan jawatan pemimpin berusia 94 tahun itu dan, atas nasihat Mahathir, turut memberi pekenan supaya membubarkan Kabinet, kata Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali.

"Beliau [Mahathir] akan menguruskan pentadbiran negara sehingga perdana menteri dan anggota kabinet yang baru dilantik," kata Mohd Zuki dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas Mahathir, pemimpin tertua di dunia, menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara di Kuala Lumpur.

Keputusan Mahathir menyusuli kenyataan partinya, Bersatu, yang mengumumkan bahawa ia telah keluar daripada gabungan Pakatan Harapan, yang menyaksikan langkah mengejutkan itu dibuat selepas sekutu-sekutunya mengadakan beberapa pertemuan tertutup yang dilihat sebagai usaha untuk menyekat penggantinya yang dilantik, Anwar Ibrahim, daripada menyandang kuasa sebagai Perdana Menteri.

Bagaimanapun lewat malam Isnin, Setiausaha Agung Bersatu Marzuki Yahya berkata, "Majlis Tertinggi Bersatu yang bermesyuarat malam ini menolak peletakan jawatan Mahathir sebagai pengerusi parti,"

Laporan tempatan menyatakan bahawa lebih 36 Ahli Parlimen telah menarik diri daripada Pakatan Harapan termasuk Ahli Parlimen dari Parti Keadilan Rakyat - parti pimpinan Anwar - dalam pergolakan politik yang menggagalkan peralihan kuasa yang dirancang.

Walaupun spekulasi media tempatan menyatakan Mahathir terlibat dengan gerakan terancang itu, Anwar dan sekutu lain seperti Menteri Kewangan Lim Guan Eng, berkata Mahathir meletak jawatan kerana beliau menolak cubaan bekas rakan sekutu dalam kerajaan sebelum ini, yang telah ditewaskannya pada pilihan raya 2018, untuk bergabung dengannya.

"Nama beliau digunakan oleh orang di dalam dan di luar parti saya,” kata Anwar kepada pemberita.

Anwar, yang menyifatkan peristiwa yang berlaku pada Ahad sebagai ‘pengkhianatan’, berkata Mahathir telah memberitahunya bahawa "beliau tidak mungkin menjalinkan kerjasama dengan mereka yang berkaitan dengan rejim pemerintahan terdahulu", yang merujuk kepada kerajaan dicemari rasuah pimpinan Najib Razak, yang menghadapi pelbagai tuduhan jenayah berhubung skandal rasuah bernilai berbilion ringgit dalam dana kerajaan 1MDB.

MY-anwar-inside1.jpg

Presiden Parti Keadilan Rakyat [PKR] Anwar Ibrahim dan isterinya Wan Azizah Wan Ismail tiba di Ibupejabat PKR untuk mesyuarat majlis pimpinan pusat di Petaling Jaya, Selangor, 24 Februari, 2020. [S. Mahfuz/BeritaBenar] 

Percubaan jahat

Lim Guan Eng, ahli Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang merupakan parti komponen utama dalam pakatan itu, berkata Mahathir telah memaklumkan kepadanya mengenai hasrat beliau untuk meletakkan jawatan sebagai tanda membantah "cubaan jahat" untuk menggulingkan kerajaan semasa.

"Mahathir dengan jelas menyatakan bahawa beliau tidak boleh bekerja dengan UMNO selepas kami berusaha keras untuk menyingkirkan UMNO dan Berjaya melakukannya pada pilihan raya umum 2018," kata Lim kepada pemberita. Beliau berkata partinya akan menamakan semula Mahathir sebagai perdana menteri.

Peletakan jawatan Mahathir dibuat beberapa hari selepas mesyuarat bersama Anwar dan ahli-ahli lain majlis presiden Pakatan Harapan, di mana Mahathir berkata sekutu politiknya telah bersetuju bahawa beliau akan memutuskan masa terbaik untuk meletak jawatan.

"Saya akan membuat keputusan bila saya meletak jawatan. Terserahlah kepada saya. Mereka mempunyai keyakinan penuh terhadap saya, "kata Mahathir pada wartawan pada masa itu di Putrajaya, pusat pentadbiran negara.

"Saya telah berkata bahawa peralihan akan berlaku selepas APEC, tetapi tidak ada masa, tiada tarikh, tiada apa-apa yang ditetapkan," kata Mahathir pada ketika itu, yang merujuk kepada forum Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang akan dihoskan oleh Malaysia di Putrajaya.

Pejabat Perdana Menteri mengumumkan mengenai peletakan jawatan Mahathir dalam kenyataan dua perenggan, yang tidak memberikan sebarang penjelasan. Ia dilakukan sejurus sebelum sekutu-sekutunya menimbulkan kemungkinan bahawa kerajaan baru akan dibentuk selepas Bersatu mengumumkan bahawa ia telah meninggalkan pakatan pemerintah selain 11 Anggota Parlimen turut meninggalkan parti Anwar.

Kemelut politik itu, yang dianggap berpunca daripada peletakan jawatan Mahathir, berlaku kurang daripada dua tahun selepas Mahathir dan sekutu-sekutunya dalam Pakatan Harapan mencatatkan kemenangan pilihan raya dan menghancurkan gabungan parti yang pernah menerajui Malaysia selama 61 tahun.

Semasa kempen pilihan raya umum, Mahathir berjanji membersihkan kerajaan dan mahu melahirkan negara yang mencerminkan kepelbagaian  serta memberitahu bahawa beliau akan menyerahkan kuasa kepada Anwar, bekas seteru kuat beliau,

Beliau bergabung dengan Anwar, yang pernah dipenjarakan bagi pertuduhan liwat, selepas bertindak keluar dari Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), parti tunjang dalam gabungan pemerintah yang menguasai politik Malaysia sejak memperoleh kemerdekaan dari Britain pada 1957.

Menjelang pilihan raya umum 2018, Anwar yang ketika itu dipenjarakan atas sabitan liwat, menjalinkan kerjasama dengan Mahathir di mana Mahathir bersetuju untuk menyerahkan tampuk pemerintahan kepada Anwar selepas dua tahun berkhidmat. Mahathir mengangkat sumpah jawatan pada 10 Mei 2018.

Selepas pilihan raya itu, Anwar diberi pengampunan diraja dan dibebaskan dari penjara sebelum beliau memenangi kerusi Parlimen dalam pilihan raya kecil.

Oh Ei Sun, seorang pegawai kanan di Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, berkata peletakan jawatan Mahathir dapat membuka jalan bagi pembentukan gabungan baru.

Pilihan raya kilat boleh diadakan jika mana-mana pihak dapat mengadakannya, sebelum pihak lain bergabung mendapatkan majoriti," katanya. "Ketidaktentuan politik bukanlah sesuatu yang bagus. Sukar untuk melihat laluan menuju ke hadapan dari sini."

Lihat Laman Penuh