Rusia mungkin pilih guna senjata nuklear, kata Mahathir

Dunia mungkin berdepan perang nuklear susulan konflik Ukraine-Rusia yang masih berlanjutan, kata bekas Perdana Menteri Malaysia itu.
Staf RFA
2023.05.26
Rusia mungkin pilih guna senjata nuklear, kata Mahathir Bekas Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad semasa berucap pada Forum Nikkei 'Masa Depan Asia' di Tokyo, 26 Mei 2023.
[AFP]

Bekas Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad memberi amaran bahawa dunia mungkin berdepan perang nuklear susulan konflik Ukraine dan Rusia yang masih berlanjutan.

Pencerobohan Rusia ke atas Ukraine merupakan konflik berdarah terburuk di Eropah sejak Perang Dunia Kedua dan meningkatkan ketegangan hubungan antara Moscow dan dunia Barat ke tahap yang tidak pernah disaksikan sejak beberapa dekad.

Bercakap di hari kedua persidangan Masa Depan Asia di Tokyo pada Jumaat, di mana ulasan beliau disiarkan secara langsung dalam talian, Mahathir berkata beliau berpandangan bahawa Rusia tidak akan pernah sesekali mengaku kalah.

“Mereka akan berjuang sehingga ke titisan darah yang terakhir dan dalam keadaan terdesak, mungkin terpaksa menggunakan senjata nuklear,” kata negarawan Malaysia yang bakal berusia 98 tahun itu pada Julai depan sambil menambah jika perkara itu berlaku, bukan hanya Ukraine dan Rusia malah seluruh dunia akan berdepan kesengsaraan.”

Mahathir menjadi Perdana Menteri Malaysia dari tahun 1981 hingga 2003 dan sekali lagi menyandang jawatan itu dari 2018 hingga 2020.

“Perang nuklear adalah satu bentuk peperangan paling teruk susulan kemusnahan yang dibawanya,” kata beliau sambil mengimbau pengakhiran Perang Dunia Kedua selepas dua butir bom atom digugurkan ke atas bandaraya Hiroshima dan Nagasaki di Jepun pada 1945.

Beliau turut mengulas usaha negara-negara G7 bagi menamatkan konflik itu. Blok yang terdiri daripada negara-negara paling maju di dunia itu telah mengadakan sidang kemuncak di Hiroshima bagi membincangkan isu tersebut minggu lepas.

“Nampaknya negara-negara G7 telah ke Hiroshima untuk cuba mendesak negara-negara Selatan Global agar mereka menyokong usaha dunia Barat berkaitan perang di Ukraine,” kata Mahathir.

Selatan Global adalah terma yang digunakan untuk merujuk negara-negara dunia ketiga atau kurang membangun di Amerika Latin, Afrika, Asia dan Oceania berbanding negara-negara yang lebih maju di Utara Global termasuk Amerika Utara, Eropah dan Australia selain beberapa negara Asia yang kaya seperti Jepun, Korea Selatan dan Singapura.

“Kita tidak seharusnya terlibat dalam peperangan itu,” kata bekas pemimpin berkenaan sebelum melontarkan kritikan yang disifatkan beliau sebagai “inilah cara sesetengah negara berfikir.”

“Utara Global berpendapat peperangan adalah jalan penyelesaian kepada konflik kedua-dua negara,” kata Mahathir.

“Rusia dan dunia Barat adalah rakan kongsi ketika perang menentang Jerman namun sebaik sahaja ia berakhir, dunia Barat memutuskan bahawa musuh baharu mereka ialah Rusia, jadi mereka telah menubuhkan NATO.”

‘Kerajaan sedunia’

Persaingan antara dua kuasa besar dunia iaitu China dan Amerika Syarikat sekali lagi ditonjolkan pada Forum Masa Depan Asia yang kini memasuki tahun yang ke-28.

Presiden Sri Lanka Ranil Wickremesinghe pada Khamis berkata negara itu “mengalu-alukan pengumuman G7 bahawa mereka bersedia menjalin hubungan yang stabil dan konstruktif dengan China.”

Timbalan Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong pula berkata: “Sebarang percubaan sama ada bagi membendung kebangkitan China atau mengehadkan kehadiran Amerika di rantau ini tidak akan mendapat sokongan. Tiada siapa yang ingin melihat perang dingin yang baharu berlaku.”

230526-MY-JP-Mahathir-Inside.jpeg

Bekas Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad menghadiri Forum Nikkei 'Masa Depan Asia' di Tokyo pada 26 Mei 2023. [AFP]

Di pihak beliau, Mahathir menggesa negara-negara Asia agar “tidak menyokong mana-mana pihak sama ada AS atau China.”

“Kita seharusnya menyokong dunia yang merangkumi AS, China dan negara-negara lain.

“Kita sepatutnya membebaskan diri daripada pengaruh dunia Barat sama ada dalam bidang ekonomi mahupun politik.

Beliau berkata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu juga perlu distruktur semula bagi menerajui usaha menangani masalah bersama dunia seperti perubahan iklim, pandemik dan kesan peperangan.

“Kita sepatutnya memikirkan pendekatan bersama bagi menangani masalah dunia dalam bentuk kerajaan sedunia,” katanya.

Forum Masa Depan Asia, yang dihoskan oleh syarikat media Jepun iaitu Nikkei secara tahunan sejak 1995, adalah “satu perhimpunan antarabangsa di mana pemimpin politik, ekonomi dan akademik dari rantau Asia Pasifik melontarkan pendapat mereka secara terus-terang dan bebas berhubung isu serantau serta peranan Asia di dunia.”

Tema tahun ini ialah 'Leveraging Asia’s power to confront global challenges" (Memanfaatkan kuasa Asia menghadapi cabaran global).

Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida, yang menyampaikan ucapan pada Khamis, berkata Tokyo kini "memfokus kepada langkah mewujudkan masa depan secara bersama” dengan rakan-rakan kongsinya dari Asia.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.