Follow us

Rusuhan Di Kuil Hindu Bukan Isu Perkauman, Agama, kata Mahathir

Hadi Azmi
Kuala Lumpur, Malaysia
2018-11-27
E-mel
Komen
Share
Seramai 16 orang berumur antara 18 dan 49 tahun di bawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya untuk mendapatkan perintah reman, selepas ditahan dalam kejadian kekecohan pada Isnin di luar kawasan Kuil Hindu Sri Maha Mariamman di Subang Jaya, Selangor,  27 Nov 2018.
Seramai 16 orang berumur antara 18 dan 49 tahun di bawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya untuk mendapatkan perintah reman, selepas ditahan dalam kejadian kekecohan pada Isnin di luar kawasan Kuil Hindu Sri Maha Mariamman di Subang Jaya, Selangor, 27 Nov 2018.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Perdana Menteri Malaysia pada Selasa menolak dakwaan bahawa rusuhan yang berlaku di luar Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya itu berkaitan dengan isu perkauman dan agama.

Mahathir Mohamad dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan di Putrajaya menegaskan bahawa insiden yang yang menyebabkan lapan orang tercedera termasuk dua anggota pasukan penguatkuasa negara itu disebabkan oleh pertikaian mengenai penempatan semula rumah ibadat tersebut.

"Tidak timbul sama sekali isu perkauman atau agama walaupun ia melibatkan pemindahan kuil, katanya yang menganggap insiden tersebut sebagai jenayah yang tiada kaitan sama sekali dengan unsur-unsur lain.

Dalam pada itu, agensi Berita Nasional Malaysia [Bernama] melaporkan Perdana Menteri, dalam satu majlis berasingan di Putrajaya pada Selasa, mendedahkan siasatan awal mendapati dalang yang mencetuskan rusuhan itu adalah dari luar dan bukan penduduk tempatan.

“Ini bukan kaum Melayu lawan kaum India. Ini masalah orang yang datang dari tempat lain. Bukan orang tempatan.  Ada dalangnya,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Anugerah Akdemik Negara di Putrajaya seperti dilaporkan Bernama.

Dalam kenyataan terdahulu Mahathir berkata, dalang di sebalik kejadian rusuhan itu tidak akan terlepas daripada tindakan sewajarnya.

“Penjenayah yang terlibat cuba melakukan rusuhan serta mencederakan anggota keselamatan dan penyelamat termasuk merosakkan harta benda awam dan mereka akan dikenakan tindakan tegas mengikut undang-undang yang sedia ada,” tambah Mahathir, 93,  yang turut meminta rakyat supaya tidak terpengaruh dengan khabar angin.

Pemaju dan pengurusan kuil

P. Waytha Moorthy, Menteri di Jabatan Perdana Menteri mensenai perpaduan nasional berkata, rusuhan itu bermula dengan pertelingkahan di antara pemilik dan pemaju tanah dengan pihak pengurusan kuil, dan tidak berpunca daripada konflik antara kaum.

"Masalahnya adalah antara pemaju tanah dan pengurusan kuil dan ia tidak seharusnya dieksploitasi sehingga boleh menyebabkan berlakunya konflik perkauman,” katanya dalam satu kenyataan media yang dimuatkan di laman media sosial Facebooknya pada Selasa.

Beliau juga menambah, “Saya mendesak komuniti India di Malaysia supaya bertenang dan bersikap rasional dalam mengendalikan isu berkaitan Kuil Sri Maha Mariamman kerana sesetengah orang yang tidak bertanggungjawab mahu mengambil kesempatan dan ini boleh merumitkan lagi keadaan dan mencetuskan pergolakan sosial.”

Dalam pada itu, Menteri itu pada satu sidang media selepas melawat kuil berkenaan berkata, satu perbincangan telah diadakan dengan Perdana Menteri pada pagi Selasa dengan Mahathir memberi jaminan bahawa beliau akan berbincang dengan Menteri Besar Selangor untuk menyelesaikan masalah itu.

“Buat masa ini kuil berkenaan tidak akan dirobohkan sehingga satu penyelesaian dicapai”, kata Menteri berkenaan.

Dalam pada itu, Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun semasa diminta mengulas mengenai kekecohan yang berlaku sehingga menyebabkan rusuhan berlaku berkata, “kejadian itu berlaku di kawasan di mana tiada anggota Polis, mereka [perusuh] mengambil kesempatan melakukan perkara-perkara yang tidak sepatutnya sehingga menyebabkan kekecohan,"

Sementara itu, di lokasi berasingan, timbalannya, Noor Rashid Ibrahim berkata tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat buat masa ini, sebaliknya polis akan melaksanakan penguatkuasaan yang lebih ketat.

"Kami akan benarkan mereka (penganut) bersembahyang, dan kemudiannya diarahkan bersurai. Jika mereka enggan mengikut arahan, pihak Polis akan tahan mereka," kata beliau sambil menambah kira-kira 1,400 anggota polis termasuk Pasukan Simpanan Persekutuan [FRU] mengawal kawasan sekitar kuil berkenaan bagi mengelak kejadian yang tidak diingini daripada berlaku.

Kritikal pindah IJN

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dalam satu kenyataan berkata seorang anggota jabatan itu, Muhammad Adib Muhammad Kassim, 24, antara lapan individu yang cedera dalam rusuhan berkenaan semasa cuba memadamkan api pada kereta yang terbakar di luar kawasan kuil tersebut.

Anggota berkenaan mendapat kecederaan kritikal akibat dipukul semasa kejadian itu. Beliau dirawat di Unit Rawatan Rapi di Subang Jaya Medical Centre (SJMC) dan telah dipindahkan ke Institut Jantung Negara [IJN] Kuala Lumpur pada lewat malam ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin yang melawat Muhammad Adib memberitahu pemberita yang anggota bomba itu mengalami patah tulang rusuk dan berada dalam keadaan kritikal.

Menteri itu juga memberitahu selepas perbincangan antara pakar perubatan IJN dan SJMC mengenai keadaan Muhammad Adib dan mendapat persetujuan keluarganya, anggota itu dipindahkan ke IJN pada kira-kira 11.30 malam Selasa.

Seramai 21 orang ditahan sehingga kini, berbanding 17 pada Isnin dan daripada jumlah itu, seramai 16 suspek berumur antara 18 dan 49 tahun di bawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada Selasa untuk mendapatkan perintah reman. Lima orang suspek lagi dijangka direman sehingga Rabu.

Majistret Nor Ariffin Hashim membenarkan 16 suspek tersebut direman antara dua hingga lima hari.

Mereka disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan (melakukan perbuatan khianat dengan api atau bahan letupan dengan niat menimbulkan kerugian melebihi RM25,000), Seksyen 148 (melakukan rusuhan dengan menggunakan senjata), Seksyen 427 (melakukan perbuatan khianat yang mendatangkan kerugian lebih RM25,000) dan Seksyen 447 (melakukan pencerobohan).

Pihak berkuasa Malaysia pada Isnin menahan 17 orang selepas dipercayai terlibat dalam  kekecohan di luar kuil hindu itu, dengan pihak berkuasa berkata ia berpunca daripada pertikaian berhubung penempatan semula rumah ibadat itu.

Tujuh orang mengalami kecederaan selepas sekumpulan lelaki menyerang mereka yang berada di dalam kuil yang terletak dalam kawasan Majlis Perbandaraan Subang Jaya, dengan 18 kereta serta dua motosikal musnah akibat dibakar dalam kejadian pada awal pagi Isnin itu, kata pihak berkuasa.

Kuil Sri Maha Mariamman didirikan di atas tanah milik pemaju hartanah, One City. Empat tahun lalu mahkamah memerintahkan kuil itu dipindahkan lebih 3km (kira-kira 2 batu) daripada lokasi asal.


Lihat Laman Penuh