Mahathir Umum Program Perangi Pembiayaan Keganasan di Malaysia

Ali Nufael & Hadi Azmi
2019.11.05
Kuala Lumpur, Malaysia
191105-MY-Mahathir-Terrorism620.jpg Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad (kanan), mendengar taklimat daripada Gabenor Bank Negara Nor Shamsiah Mohd Yunus pada Persidangan Jenayah Kewangan dan Pembiayaan Keganasan Antarabangsa (IFCTF 2019) ke-11 di Kuala Lumpur, 5 Nov, 2019.
[Ihsan Pejabat Perdana Menteri]

Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad pada Selasa mengumumkan pelancaran inisiatif kerjasama awam-swasta di mana institusi kewangan boleh berkongsi maklumat dengan pihak penguatkuasaan undang-undang untuk membanteras pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan.

Semasa berucap pada Persidangan Jenayah Kewangan dan Pembiayaan Keganasan Antarabangsa Ke-11, Mahathir berkata inisiatif itu akan membolehkan kaedah pengesanan transaksi yang mencurigakan dilakukan dengan lebih efektif.

"Semua orang perlu memainkan peranan mereka dalam memerangi  jenayah kewangan supaya Malaysia dapat berubah menjadi negara maju yang dipacu oleh nilai. Kemakmuran bersama hanya dapat dicapai melalui tanggungjawab bersama," katanya kepada para hadirin pada persidangan itu.

Inisiatif itu dilaksanakan secara bersama oleh Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti, institusi-institusi kewangan dan agensi penguatkuasaan undang-undang. Mahathir berjanji bahawa data peribadi dan kerahsiaan tidak akan dikompromi dalam usaha mengesan transaksi yang dilakukan secara haram dengan menggunakan Peraturan Perlindungan Data Am Kesatuan Eropah sebagai penanda aras.

Gabenor Bank Negara Malaysia Nor Shamsiah Mohd Yunus pula menggesa bank dan institusi kewangan supaya memperkukuhkan dasar-dasar mereka untuk mengatasi perbuatan pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan.

"Institusi pelaporan mesti memperkukuhkan tadbir urus dan kawalan dalaman mereka untuk memelihara integriti kewangan, bukan kerana diarah berbuat demikian oleh Bank Negara tetapi kerana ia adalah perkara yang betul untuk dilakukan," kata Nor Shamsiah pada persidangan itu.

"Sebagai pengawal selia, Bank Negara hanya dapat apa yang mampu untuk melindungi sistem kewangan daripada risiko pembiayaan keganasan. Institusi pelaporan, sebagai warga korporat yang bertanggungjawab, juga perlu memainkan peranan mereka untuk melindungi sistem kewangan dan ekonomi. "

Mahathir berkata usaha sedemikian mesti dilakukan secara berterusan.

"Ini akan membolehkan Malaysia memainkan peranannya dengan lebih berkesan dalam perjuangan global menentang jenayah kewangan dan pembiayaan keganasan. Kita mesti gigih dan terus fokus dalam menyampaikan agenda ini, "katanya.

Laporan Negara Mengenai Keganasan yang dikeluarkan oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat baru-baru ini menyatakan Malaysia "tetap menjadi sumber, pusat transit, dan pada tahap yang jauh lebih rendah, menjadi negara destinasi untuk kumpulan pengganas" seperti Negara Islam, Abu Sayyaf, Al-Qaeda dan Jemaah Islamiyah.

Laporan itu menyatakan bahawa Bank Negara Malaysia telah mengeluarkan arahan dasar pada tahun lepas yang bertujuan untuk memastikan langkah-langkah berkesan disediakan bagi menangani risiko pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan yang berkaitan dengan penggunaan mata wang digital serta meningkatkan ketelusan aktiviti mata wang digital di Malaysia.

Ia memerlukan semua entiti dan individu yang terlibat dalam pertukaran mata wang digital kepada wang dan sebaliknya serta pertukaran satu mata wang digital untuk mata wang yang lain, supaya mendaftar dengan bank pusat itu. Langkah itu turut menyediakan keperluan bagi laporan transaksi yang mencurigakan serta penyimpanan rekod.

Ketua bahagian anti-keganasan Malaysia Ayob Khan Mydin Pitchay bercakap kepada pemberita pada Persidangan Jenayah Kewangan dan Pembiayaan Keganasan Antarabangsa di Kuala Lumpur, 5 Nov, 2019. (S. Mahfuz/BeritaBenar)

Dinamakan pusat transit pengganas


Ketika Mahathir dan Nor Shamsiah membincangkan inisiatif baru itu, ketua anti-keganasan Malaysia Ayob Khan Mydin Pitchay pula menyalahkan sistem visa perjalanan yang tidak ketat hingga menyebabkan negara itu dilabelkan sebagai pusat transit bagi pengganas.

"Tidak ada visa yang diperlukan untuk memasuki negara ini untuk kebanyakan warga asing, oleh itu rakyat mereka termasuk pengganas mempunyai akses mudah," katanya pada persidangan itu.

"Bagaimanapun, sejak 2013, kami telah menahan 38 pengganas asing semasa mereka dalam transit," katanya sambil memberitahu bahawa “sebahagian daripada mereka telah dituduh di mahkamah dan ada yang dihantar pulang ke negara asal mereka."

Ayob Khan berkata pasukannya sentiasa berwaspada dalam menangani unsur-unsur keganasan, dan memberitahu bahawa polis sedang mengesan kumpulan mempunyai ideologi radikal yang tidak terlibat dalam aktiviti militan tetapi dianggap berisiko tinggi.

"Ada garis tipis yang memisahkan kumpulan pengganas daripada kumpulan yang radikal," katanya sambil memetik kumpulan Hizbut-Tahrir sebagai contoh.

Objektif kumpulan itu adalah untuk membentuk khalifah Arab di Timur Tengah yang melaksanakan undang-undang Syariah dengan matlamat untuk membebaskan Palestin.

"Sebagai contoh Hizbut Tahrir - kumpulan ini menolak idea-idea demokratik dan mahu menubuhkan negara Islam," kata Ayob. "Ideologi mereka dilihat melampau tetapi tidaklah menyamai tahap keganasan, jadi kita perlu mempertimbangkan faktor ini berikutan risikonya."

Laporan Menangani Keganasan Amerika Syarikat mengiktiraf usaha Malaysia melaksanakaan langkah-langkah wajar dalam pemantauan, penahanan, pengusiran dan pendakwaan suspek yang  disyaki menyokong kumpulan pengganas.

Ia juga mengiktiraf Malaysia kerana menjalinkan kerjasama dengan Amerika Syarikat dan negara-negara lain untuk meningkatkan keupayaan keselamatan sempadannya di lapangan terbang dan di perairan Laut Sulu, menyangkal mesej-mesej kumpulan pengganas dalam media sosial serta meningkatkan pendakwaan terhadap pengganas.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.