Parlimen Malaysia Lulus Pindaan Turunkan Had Umur Mengundi kepada 18

Radzi Razak & Ali Nufael
2019.07.16
Kuala Lumpur, Malaysia
190716-MY-Mahathir-Vote1000.jpg Perdana Menteri Mahathir Mohamad (berdiri) semasa membentangkan cadangan pindaan RUU Had Umur Mengundi di Parlimen, Kuala Lumpur, Malaysia, 16 Julai, 2019.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Parlimen Malaysia pada Selasa meluluskan cadangan pindaan terhadap Rang Undang-Undang Perlembagaan bagi menurunkan had umur layak mengundi daripada 21 kepada 18 tahun yang mendapat sokongan tanpa bantahan kesemua 211 anggota Parlimen yang hadir.

Cadangan pindaan terhadap Rang Undang-Undang itu mendapat sokongan kesemua 211 ahli Parlimen termasuk pembangkang yang dibuat melalui dua kali undi belah bahagi yang melebihi majoriti dua pertiga daripada kesemua 222 ahli Dewan Rakyat.

Baki 11 lagi ahli Parlimen tidak hadir ke persidangan tersebut semasa udian itu dibuat.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Mohamad Ariff Md. Yusof mengumumkan seramai 211 ahli Dewan Rakyat yang hadir telah bersetuju, tiada yang tidak bersetuju serta tidak mengundi selepas pengulungan hujah oleh Perdana Menteri Mahathir Mohamad pada kira-kira pukul 6.20 petang Selasa.

“Oleh itu, Dewan meluluskan Rang Undang-Undang ini tanpa pindaan,” kata beliau disambut sorakan beberapa ahli Parlimen.

Terdahulu itu, Mahathir membentangkan cadangan pindaan RUU yang dibaca untuk kali kedua supaya meminda perenggan (b) Perkara 47 Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan umur warganegara yang layak untuk menjadi ahli Dewan Rakyat daripada 21 kepada 18 tahun.

Selain itu, cadangan tersebut juga bertujuan meminda perenggan (a) Fasal 1 Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan untuk menurunkan umur seseorang warga negara yang layak mengundi daripada 21 kepada 18 tahun.

Perdana Menteri itu juga berkata dalam melaksanakan serta menguatkuasakan pindaan tersebut, beberapa pindaan kepada Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5), Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981 dan Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002 juga akan dibuat.

Penurunan umur itu juga membolehkan pendaftaran secara automatik sebagai pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dibuat sebaik sahaja seseorang warganegara itu mencapai usia 18 tahun.

Mahathir berkata cadangan pendaftaran pemilih secara automatik akan meliputi kira-kira 3.9 juta warganegara Malaysia berumur 21 tahun yang akan diberi keutamaan oleh SPR dalam pelaksanaan pendaftaran pemilih bagi kategori umur tersebut.

Perdana Menteri itu juga memberitahu penambahan pengundi sebanyak 50 peratus akan berlaku apabila pindaan itu diluluskan.

“Kerajaan menjangka jumlah pengundi akan meningkat lebih 50 peratus kepada 22.7 juta pada 2023 berbanding 14.9 peratus pada pilihan raya umum 2018,” kata Mahathir semasa membentangkan cadangan pindaan RUU di persidangan Dewan Rakyat di ibunegara Kuala Lumpur itu.

Di Malaysia, semua pindaan Perlembagaan Persekutuan - Undang-Undang tertinggi negara memerlukan sokongan dua pertiga atau minima 148 daripada 222 ahli Dewan Rakyat.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang bersungguh-sungguh merencanakan kempen #Undi18 untuk tujuan itu meluahkan kegembiraannya atas keputusan tersebut.

“Pindaan Perlembagaan Persekutuan hari ini adalah satu permulaan kepada sebuah lanskap politik baharu di Malaysia. Kesepakatan rapat anggota Dewan Rakyat serta rencana yang cermat dari Pakatan Harapan telah membentuk satu dasar untuk anak muda yang signifikan kepada demokrasi negara setaraf dengan negara-negara dunia.

“Hari ini menandakan bahawa anak muda tidak lagi dilihat sebagai beban, tetapi satu amanah yang besar dalam memajukan Malaysia,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen.

Dalam pada itu, agensi berita nasional Malaysia, Bernama melaporkan SPR sebagai berkata yang suruhanjaya berkenaan akan mengadakan sesi libat urus dengan semua pihak berkenaan dalam melaksanakan pindaan Perlembagaan Persekutuan menurunkan had umur kelayakan itu.

Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun berkata, “SPR selepas ini perlu mengadakan sesi libat urus dengan semua pihak berkepentingan, serta berjumpa dengan agensi kerajaan terlibat seperti Jabatan Pendaftaran Negara,”

“Satu kempen kesedaran juga perlu diadakan agar rakyat Malaysia tampil mengemas kini alamat terbaru mereka," katanya.

Tentu masa hadapan

Sementara itu, remaja yang ditemubual BeritaBenar masih kurang arif tentang perkara tersebut.

"Saya kurang arif mengenai pilihanraya. Apa yang saya tahu kita perlu mengundi tapi saya tidak begitu minat dengan politik. Saya tidak tahu apa itu politik," kata pelajar Sekolah Menengah Tinggi Klang Mohamad Aniq Jalaludin yang berusia 14 tahun.

Rakan beliau yang berusia 15 tahun pula berkata beliau hanya mendengar mengenai perkara itu daripada seorang gurunya.

"Guru Bahasa Melayu saya ada bercakap tentang hak umur mengundi dikurangkan kepada 18 tahun. Bermakna saya akan menjadi pengundi kelak. Tetapi berita itu tidak memberikan impak kepada saya.

"Mungkin saya akan mengundi bila tiba masanya. Tapi jika ditanya mengenai penting atau tidak saya tidak tahu," jelas Aminullah Firdaus Ahmad yang menuntut di Sekolah Menengah Teknik Klang.

Bagi Norasyikin Saleh yang baru berusia 18, peluang untuk mengundi akan digunakan sebaiknya sambil mengakui tidak meminati politik tetapi akan cuba menggunakan peluang mengundi yang ada.

"Satu benda yang baru bagi saya dan juga yang lain. Walaupun tidak begitu meminati politik saya akan tunaikan tanggungjawab. Lagi pula saya telah melihat perubahan kerajaan pada usia muda," kata lepasan Sijil Pelajaran Malaysia itu.

Manakala bagi Mustafa Hamzah, bapa kepada seorang remaja berusia 16 tahun memberitahu BeritaBenar bahawa pendedahan perlu diberikan kepada pelajar sekolah tentang peranan mereka sebagai pengundi.

"Ini perkara baru jadi tidak masuk akal jika pelajar-pelajar ini semua mempunyai pengetahuan tentang apa itu mengundi dan kepentingannya. Saya rasa perlu ada satu bentuk penerangan atau kempen di sekolah-sekolah bagi menyedarkan mereka," kata beliau.

Satu pengikhtirafan


Gabungan Bertindak untuk Pilihanraya Adil dan Bersih (Bersih 2.0) berkata bahawa penurunan had umur membawa maksud bahawa negara mengiktiraf warga belia Malaysia dengan langkah tersebut sudah diperjuangkan badan berkenaan sejak penubuhannya pada 2008.

"Kami menyambut baik usul ini dan belia negara adalah pemangkin masa hadapan. Langkah ini adalah satu bentuk pengiktirafan kepada warga muda Malaysia," kata Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.