Follow us

Mahathir: Malaysia Tidak Tunduk Pada Desakan Hantar Pulang Zakir Naik ke India

Hata Wahari
Kuala Lumpur, Malaysia
2018-07-10
E-mel
Komen
Share
Beberapa penunjuk perasaan India memegang sepanduk dan melaungkan slogan semasa satu perhimpunan bagi menyuarakan bantahan terhadap ulama dan penyiar televisyen Islam Zakir Naik di New Delhi, 18 Julai 2016.
Beberapa penunjuk perasaan India memegang sepanduk dan melaungkan slogan semasa satu perhimpunan bagi menyuarakan bantahan terhadap ulama dan penyiar televisyen Islam Zakir Naik di New Delhi, 18 Julai 2016.
[AFP]

Kerajaan baru Malaysia tidak akan tunduk kepada desakan supaya ia menyerahkan seorang pendakwah Islam India yang dikehendaki oleh New Delhi kerana didakwa terlibat kegiatan yang berkaitan dengan ekstremis, kata Perdana Menteri Mahathir Mohamad kepada pemberita pada Selasa.

Tetapi, Mahathir juga enggan mendedahkan apa yang telah dibincangkan dengan pendakwah  kontroversi itu, Zakir Naik, semasa pertemuan mereka pada hujung minggu lalu yang mencetuskan sensasi dalam akhbar India dan Malaysia selepas pendakwah  televisyen itu memuat naik gambar dirinya dengan perdana menteri itu di laman Facebook beliau.

"Saya tidak boleh tunduk kepada desakan orang ramai kerana kita perlu melihat perkara itu secara holistik, dan saya bimbang beliau akan menjadi mangsa," kata Mahathir pada sidang berita di Putrajaya, semasa menjawab soalan  wartawan BeritaBenar mengenai pertemuannya dengan Zakir serta keputusan kerajaannya minggu lalu untuk menolak permintaan India supaya Malaysia mengekstradisi pendakwah itu.

"Mengenai perbincangan itu, ia adalah rahsia," kata perdana menteri.

Zakir, 52, dikehendaki oleh India kerana menyampaikan khutbah televisyen yang didakwa telah membangkitkan kebencian dan memberi ilham kepada militan untuk melakukan tindakan keganasan termasuk pembunuhan beramai-ramai di sebuah kafe di ibu negara Bangladesh dua tahun lalu.

Pada Selasa, pendakwah itu membela dirinya dalam satu kenyataan di mana beliau menuduh saluran-saluran media mencemari namanya. Beliau menafikan bahawa khutbahnya telah menyebarkan kebencian dan keganasan. Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Mahathir dan kerajaan Pakatan Harapan kerana membenarkannya tinggal di Malaysia.

"Beberapa bahagian media telah menyerang saya kerana apa yang dikatakan sebagai kenyataan 'mencetus keganasan' saya dan adalah naif untuk tidak menganggap bahawa tindakan itu dilakukan dengan tujuan yang lebih meluas iaitu untuk menyerang Islam dan umat Islam," kata pendakwah itu.

"Setelah gagal menemui apa-apa bukti terhadap saya, mereka menggunakan klip video yang diubah suai, petikan yang di luar konteks dan pelbagai skim tidak jujur ​​untuk menuduh saya melakukan keganasan, menyampaikan ceramah yang mencetuskan kebencian dan terlibat pengubahan wang haram."

Menurut Zakir, beribu-ribu artikel berita, video dalam talian dan catatan media sosial yang palsu dikaitkan dengan "kenyataan menakutkan" yang tidak pernah dilakukannya.

"Kepada sesiapa yang tidak mahu Islam ditampilkan sebagai agama yang membawa keamanan, ini adalah cara yang cepat dan kotor untuk meruntuhkan iman. Saya memohon kepada sesiapa sahaja yang menemui bahan tersebut supaya mengesahkannya dahulu sebelum terus membuat kesimpulan, "kata Zakir.

Sepanjang 25 tahun menyampaikan khutbah tentang Islam dan keamanan, beliau tidak pernah membangkitkan tentang keganasan atas nama agama, kata Zakir. Semasa berada di India yang majoriti penduduknya adalah penganut Hindu, tidak ada satu pun ceramah yang  membangkitkan kemarahan orang bukan Islam sehinggalah "kumpulan fanatik agama berusaha mencemarkan imej saya," kata Zakir.

Malaysia tolak permintaan India

Pada 6 Julai, Mahathir memberitahu sidang berita yang lain bahawa Malaysia tidak akan menghantar pulang Zakir selagi beliau tidak menimbulkan masalah selain kerana beliau adalah penduduk tetap Malaysia.

Mahathir, yang mengambil alih pucuk pimpinan selepas mengetuai pakatan pembangkang memperoleh kemenangan besar pada pilihan raya umum 9 Mei, berkata demikian selepas jurucakap Kementerian Hal Ehwal Luar India berkata, Delhi telah meminta Kuala Lumpur untuk mengekstradisi ulama itu.

"Pada peringkat ini, permintaan kami sedang dipertimbangkan dengan aktif oleh pihak Malaysia," kata jurucakap Raveesh Kumar pada taklimat media mingguan di Kementerian Luar Negara, ketika ditanya soalan itu. "Kami telah mengemukakan permintaan rasmi supaya diekstradisi Zakir Naik, yang merupakan warganegara India yang tinggal di Malaysia, seperti yang termaktub dalam perjanjian ekstradisi  kami dengan pihak Malaysia."

BeritaBenar gagal berhubung dengan pegawai-pegawai Kementerian Luar dan Parti Nasional Hindu Bharatiya Janata, yang mengetuai gabungan parti pemerintah India, pada Selasa.

Dalam pada itu, Rais Hussin, pakar strategi untuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang diterajui Mahathir, mempertahankan keputusan Perdana Menteri untuk tidak mengekstradisi Zakir ke India.

Beliau memberitahu Free Malaysia Today bahawa beliau tidak melihat apa-apa yang salah dalam ceramah dan aktiviti pendakwah itu.

Menghantar pulang Zakir akan menyamai tindakan mengusir [Uyghur] Muslim ke China, lapor portal berita itu yang memetiknya sebagai berkata demikian. Beliau merujuk kepada permintaan kerajaan China untuk mengekstradisi 11 orang minoriti Uyghur yang memasuki Malaysia secara haram dari Thailand pada 2017.

Sementara itu, seorang pemimpin Parti Tindakan Demokratik (DAP), rakan dalam pakatan pemerintah Malaysia, semasa mengulas isu keengganan Mahathir untuk menghantar pulang Zakir ke India berkata bahawa Kuala Lumpur harus menghormati perjanjian ekstradisi dengan New Delhi.

"Dengan penuh rasa hormat kepada Perdana Menteri, saya tidak faham mengapa beliau berkata yang kita akan tunduk kepada tekanan jika kita membiarkan Zakir pulang ke India," kata ahli politik DAP P. Ramasamy pada Selasa, lapor Free Malaysia Today (FMT).

"Kenapa kita melindungi seorang pelarian?" katanya.

"Biarlah beliau pulang ke India, dibicarakan dan mempertahankan dirinya di mahkamah dan mungkin kembali menjadi warganegara Malaysia," kata Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang kepada FMT.

Di India, pihak berkuasa menuduh Zakir memberi inspirasi kepada beberapa anggota militan yang melakukan serangan keganasan berkaitan Islam di kafe Holey Artisan Bakery di Dhaka, di mana 29 orang termasuk 20 tebusan dan lima lelaki bersenjata, terbunuh pada 1 hingga 2 Julai 2016.

Pada November tahun lepas, pegawai India berkata bahawa Zakir menghadapi pertuduhan pengubahan wang haram dan mencetuskan kebencian melalui khutbah-khutbah yang disiarkan di Peace TV. India dan Bangladesh telah mengharamkan saluran itu tetapi video khutbah beliau, yang telah ditonton oleh berjuta-juta orang, boleh didapati di YouTube.

Pada November 2016, India mengharamkan sebuah badan bukan kerajaan, Yayasan Penyelidikan Islam, yang berpejabat di Mumbai, yang turut membiayai Peace TV. Pegawai-pegawai risikan India juga meyekat saluran televisyen itu kerana didakwa menyiarkan program-program yang anti-India dan dianggap sebagai "tidak sesuai untuk persekitaran keselamatan di negara itu."



Peerzada Mohammad Amin di Srinagar, India turut menyumbang kepada laporan ini.

Lihat Laman Penuh