Mahathir Keluar UMNO Protes Skandal Kewangan Najib

Hata Wahari
2016.02.29
Putrajaya
160229-my-mahathir620 Bekas Perdana Menteri Malaysia, Mahathir Mohamad bercakap dalam satu temu bual di pejabatnya di Kuala Lumpur, 14 Jun 2012. Beliau mengumumkan keluar parti UMNO pada Isnin.
AFP

Bekas Perdana Menteri Dr. Mahathir Mohamad pada Isnin keluar dari parti UMNO yang pernah dipimpinnya selama 22 tahun, sebagai tanda protes terhadap kepimpinan Perdana Menteri Najib Razak yang dicemari dengan skandal kewangan dan salah urus dana negara.

Ketika membuat pengumumannya, Mahathir mendakwa UMNO adalah sebuah parti politik yang “sudah tidak wujud lagi” dan kini lebih dikenali sebagai “parti Najib.” Beliau merupakan Presiden UMNO dari tahun 1981 sehingga 2003.

“Saya tidak rela menjadi ahli pertubuhan yang dipimpin oleh seorang yang terlibat dengan pelbagai skandal yang memalukan…. Perdana Menteri Malaysia ini memegang kepada kepercayaan “Wang adalah Raja” yang menjadikan rasuah sebagai cara utama untuk mendapat sesuatu,” katanya dalam satu kenyataan yang dibacanya pada sidang media dipejabat beliau di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya.

Pengumuman keluar dari UMNO pada Isnin itu merupakan yang kedua dibuat oleh bekas perdana menteri itu, di mana yang pertama adalah pada tahun 2008, apabila beliau hilang keyakinan terhadap kepimpinan Abdullah Ahmad Badawi, perdana menteri pada masa itu.

Mahathir pernah dipecat dari UMNO yang ketika itu dipimpin oleh Tunku Abdul Rahman pada tahun 1969 atas sebab disiplin. UMNO ialah parti terbesar di Malaysia dan juga menjadi tulang belakang kerajaan campuran Barisan Nasional yang memimpin negara itu.

“UMNO kini dipandang hina dalam masyarakat. Najib sendiri mengaku memiliki wang sebanyak RM2.6 bilion dalam akaun peribadinya yang dirahsiakan sehinggalah didedah oleh akhbar asing,” tambah Mahathir pada sidang media yang dihadiri wartawan dalam dan luar negara.

Mahathir kini menjadi suara paling lantang terhadap pentadbiran Najib yang masih dibelenggu dakwaan rasuah dan salah urus dana negara yang dibebani hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB), selepas akhbar The Wall Street Journal membuat pendedahan dalam laporannya pada Julai tahun lepas.

Najib menegaskan beliau tidak mengambil sebarang wang untuk kepentingan peribadinya.

Kelantangan Mahathir semakin kedengaran selepas anaknya Mukhriz digugurkan sebagai Menteri Besar Kedah kerana mengkritik Najib secara terbuka.

Ditanya sama ada beliau bercadang untuk menubuhkan sebuah parti baru, Mahathir berkata: "Saya tidak akan menubuhkan sebuah parti baru walaupun mendapat permintaan kerana ia akan menyebabkan lebih banyak perpecahan,"

‘Teras jatuhkan Najib’

Sambil menyatakan perlu ada satu gerakan “teras” untuk menjatuhkan Najib, Mahathir bagaimanapun tidak menolak kemungkinan, akan melakukannya bersama parti pembangkang yang bersependapat dengannya.

Minggu lepas, polis telah mengambil keterangan daripada Mahathir berhubung satu catatan di blognya “Rasuah di Malaysia” yang dimuat naik pada Feb 15 lepas mengkritik tindakan Peguam Negara Mohamed Apandi Ali melindungi Najib berhubung skandal kewangan yang mengejutkan Malaysia

Beliau menafikan tindakannya mengumumkan keluar parti pada Isnin adalah kerana kecewa dengan tindakan terhadap anaknya serta penggantungan bekas timbalan perdana menteri Muyiddin Yassin sebagai Timbalan Presiden UMNO oleh Majlis Tertinggi UMNO pada Jumaat lepas.

"Gantung (Muhyiddin) atau dipecat sama sahaja. (Mereka) Cuma hendak berselindung," ujar Mahathir mengulas tindakan MT itu.

Najib pada Julai lepas, telah memecat timbalannya, Muhyiddin Yassin dan menggantikan bekas peguam negara Gani Patail, dengan Apandi.

‘Reaksi Muhyiddin’

Muhyiddin dalam memberi reaksi terhadap tindakan penggantungan beliau menjawab panjang di dalam akaun Facebooknya dengan berkata, kuasa MT mengatasi suara ahli parti yang memilihnya sebagai Timbalan Presiden, tindakan menggantungnya daripada jawatan hanyalah kerana kesalahan menegur Presiden, selain tidak memperlihatkan UMNO sebagai sebuah parti yang demokratik

Beliau mendakwa, MT gagal mengikut prosedur tatatertib, tidak memberi surat tunjuk sebab, tempoh masa bela diri serta tidak membawa kes ke Lembaga Disiplin.

“Dalam menghadapi kemarahan orang ramai terhadap kepimpinan perdana menteri, Najib menggunakan segala kuasa yang boleh untuk menyekat suara dan pengkritik senyap, yang sekaligus sedang menyaksikan keruntuhan institusi demokrasi dan kemunculan diktator baru,” tulis Muhyiddin.

Muhyuddin turut mendedahkan bahawa beliau telah dimaklumkan oleh bekas Peguam Negara, bersama bukti sah mengenai wang yang dikatakan dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib dari SRC International.

“Yang menjadi punca segala masalah UMNO pada hari ini bukan saya, tetapi Najib,” tambah beliau.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Azalina Othman Said mencabar kenyataan Muhyiddin, dengan mendakwa seolah-olah terdapatnya satu konspirasi bermotifkan politik untuk menggulingkan Najib, lapor akhbar tempatan The Star.

‘Pertimbang pilihan’

Sementara itu, Setiausaha Agung yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat Rafizi Ramli memberitahu BeritaBenar, Mahathir telah mempertimbangkan segala pilihan sebelum membuat keputusan keluar parti dengan tidak akan menyertai mana-mana parti politik.

“Saya berharap beliau akan membantu memperbetulkan segala yang tidak betul di negara ini, dan ini adalah pertarungan politik terakhir Mahathir yang berusia 90 tahun itu,” tambah beliau.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Dr. Salleh Said Keruak pula berkata keputusan Mahathir adalah yang terbaik kerana “apabila hubungan seseorang dengan parti atau pemimpin parti itu tidak dapat dipertahankan lagi maka ia adalah sia-sia untuk seseorang itu kekal dalam parti.”

Sementara itu, Ahli Parlimen Pokok Sena Mahfuz Omar memberitahu BeritaBenar,"Keputusan Dr. Mahathir akan memberi kesan kepada UMNO dan kesan yang lebih besar apabila ramai veteran parti itu yang telah menyuarakan kekecewaan mereka terhadap kepimpinan Najib akan mengikut jejak langkah bekas perdana menteri berkenaan,”


Hafiz Abbas dan S. Adie Zul turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.