Warga Thai Dipenjara Lima Tahun Seludup Pendatang Di Wang Kelian

Fairuz Mazlan
2016.12.15
Kangar, Perlis
161215-my-thaidakwa620.jpg Biau Wong Chumpo, lelaki warga Thailand dibawa keluar dari perkarangan mahkamah di Kangar selepas dihukum penjara lima tahun, Disember 15 2016.
[Fairuz Mazlan/BeritaBenar]

Sebuah mahkamah di utara Malaysia menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap seorang warga Thailand atas pertuduhan menyeludup seorang migran di Wang Kelian, kawasan penemuan 106 kubur haram yang juga dijadikan kem tahanan penyeludupan manusia di Perlis dua tahun lepas.

Mahkamah Tinggi Kangar menjatuhkan hukuman itu terhadap warga Thailand, Biau Wong Chumpo, 45, apabila tertuduh menukar pengakuan kepada bersalah selepas saksi yang juga mangsa kejadian, Md Tifajir Husin mengecamnya sebagai individu yang bertanggungjawab menyeludupnya, ketika proses perbicaraan.

Pesuruhjaya Kehakiman Abu Bakar Katar memerintahkan Biau seorang petani, menjalani  hukuman penjara itu bermula dari tarikh beliau ditangkap, iaitu pada 13 Mac tahun lepas.

Tertuduh didapati menyeludup seorang pendatang tanpa izin warga Bangladesh, Md Tifajir pada jam 1.30 pagi antara Oktober 2014 dan 2 Mei 2015 di Bukit Genting Perah dan Bukit Wang Burma, Wang Kelian.

Biau yang memakai baju penjara berwarna hijau ketika prosiding mahkamah tidak menunjukkan sebarang reaksi ketika membuat rayuan dalam bahasa Thai, sebaliknya memohon mahkamah mengurangkan hukuman penjara kerana beliau seorang bapa tunggal yang mempunyai lima anak yang kini dijaga ibu mertuanya.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Abazafree Mohd Abbas dan Afzainizam Abdul Aziz manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Selain Biau, tiga pendatang asing tanpa izin turut didakwa bersama tertuduh kerana kesalahan sama pada Mei tahun ini. Mereka terdiri daripada seorang warga Bangladesh dan dua orang Rohingya dari Myanmar yang mengaku bersalah antara Jun dan Ogos tahun ini, dan kini sedang menjalani hukuman masing-masing.

Warga Bangladesh bernama Nurul Islam, 32, dipenjarakan sepuluh tahun selepas dia mengaku bersalah terhadap tiga tuduhan menyeludup dan memperdagangkan manusia di kawasan yang sama.

Manakala, dua lelaki Rohingya Momontin@Dus Mohamad, 18, dan Shahidullah@Syahidullah, 19, masing-masing dipenjara tiga tahun atas satu tuduhan menyeludup seorang pendatang tanpa izin Myanmar ke Malaysia, melalui Wang Kelian, tahun lalu.

Kedah dan Perlis telah menjadi bahan berita utama bagi aktiviti penyeludupan manusia sejak beberapa tahun kebelakangan ini kerana ---- yang terdapat di kedua-dua negeri itu terletak bersempadan dengan Thailand.

Pada Mei 2015, pihak berkuasa Malaysia menemui 139 kubur mengandungi 106 mayat di beberapa kem tahanan penyeludupan manusia yang terbiar di Bukit Genting Perah dan Bukit Wang Burma, beberapa ratus meter dari sempadan Malaysia-Thailand.

Pada bulan yang sama, 36 mayat ditemui di sekitar kawasan yang sama tetapi di dalam kawasan Thailand, dimana susulan daripada penemuan tersebut, kerajaan negara berkenaan melancarkan gerakan besar-besaran terhadap aktiviti penyeludupan manusia sehingga mencetuskan krisis kemanusiaan.

Hampir 3,000 kaum Rohingya daripada Myanmar dan warga Bangladesh, yang ditinggalkan oleh anggota sindiket penyeludupan, muncul secara tiba-tiba di perairan Malaysia dan Indonesia.

Pada 28 November lepas, Jabatan Peguam Negara telah mencatat  sebanyak 91 sabitan kesalahan menerusi Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (Akta 670) (ATIPSOM) bagi sepanjang tahun sehingga 24 November lalu, berbanding hanya tujuh sabitan untuk tempoh yang sama tahun lepas.

Peguam Negara, Mohamed Apandi Ali seperti dilaporkan media tempatan berkata, kesalahan berkenaan terbahagi pada tiga iaitu pemerdagangan orang mengikut Seksyen 12,13 dan 14 Akta 670; penyeludupan migran mengikut Seksyen 26A dan 26J Akta 670 serta kesalahan berhubung perbuatan pemerdagangan orang mengikut Kanun Keseksaan dan Akta Imigresen 1959/1963 (disemak 1975) (Akta 155).

Beliau berkata, susulan siasatan berkaitan penemuan kubur besar di Wang Kelian itu, seramai 15 individu telah didakwa di mahkamah dengan tiga daripadanya disabitkan dengan kesalahan mengikut Seksyen 26A Akta 670 manakala seorang lagi masih menjalani perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kangar, Perlis.

"Kita sudah mengemukakan 10 permohonan kepada kerajaan Thailand dan satu kepada Bangladesh bagi perintah ekstradisi warga mereka yang disyaki terbabit dalam kes berkenaan. "Pada masa sama, seramai106 mangsa yang dilaporkan mati mengejut telah dirujuk kepada Majistret Perlis untuk tujuan prosiding inkues," katanya seperti dilaporkan oleh akhbar Berita Harian.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.