Mahkamah Malaysia Kembali Bersidang Dibawah Garis Panduan Keselamatan Ketat

Hadi Azmi
2020.05.12
Kuala Lumpur, Malaysia
200512-MY-Mahkamah-620.jpg Bekas Perdana Menteri Najib Razak ditemani anak lelaki beliau sedang mendengar penerangan peguamnya di Mahkamah Persekutuan di Putrajaya, Malaysia, 27 Mac, 2019.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Mahkamah membuat persediaan untuk menyambung semula pendengaran pada Rabu di bawah garis panduan keselamatan ketat, selepas dua bulan tidak aktif susulan COVID-19, dengan perbicaraan kes 1MDB Najib Razak, yang kali terakhir didengar pada November lepas, kini dijadualkan disambung semula pada 19 Mei selepas beberapa kali ditangguhkan atas alasan virus tersebut.

Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia dalam satu kenyataan media pada Selasa berkata, keputusan mendengar semula kes-kes di Mahkamah Terbuka itu selari dengan kenyataan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat pada 3 Mei lepas, supaya pendengaran bermula secara berperingkat mulai Rabu.

“Seperti yang telah diumumkan oleh Yang Amat Arif Tan Sri Tengku Maimun Binti Tuan Mat, Ketua Hakim Negara melalui kenyataan media bertarikh 3 Mei 2020, pendengaran kes di Mahkamah Terbuka akan bermula secara berperingkat mulai 13 Mei 2020,

“Hanya pihak yang mempunyai urusan sahaja dibenarkan untuk masuk ke dalam ruang kamar Mahkamah. Bagi kes jenayah, hanya seorang ahli keluarga sahaja dibenarkan untuk hadir dan hanya seorang anak guam bagi satu pihak dibenarkan berada di bangunan Mahkamah semasa pendengaran kes,” jelas kenyataan itu.

Pada 3 Mei lepas, Ketua Hakim Negara itu berkata, kes yang telah ditetapkan untuk pendengaran di Mahkamah Terbuka akan bermula secara berperingkat mulai 13 Mei.

“Satu garis panduan pengendalian kes dan tatacara pengendalian piawai pencegahan wabak Covid-19 semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dikeluarkan," kata Tengku Maimun.

Perbicaraan kes bekas perdana menteri najib adalah yang akan dibawa semula ke mahkamah di mana ianya telah dijadualkan pada 19 Mei setelah tertangguh lebih 181 hari sejak kali terakhir didengar pada 13 Nov lalu.

Kes yang sepatutnya bersambung pada 12 Mac namun ditunda setelah peguam pembelaan Shafee Abdullah terpaksa menjalani kuarantin selepas disyaki terdedah kepada koronavirus pada satu majlis keramaian.

Perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu bagaimanapun sekali lagi ditangguhkan setelah kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memutuskan jangkitan pandemik covid-19 pada 18 Mac, dengan perlanjutan sebanyak lima kali sehingga tarikh baru 1 Jun depan.

Selain perbicaraan kes melibatkan 1MDB, Najib turut berdepan dengan satu lagi perbicaraan yang melibatkan kes SRC International, yang kini memasuki peringkat pendengaran lisan dan  dijadualkan berlangsung dari 1 hingga 3 Jun depan.

Pada 23 April lalu Mahkamah Rayuan buat pertama kalinya telah mendengar satu kes sivil yang dijalankan secara siaran langsung melalui platform media sosial YouTube, namun menurut sumber mahkamah, itu merupakan satu percubaan dan tidak akan dilakukan bagi kes-kes jenayah di peringkat Mahkamah Tinggi termasuk kes-kes melibatkan Najib Razak.

“Mustahil untuk dilakukan (bagi kes-kes Najib), yang itu cuma cuba-cuba,” kata sumber yang tidak boleh dinamakan kerana tidak diberikan kebenaran bercakap kepada media kepada BeritaBenar pada Selasa.

Presiden Parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu Malaysia (UMNO) Ahmad Zahid Hamidi, yang juga bekas timbalan perdana menteri era Najib, turut dipanggil ke mahkamah untuk menentukan tarikh baru perbicaraan kesnya yang membabitkan 47 pertuduhan melibatkan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akalbudi, pada hari yang sama kes bekas ketuanya itu, 19 Mei ini.

Walaupun pendengaran kes-kes tertangguh, mahkamah masih berfungsi bagi tujuan pemfailan kes melalui sistem e-Filing dan juga bagi kes-kes berkaitan pelanggaran PKP termasuk yang melibatkan Timbalan Menteri Kesihatan Noor Azmi Ghazali dan anak Ahmad Zahid sendiri, Nurulhidayah yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan baru-baru ini.

Syarat ketat

Antara syarat-syarat ketat yang akan dikuatkuasakan bagi pendengaran Mahkamah Terbuka itu mewajibkan pelawat mengisi borang pelawat sebelum hadir ke mahkamah yang bertujuan mengesan serta menghadkan bilangan individu yang dibenarkan hadir di dalam kamar mahkamah pada satu-satu masa.

Selain itu, ‘norma-norma baru’ seperti memakai penutup muka dan penjarakkan sosial juga perlu diamalkan sepanjang berada di dalam mahkamah.

Bagi pengamal media yang mengikuti kes 1MDB dan SRC, hanya sepuluh wartawan sahaja dibenarkan berada di dalam kamar mahkamah ketika pendengaran berjalan dan hanya sepuluh dibenarkan berada di bilik media untuk mengikuti pendengaran secara langsung melalui siaran video.

Mahkamah bagaimanapun akan membuka satu bilik media tambahan untuk sepuluh lagi wartawan mengikut keperluan dan keadaan, menurut pegawai mahkamah yang mengawalselia pergerakan pengamal media.

Selain itu, kenyataan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan turut memaklumkan untuk mengelakkan kesesakan dan mematuhi Prosedur Operasi Standard yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, saksi-saksi yang perlu hadir bagi kes di mahkamah perlu berhubung dengan pihak polis atau peguam masing-masing terlebih dahulu bagi memastikan kelancaran kehadiran dan urusan di bangunan Mahkamah.

“Kedudukan dan tempat di dalam Mahkamah Terbuka adalah terhad. Semua pihak hendaklah mematuhi garis sempadan yang telah ditetapkan di setiap tempat duduk,” menurut kenyataan itu lagi.

Mahkamah Malaysia antara entiti badan keadilan yang diarahkan tutup selepas kerajaan memperkenalkan PKP dengan tiada sebarang perbicaraan langsung dijalankan sejak tarikh penguatkuasaan tersebut kecuali pendakwaan terhadap pesalah PKP dan kes-kes khas.


Nisha David di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.