Mahkamah Malaysia Arah Kerajaan Daftar Parti MUDA Dalam Tempoh 14 Hari

Kementerian Dalam Negeri juga perlu membayar kos perundangan sebagai RM10,000 kepada Parti Ikatan Demokratik Malaysia itu.
Noah Lee & Nisha Devi
2021.12.14
Kuala Lumpur
Mahkamah Malaysia Arah Kerajaan Daftar Parti MUDA Dalam Tempoh 14 Hari Anggota Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang juga pengasas Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) bersama penyokong parti di luar komplek mahkamahr selepas pendengaran keputusan kes pendaftaran parti itu di Kuala Lumpur, 14 Disember, 2021.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Golongan belia di Malaysia menunjukkan reaksi gembira di media sosial pada Selasa selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan Kementerian Dalam Negeri supaya mendaftarkan sebuah parti politik belia dalam tempoh 14 hari selepas berkali kementerian itu menolak permohonan parti berkenaan tanpa memberikan alasan.

Arahan tersebut dikeluarkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Noorin Badaruddin selepas mendengar hujahan dari pihak pendakwaraya dan peguambela dalam isu pendaftaran Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA). Tiada sebarang alasan diberikan oleh Noorin sebelum keputusan diumumkan.

Mahkamah turut mengarahkan Kementerian Dalam Negeri supaya membayar RM10,000 (AS$2,364) kepada MUDA sebagai bayaran kos perundangan.

"Alhamdulillah, Menteri KDN telah diperintahkan untuk mendaftarkan @partimuda dalam masa 14 hari!," kata pengasas bersama MUDA Syed Saddiq Syed Abdul Rahman melalui laman media sosial Twitternya pada pagi Selasa. Beliau yang juga Anggota Parlimen Muar berada di mahkamah ketika keputusan itu diumumkan.

"Lebih satu tahun, saya dan pimpinan MUDA turun naik ROS, ulang alik mahkamah. Akhirnya, Mahkamah telah memutuskan bahawa MUDA perlu didaftarkan oleh Menteri sebagai parti politik yang sah dalam tempoh 14 hari," tambah Saddiq, merujuk kepada singkatan nama Badan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) yang merupakan agensi di bawah kawalselia Kementerian Dalam Negeri.

Menurut peguam Lim Wei Jiet yang mewakili parti berkenaan, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin telah memberikan alasan bahawa beliau telah menolak pendaftaran MUDA sebelum ini kerana beliau percaya bahawa parti itu akan digunakan untuk tujuan yang akan mengancam keselamatan negara atau ketenteraman awam.

Kata Lim, menteri itu memberikan tiga justifikasi bagi menyokong alasan penolakan tersebut, iaitu pengasasnya Syed Saddiq menghadapi pendakwaan di mahkamah, bahawa Syed Saddiq dan beberapa orang lagi pengasas bersama MUDA telah menyertai beberapa protes aman dan ia menunjukkan bahawa mereka mempromosi budaya demonstrasi jalanan, serta kononnya MUDA telah menggunakan logo parti itu dalam kenyataan media walaupun sebelum ia didaftar secara sah.

"Berikut ialah ringkasan hujah kami di mahkamah mengapa alasan diberikan menteri dalam negeri untuk menolak pendaftaran MUDA adalah sesuatu yang tidak mengikut undang-undang.

"Pertama, mengenai Saddiq telah dituduh di mahkamah, alasan itu melanggar prinsip undang-undang jenayah iaitu seseorang yang dituduh adalah tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya. Mengapa sebelum ini beberapa orang pemimpin parti UMNO telah didakwa tetapi menteri tidak membatalkan parti tersebut? Ini menunjukkan layanan tidak adil dan berniat jahat.

"Mengenai alasan bahawa pengasas MUDA menyertai perhimpunan aman, pada 2019, Akta Perhimpunan Aman telah dipinda secara spesifik untuk membuang perkataan "protes jalanan" sebagai salah satu kesalahan. Jadi, ia tidak munasabah dan bertentangan dengan undang-undang untuk menteri menggunakan alasan ini," kata Lim dalam satu siri kenyataan yang dimuatnaik melalui Twitter.

Tambah peguam itu, yang juga merupakan Naib Presiden penaja MUDA, Hamzah telah bergantung kepada satu kenyataan awam yang palsu yang dibuat menggunakan logo parti MUDA untuk menuduh mereka melakukan kesalahan. Pasukan peguam parti juga memberitahu mahkamah bahawa ROS telah meluluskan pendaftaran Parti Pejuang Tanah Air, yang sebelum itu telah diberikan amaran kerana menggunakan logo parti sebelum ia didaftar secara sah.

"Dan perkara paling menyeluruh dalam hujahan kami, kebebasan untuk berpersatuan adalah hak yang dijamin dalam perlembagaan. Apabila hak dalam perlembagaan menjadi pertikaian, mahkamah tidak boleh hanya bergantung kepada justifikasi oleh menteri, dan ia mesti meneliti semuanya dengan berhati-hati dan secara objektif, dan keutamaan mesti diberikan kepada hak dalam perlembagaan," kata Lim.

"Mahkamah bersetuju dengan kami dan mengeluarkan arahan certiorari untuk membatalkan keputusan Menteri Dalam Negeri yang menolak pendaftaran MUDA. Mahkamah mengeluarkan arahan mandamus supaya menteri mendaftarkan MUDA dalam tempoh 14 hari."

Parti MUDA telah cuba untuk mendaftar sebagai sebuah parti politik yang sah di Malaysia sejak September tahun lepas. Permohonan kali pertama telah ditolak secara rasmi oleh ROS pada Januari lalu, yang mana MUDA dalam satu kenyataan berkata "...tiada sebab diberi. Penolakan ini berlaku selepas hampir 4 bulan menghantar permohonan."

MUDA kemudiannya telah memfailkan rayuan kepada kepada Menteri berkenaan pada 4 Februari lalu dengan kumpulan penaja parti kemudiannya memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 26 April, iaitu apabila mereka gagal mendapatkan jawapan daripada Hamzah dan Pendaftar Pertubuhan mengenai status rayuan MUDA, sebelum mahkamah menetapkan 12 Ogos (Khamis) sebagai hari pendengaran.

Rayuan oleh MUDA itu telah ditolak oleh Hamzah melalui emel pada 12 Ogos lalu, yang
disifatkan Lim sebagai "taktik kotor" kerajaan Perikatan Nasional untuk menghalang pendaftaran mereka.

Susulan daripada keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu, laman media sosial Twitter menyaksikan ramai netizen dan pemimpin terutama dari kalangan belia menyuarakan kegembiraan mereka serta memberikan ucapan tahniah dan kata-kata semangat kepada MUDA untuk memulakan gerakerja mereka sebagai parti politik.

"Alhamdulillah. Keputusan yang dinanti-nanti," kata @danialabdmajeed, manakala artis wanita Sharifah Amani pula mendoakan kebaikan untuk parti itu: "Tahniah team MUDA. Selamat berkhidmat demi rakyat dan negara. Semoga dipermudahkan segalanya. Mudah mudahan."

"Tahniah Muda dan @SyedSaddiq," tulis Anggota Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil.

"Mari bersama-sama kita melawan penjahat. Masa depan negara bergantung kepada semangat dan kemahuan generasi muda," tambah ahli politik dari Parti Keadilan Rakyat itu.

"Congrats MUDA. March on," kata @nizambakeri.

Kerajaan masih boleh merayu

Difahamkan bahawa kerajaan masih boleh membuat rayuan ke mahkamah lebih tinggi untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Bagaimanapun, setakat petang Selasa, tidak ada sebarang kenyataan dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri atau Pejabat Peguam Negara samada mereka akan memfailkan rayuan.

Seorang peguam yang berkait dengan parti pembangkang Parti Tindakan Demokratik (DAP), Syahredzan Johan menggesa supaya Putrajaya tidak membuat rayuan dan terus mendaftarkan MUDA sebagai parti politik.

"Kerajaan patut tidak membuat rayuan terhadap keputusan ini. Hanya patuh pada arahan dan daftarkan MUDA," kata beliau melalui Twitter.

Sementara itu, penganalisis dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Tunku Mohar Mokhtar berkata keputusan mahkamah itu bermakna kuasa yang ada pada Menteri Dalam Negeri bukan untuk disalahguna dengan sewenang-wenangnya.

"Undang-undang yang memberikan menteri kuasa yang sebegitu patut disemak semula. Tidak ada sebarang justifikasi menurut undang-undang untuk (menteri) menolak permohonan MUDA itu. Permohonan sebelum ini ditolak hanya kerana menteri itu tidak mahu mendaftarkan MUDA," kata Tunku Mohar kepada BenarNews.

Ahli akademik itu berkata ia bagaimanapun masih awal untuk mengagak sama ada MUDA mampu memberikan persaingan yang hebat kepada kerajaan, walaupun ia memberi fokus kepada kumpulan orang muda.

Namun, tambah beliau, MUDA mungkin mempunyai peluang sekiranya ia juga dapat menarik sokongan orang lebih tua.
"MUDA juga mungkin menghadapi kesukaran untuk melawan sayap pemuda parti-parti yang telah ada dan lebih kukuh.

"Sekiranya ia boleh membuat satu gabungan atau menyertai mana-mana gabungan, MUDA mungkin akan dapat manfaat daripada sokongan pengundi gabungan berkenaan."

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.