Mahkamah Malaysia Benarkan Cabar Tindakan Pengusiran 1,200 Rakyat Myanmar

Mahkamah Tinggi itu juga membenarkan penangguhan tindakan pengusiran baki 114 rakyat Myanmar ke negara mereka, kata Amnesty International.
Staf BeritaBenar
2021.03.09
Kuala Lumpur
Mahkamah Malaysia Benarkan Cabar Tindakan Pengusiran 1,200 Rakyat Myanmar Migran Myanmar, yang akan dihantar pulang dari Malaysia, dilihat berada di dalam sebuah trak imigresen di Lumut, Malaysia, 23 Februari 2021.
[Reuters]

Mahkamah Malaysia pada Selasa membenarkan kumpulan hak asasi manusia untuk mencabar pengusiran 1,200 rakyat Myanmar ke negara mereka yang sedang dilanda konflik, kata Amnesty International, dua minggu selepas Putrajaya mengusir sebahagian besar daripada migran itu walaupun adanya perintah mahkamah untuk menangguhkan tindakan tersebut.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur turut membenarkan penangguhan pengusiran baki 114 rakyat Myanmar ke negara mereka sehinggalah selesai kes tersebut, kata kumpulan pemerhati hak asasi antarabangsa itu dan Asylum Access Malaysia, iaitu pertubuhan hak asasi pelarian tempatan.

"Amnesty International Malaysia dan Asylum Access Malaysia menyambut baik keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini untuk membenarkan permohonan kami mendapatkan semakan kehakiman terhadap keputusan kerajaan Malaysia untuk mengusir 1,200 warga Myanmar pada Februari," kata kedua-dua kumpulan itu dalam satu kenyataan bersama.

"Kami menyambut baik keputusan mahkamah untuk menangguhkan pengusiran baki 114 rakyat Myanmar, yang tidak lagi berisiko dihantar pulang sehinggalah semakan hakiman selesai."

Mahkamah Tinggi menetapkan prosiding pengurusan semakan kehakiman itu pada 23 Mac.

Pegawai-pegawai Jabatan Imigresen tidak melayani permintaan BeritaBenar bagi mendapatkan ulasan mereka berhubung perkara itu.

Pada 23 Februari, dua kumpulan hak asasi berkenaan telah memfailkan petisyen di Mahkamah Tinggi bagi mendapatkan perintah untuk menghalang pengusiran 1,200 rakyat Myanmar, dengan tindakan itu telah diumumkan oleh ketua pengarah Imigresen sebelum ini.

Terdapat sekurang-kurangnya tiga pelarian, yang berdaftar dengan agensi bagi pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), antara mereka yang dihantar pulang ke negara itu, kata kumpulan hak asasi tersebut pada ketika itu.

Tindakan pengusiran itu boleh membahayakan nyawa mereka serta membenarkan perbuatan yang melanggar hak asasi manusia terus dilakukan oleh tentera Myanmar, yang menggulingkan pemimpin awam negara itu, Aung San Suu Kyi, dalam rampasan kuasa pada 1 Februari lalu, kata kumpulan itu.

Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNCHR) menyatakan bahawa sekurang-kurangnya enam orang yang berdaftar dengannya adalah antara yang dihantar pulang. Agensi itu juga menyatakan bahawa Malaysia telah menolak permohonannya untuk mengunjungi pusat tahanan Imigresen sejak Ogos 2019.

Ketua Pengarah Imigresen Malaysia sebelum ini memberi jaminan bahawa tiada pemegang kad UNHCR atau etnik Rohingya dalam kalangan 1,200 orang yang dijadualkan bagi penghantaran pulang itu.

Sehari setelah petisyen itu difailkan, Mahkamah Tinggi menghentikan tindakan pengusiran itu. Tetapi Malaysia tidak mengendahkan perintah penangguhan yang dikeluarkan mahkamah. Pada hari yang sama, kerajaan menghantar pulang 1,086 orang daripada 1,200 rakyat Myanmar dengan menaiki kapal tentera laut negara itu.

Pegawai Imigresen menyatakan bahawa rakyat Myanmar itu dihantar pulang secara sukarela.

Pada masa itu, Amnesty dan Majlis Peguam Malaysia menegaskan bahawa Jabatan Imigresen mungkin berisiko menghina mahkamah sekiranya meneruskan tindakan pengusiran itu. Pada Selasa, tiada makluman sama ada jabatan itu dikenakan tindakan menghina mahkamah.

Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah telah menyuarakan kebimbangan mereka berhubung tindakan Malaysia mengusir rakyat Myanmar.

Pihak Tentera di Myanmar "mempunyai rekod panjang mengenai perbuatan melanggar hak asasi manusia terhadap ahli kumpulan agama dan etnik minoriti," kata Ned Price, jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat.

Sekurang-kurangnya 54 orang - kebanyakannya penunjuk perasaan - telah terbunuh dalam pertempuran dengan pihak tentera dan polis di Myanmar sejak rampasan kuasa itu berlaku bulan lalu.

'Peranan NGO dan pertubuhan masyarakat awam'

Pada Selasa, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak hujah peguam kerajaan bahawa kumpulan hak asasi dan NGO tidak boleh mencabar keputusan kerajaan, kata peguam Amnesty dan Asylum Access Malaysia dalam satu kenyataan.

Peguam yang mewakili kerajaan juga tidak melayani pertanyaan daripada BeritaBenar.

"Keputusan hari ini juga menunjukkan bahawa NGO dan pertubuhan masyarakat awam mempunyai peranan untuk mencabar keputusan kerajaan di mahkamah berhubung hal-hal yang berkaitan dengan kepentingan awam," kata Katrina Jorene Maliamauv, pengarah eksekutif Amnesty International Malaysia, dalam kenyataan bersama itu.

"Kerajaan tidak lagi boleh menolak permohonan semakan kehakiman oleh NGO dengan menganggapnya sebagai hal remeh atau salah tanggap kerana mahkamah telah mengakui bahawa NGO mempunyai peranan penting dalam masyarakat dengan membantu memastikan adanya kebertanggungjawaban dan ketelusan."

Sehingga penghujung 2020, kira-kikra 178,610 pelarian dan pencari suaka telah mendaftar dengan UNHCR di Malaysia, dan kebanyakan mereka berasal dari kawasan yang dilanda konflik di Myanmar atau melarikan diri daripada tindakan penganiayaan di sana, menurut agensi itu.

Malaysia tidak menandatangani Konvensyen Pelarian 1951 tetapi, menurut UNHCR, prinsip non-refoulement diamalkan di negara ini sebagai sebahagian daripada undang-undang antarabangsa, yang turut mengikat semua negara di dunia.

"Menggunakan cara tidak langsung untuk mendorong mereka pulang menghadapi pencabulan hak asasi manusia yang teruk pada dasarnya adalah seperti menghantar pulang individu ke negara asal untuk berdepan penindasan dan penganiayaan," kata Amnesty pada bulan lalu.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.