Mahkamah Persekutuan tolak permohonan gugur hakim sabitan bersalah Najib Razak

Hakim Mahkamah Rayuan tidak sepatutnya berada dalam panel Hakim Mahkamah Persekutuan, kata peguambela Najib.
Iman Muttaqin Yusof & Noah Lee
2023.01.19
Putrajaya
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
Mahkamah Persekutuan tolak permohonan gugur hakim sabitan bersalah Najib Razak Para penyokong bekas Perdana Menteri Najib Razak menunggu ketibaan beliau sambil memegang poster dan gambar di luar Istana Kehakiman di Putrajaya, 19 Januari, 2023.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Mahkamah tertinggi Malaysia pada Khamis menolak permohonan bekas Perdana Menteri Najib Razak untuk mengeluarkan seorang hakim daripada panel Mahkamah Persekutuan yang sedang mendengar permohonan semakan semula keatas sabitan bersalah dan hukuman 12 tahun penjara melibatkan kes berkaitan 1MDB.

Pendengaran permohonan itu diadakan beberapa hari selepas pemimpin UMNO dan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi mengulangi gesaan supaya Najib diberikan perbicaraan yang adil, dan mendakwa bahawa bekas PM yang kini sedang menjalani hukuman penjara itu merupakan seorang mangsa "pendakwaan politik dan terpilih".

Panel yang mendengar permohonan dibuat peguam Muhammad Shafee Abdullah telah sebulat suara menolak hujahan bahawa panel Mahkamah Persekutuan hanya boleh dianggotai oleh hakim-hakim dari mahkamah tertinggi itu sahaja.

"Kami tidak diyakinkan bahawa Abu Bakar Jais perlu mengundurkan diri daripada mendengar permohonan semakan ini. Undang-undang adalah jelas bahawa Ketua Hakim mempunyai kuasa budi bicara untuk membenarkan seorang hakim Mahkamah Rayuan untuk duduk di dalam (panel) Mahkamah Persekutuan demi menegakkan keadilan seperti Perkara 122(2) Perlembagaan Persekutuan," kata hakim Abdul Rahman Sebli, seperti dilaporkan media tempatan.

Untuk rekod, hanya sejumlah wartawan yang berdaftar dengan pihak mahkamah sahaja dibenarkan untuk masuk ke dalam bilik perbicaraan bagi membuat liputan secara terus.

Sebelum keputusan itu dibuat, mahkamah berkenaan telah mendengar permohonan Shafee selaku peguam utama pasukan pembelaan Najib supaya Abu Bakar disingkirkan daripada mendengar permohonan semakan kes Najib.

Shafee mendakwa bahawa Abu Bakar tidak sepatutnya berada di dalam panel kerana beliau bukan seorang hakim Mahkamah Persekutuan.

Abu Bakar merupakan salah seorang daripada lima ahli panel mahkamah yang diketuai Abdul Rahman, yang merupakan Hakim Besar Sabah dan Sarawak. Tiga lagi anggota adalah hakim-hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Vernon Ong Lam Kiat, Rhodzariah Bujang, dan Nordin Hassan.

Hujahan oleh Shafee itu bagaimanapun telah menerima bantahan daripada V. Sithambaram yang mengetuai pasukan pendakwaan. Beliau menyatakan bahawa sebarang penolakan terhadap hakim mesti menunjukkan bahawa terdapat bahaya yang jelas mengenai sikap berat sebelah.

Selain itu, kata Sithambaram, Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat juga sentiasa memegang kuasa untuk menentukan komposisi ahli sesebuah panel mahkamah.

Pendengaran yang berlangsung pada Khamis itu menyaksikan bekas PM Najib kembali ke mahkamah dalam usaha mendapatkan kebenaran bagi melakukan semakan semula ke atas keputusan perbicaraan berkait 1MDB terhadapnya sebelum ini, yang disifatkan oleh ahli politik itu sebagai perbicaraan yang tidak adil dan berat sebelah.

Najib telah dimasukkan ke penjara pada Ogos 2022 selepas Mahkamah Persekutuan menegakkan keputusan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan Mahkamah Rayuan sebelum itu, yang mensabitkan Najib dengan tujuh dakwaan jenayah membabitkan pemindahan wang berjumlah RM42 juta (AS$9.7 juta) milik SRC International Sdn Bhd ke akaun bank miliknya.

SRC merupakan bekas anak syarikat 1MDB, sebuah syarikat pelaburan negara yang mengalami kerugian berbilion ringgit.

Bekas PM itu, kemudiannya memfailkan permohonan supaya satu semakan kehakiman dibuat dalam kes berkenaan kerana Mahkamah Persekutuan enggan memberikan penangguhan dan menghalang ketua pasukan peguambelanya semasa itu, Hisyam Teh Poh Teik, daripada mengundurkan diri.

Hisyam telah mengambil alih usaha membela Najib hanya kira-kira lima minggu sebelum rayuan didengar Mahkamah Persekutuan, dan telah memohon supaya kes berkenaan ditangguhkan bagi memberikannya masa membuat persiapan.

"Tidak pernah lagi dalam pengalaman saya selama 46 tahun sebagai peguam jenayah di mana saya melihat seorang peguam berdiri di depan Mahkamah Persekutuan, membuat permohonan penangguhan dan tidak berjaya mendapatkannya," kata Shafee ketika satu sidang media di luar mahkamah pada Khamis.

Beliau merujuk kepada permohonan Hisyam untuk diberikan masa membuat persiapan yang ditolak Mahkamah Persekutuan.

"Kami (peguam) memerlukan antara lapan ke sembilan minggu untuk bersedia, dan Hisyam baru sahaja mengambil kes dengan begitu banyak fakta untuk dibaca olehnya. Beliau tidak akan mampu melakukan semua itu walaupun diberikan masa empat bulan, dan mahkamah sepatutnya tahu perkara tersebut," tambah Shafee.

"Najib telah kemudiannya meminta saya kembali (mewakili Najib) kerana beliau sedar telah melakukan kesilapan, mungkin kerana terlalu percaya dengan sesetengah individu,"

Menurut Shafee, permohonan semakan kehakiman itu akan disambung pendengarannya pada bulan depan, iaitu antara 20 dan 22 Feb.

Selain daripada memfailkan permohonan semakan kehakiman, Najib sebelum ini juga pernah cuba mendapatkan pengampunan diraja, yang bagaimanapun masih belum diluluskan.

Pada 4 Jan lalu, Najib juga telah memfailkan satu petisyen kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu [PBB], dengan tujuan untuk mendapatkan pembebasan dari penjara atau diberikan perbicaraan semula.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.