Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Benarkan Rosmah Mansor Ke Singapura

Pasport isteri bekas perdana menteri itu dikembalikan sementara dengan Najib Razak turut membuat permohonan dapat pasportnya untuk perjalanan yang sama.
Noah Lee & Hadi Azmi
Kuala Lumpur
2021-10-15
Share
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Benarkan Rosmah Mansor Ke Singapura Rosmah Mansor isteri kepada bekas perdana menteri Najib Razak, keluar dari perkarangan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas mendengar keputusan kes rasuah solar hibrid bagi sekolah-sekolah luar bandar di Sarawak, 18 Februari 2021.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jumaat memberikan kebenaran kepada Rosmah Mansor, isteri bekas Perdana Menteri Najib Razak ke luar negara mengikut tempoh yang dibenarkan oleh Hakim untuk berada bersama anak perempuannya yang dijangka melahirkan anak tidak lama lagi.

Beliau yang kini sedang menghadapi perbicaraan jenayah berkaitan rasuah melibatkan projek panel solar sekolah di Sarawak, sebelum ini telah diminta menyerahkan pasport sebagai syarat jaminan selepas didakwa di mahkamah pada 2019.

Suaminya, Najib juga sedang berdepan dengan prosiding mahkamah berhubung kes jenayah melibatkan pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB), turut memfailkan permohonan mendapatkan kembali pasportnya buat sementara di Mahkamah Rayuan.

"Benar, Datuk Seri Najib telah memfailkan permohonan untuk mendapatkan kembali pasportnya. Pendengaran permohonan ini telah ditetapkan pada Isnin hadapan," kata peguam Muhammad Farhan Shafee kepada BenarNews ketika dihubungi pada Jumaat.

Beberapa jam sebelum permohonan itu difailkan, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohamed Zaini Mazlan memutuskan untuk membenarkan supaya pasport Rosmah dikembalikan kepadanya bagi membolehkannya ke Singapura.

Penghakiman itu dibuat selepas mahkamah mendengar permohonan Rosmah yang mahu melawat anaknya Nooryana Najwa Najib, 33, yang dijangka melahirkan anak keduanya di republik itu, dua minggu lagi.

"Pasport pemohon dipulangkan kepada beliau pada hari ini dan perlu dikembali sebelum atau pada 6 Disember ini.

"Pemohon hanya boleh ke luar negara iaitu ke Singapura dari 22 Oktober dan mesti pulang ke Malaysia sebelum atau pada 21 November ini," kata Hakim Mohamed Zaini, seperti dilaporkan oleh agensi berita nasional Bernama.

Disebabkan oleh kekangan akibat pandemik COVID-19, kehadiran secara fizikal di mahkamah telah dihadkan, termasuk wartawan.

Rosmah sedang berhadapan dengan pertuduhan meminta dan menerima rasuah untuk mempengaruhi kelulusan projek solar bernilai RM1.25 bilion (AS$309 juta) melibatkan ratusan sekolah luar bandar di Sarawak.

Pihak pendakwaan mendakwa Rosmah telah meminta RM187.5 juta (AS$46.4 juta) dari Jepak Holdings, syarikat yang memohon kontrak dari jabatan pendidikan untuk projek tenaga solar dan juga untuk menjaga dan menguruskan penjana diesel bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak di antara Mac dan April 2016.

Rosmah turut didakwa menerima RM1.5 juta (AS$371,000) pada 7 September 2017 dari Jepak Holdings berkaitan projek tersebut dan RM5 juta (AS$1.2 juta) dari Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin melalui bekas pegawai khasnya Rizal Mansor. Rizal dan Rosmah tidak mempunyai pertalian darah.

Ketiga-tiga pertuduhan adalah di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 (AS$2,474) mengikut mana yang lebih tinggi jika disabitkan kesalahan.

Pada Febuari lepas, Mahkamah Tinggi itu telah mengarahkan supaya Rosmah dipanggil membela diri, selepas ia mendapati pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes mereka.

Pasport Ahmad Zahid Hamidi dipulangkan

Dalam kes Najib pula, pada 28 Julai 2020, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Nazlan Ghazali telah menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun ke atas bekas Perdana Menteri itu serta mengenakan denda sebanyak RM210 juta (AS$49.3 juta) selepas mendapati beliau bersalah terhadap satu pertuduhan menyalahguna kuasa, tiga pertuduhan pecah amanah jenayah dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram berhubung dakwaan bahawa beliau telah menerima secara haram RM42 juta (AS$9.67 juta) daripada SRC International Sdn Bhd, anak syarikat 1MDB.

Hukuman tersebut bagaimanapun telah ditangguhkan oleh Mahkamah Tinggi, bagi memberi peluang kepada Najib untuk merayu kes di mahkamah yang lebih tinggi. Malaysia mengamalkan sistem kehakiman 'two-tier', di mana sesuatu kes mahkamah boleh dibawa ke dua peringkat tinggi untuk rayuan.

Beliau juga kini sedang berhadapan dengan tindakan muflis yang sedang diambil keatasnya kerana didakwa gagal membayar tunggakan cukai berjumlah AS$411 juta.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) Ahmad Zahid Hamidi, juga telah berjaya mendapatkan kebenaran mahkamah untuk mendapatkan pasportnya buat sementara, bagi membolehkan beliau terbang ke Jerman bagi mendapatkan rawatan kesihatan.

Menurut laporan Bernama, bekas Timbalan Perdana Menteri itu yang berdepan demham 40 pertuduhan menerima rasuah di Mahkamah Tinggi Shah Alam telah memohon kepada mahkamah berkenaan dikembalikan pasportnya bagi membolehkan beliau mendapatkan rawatan sakit belakang dan leher daripada pakar terkemuka di Jerman.

Peguam beliau Ahmad Zaidi Zainal dilaporkan memberitahu media pada Isnin lepas bahawa Hakim Mohd Yazid Mustafa telah membenarkan permohonan Ahmad Zahid itu.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu turut berjaya mendapatkan kebenaran serupa dari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, di mana Ahmad Zahid sedang menghadapi 47 lagi pertuduhan pengubahan wang haram, pecah amanah dan rasuah.

"Permohonan dibenarkan untuk tujuan pembedahan dan hanya tertakluk rawatan di Jerman,” kata Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Collin Lawrence Sequerah, seperti dilaporkan akhbar tempatan Kosmo.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh