Perbicaraan kes jenayah bekas menteri termuda Malaysia bermula

Noah Lee & Nisha David
2022.06.21
Kuala Lumpur
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
Perbicaraan kes jenayah bekas menteri termuda Malaysia bermula Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berbaju biru(kanan) bersama peguamnya Lim Wei Jiet dan S.Ambiga semasa bercakap kepada media sejurus selesai perbicaraan hari pertama kes beliau di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, 21 Jun, 2022.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Ketua parti belia pertama di Malaysia mula menjalani perbicaraan di mahkamah atas dakwaan pecah amanah dan pengubahan wang haram pada Selasa, dengan pihak pendakwaan menegaskan bahawa beliau terbabit dalam menipu wang parti lamanya, manakala ibu tertuduh semasa memberikan keterangan mendakwa anaknya menjadi mangsa permainan politik kerajaan sebelum ini.

Kes terhadap bekas menteri kabinet termuda Malaysia Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, 29, itu bermula ketika spekulasi semakin hangat mengenai pilihan raya yang dikatakan mungkin akan diadakan dalam masa terdekat, di mana kira-kira lima juta pengundi muda yang berusia antara 18 ke 21 tahun akan mengundi buat kali pertama selepas kerajaan menurunkan had umur mengundi negara berkenaan.

Syed Saddiq, yang merupakan Ahli Parlimen Muar, menghadapi empat pertuduhan pecah amanah, pengubahan wang haram serta menyalahgunakan wang sumbangan untuk Pilihan raya Umum ke-14 (PRU14) membabitkan wang berjumlah lebih RM1 juta.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin dalam pernyataan pembukaan berkata bahawa pihak pendakwaan akan membuktikan bahawa tertuduh telah melakukan kesemua kesalahan yang dituduh itu dengan niat jahat dan tidak jujur.

"Kami akan membuktikan kesemua kesalahan yang didakwa dilakukan Ahli Parlimen Muar itu adalah berniat jahat dan tidak jujur.

"Pasukan pendakwaan akan bergantung kepada kombinasi keterangan terus, ikut keadaan dan dokumen dalam membuktikan kes terhadap tertuduh," kata peguam kerajaan tersebut di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Azhar Abdul Hamid.

Selepas pernyataan pembukaan, pihak pendakwaan kemudiannya memanggil seorang pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Taufik Awaluddin yang memberitahu mahkamah bahawa siasatan yang dijalankan mendapati bahawa sejumlah kira-kira RM250,000 (AS$86,844) wang tunai yang hilang daripada peti besi milik Syed Saddiq pada tahun 2020 adalah wang sumbangan daripada dana parti politik yang pernah dipohon tertuduh.

Taufik memberikan keterangan bahawa laporan forensik terhadap telefon bimbit seorang Penolong Bendahari ARMADA, iaitu sayap pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang pernah diketuai Syed Saddiq sebelum ini, menunjukkan bahawa dakwaan Syed Saddiq yang wang tersebut adalah hasil simpanan keluarga untuk membiayai kos ubahsuai rumah adalah satu alasan.

"Transkrip laporan forensik mengandungi rakaman perbualan Syed Saddiq dengan beberapa ahli kumpulan dalam aplikasi WhatsApp mendedahkan wang itu adalah sumbangan daripada dana parti politik yang pernah dipohonnya.

“Laporan forensik itu juga mengandungi perbualan Syed Saddiq dengan ahli-ahli kumpulan mengenai alasan yang akan dimaklumkan kepada media untuk menutup mulut masyarakat berhubung kehilangan wang daripada peti besi di rumahnya.

"Laporan forensik itu diperolehi selepas SPRM merampas telefon bimbit milik Rafiq Hakim Razali yang ketika itu Penolong Bendahari Armada untuk dianalisa," kata Taufik.

Pegawai penyiasat tersebut turut memberitahu mahkamah bahawa laporan forensik menunjukkan tiada kesan umpilan ditemui pada peti besi tersebut manakala bilik ahli politik itu berada dalam keadaan kemas serta hanya individu tertentu mengetahui di mana wang tunai berkenaan disimpan.

Dianiaya

Sementara itu, ibu bapa Syed Saddiq ketika memberikan keterangan di mahkamah sama mendakwa bahawa tertuduh dianiaya oleh kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin kerana enggan menyokong Presiden Bersatu itu sewaktu kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri dalam keadaan tergugat.

"Syed Saddiq menerima tekanan untuk menyatakan sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin," kata bapa Syed Saddiq, Syed Abdul Rahman Alsagoff.

"Sejujurnya saya katakan bahawa sokongan kepada Muhyiddin ketika itu adalah tipis dan sudah pasti anak saya akan dianiaya kerana politiknya tidak sehaluan dengan Tan Sri (Muhyiddin)," dakwa beliau.

Perkara serupa turut disebut oleh ibu ahli politik itu, Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz, yang mendakwa bahawa seorang pegawai SPRM telah memberitahunya supaya menasihatkan Syed Saddiq memberikan sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin. Ia dikatakan berlaku ketika kes terhadap anaknya itu berada di peringkat siasatan.

Sebagai seorang ibu, hati saya tersentap apabila pegawai memberitahu saya adalah lebih baik jika saya menasihati anak saya supaya mengikut sahaja kerajaan yang ada sekarang supaya saya dan suami tidak disiasat lagi.

"Sebagai ibu, saya menyayangi anak dan tahu pengorbanan Syed Saddiq. Saya anggap anak saya sudah menjadi mangsa politik," dakwa Sharifah Mahani.

Menurut laporan media tempatan, Syed Saddiq didakwa di mahkamah pada tahun lepas atas pertuduhan bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali yang merupakan Penolong Bendahari Armada Bersatu ketika itu, yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta (AS$227,376), melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana tersebut pada 6 Mac 2020.

Bagi pertuduhan kedua, beliau didakwa menyalahgunakan wang RM120,000 (AS$27,285) daripada akaun bank milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang berkenaan.

Selain itu, Syed Saddiq juga didakwa atas dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram.

Bagi pertuduhan pertama, Syed Saddiq berdepan hukuman penjara maksimum 10 tahun dengan sebatan sekiranya didapati bersalah, manakala bagi pertuduhan menyalahgunakan harta untuk diri sendiri, beliau berdepan hukuman penjara antara enam bulan dan lima tahun dengan sebatan.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram pula, Syed Saddiq boleh dihukum penjara maksimum 15 tahun dan denda sebanyak lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh