1MDB: Mahkamah tolak permohonan kerajaan sita aset dikaitkan dengan Najib dan isteri

Pihak pendakwaan telah gagal membuktikan yang aset berkenaan adalah hasil daripada aktiviti haram.
Iman Muttaqin Yusof & Noah Lee
2022.11.14
Kuala Lumpur
1MDB: Mahkamah tolak permohonan kerajaan sita aset dikaitkan dengan Najib dan isteri Rosmah Mansor, isteri bekas Perdana Menteri Najib Razak, tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, 14 Nov 2022.
[Iman Muttaqin Yusof/BenarNews]

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin menolak permohonan kerajaan Malaysia untuk menyita aset mewah bernilai lebih AS$17.4 juta yang dirampas daripada bekas Perdana Menteri Najib Razak yang kini sedang dipenjara, dan isterinya Rosmah Mansur dengan menyatakan bahawa bukti tidak mencukupi untuk mengaitkannya dengan aktiviti haram.

Susulan daripada kekalahan parti politik pimpinan Najib pada 2018 disebabkan skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), polis telah menyerbu beberapa premis yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri itu dan merampas pelbagai aset termasuk perhiasan mewah yang dianggarkan bernilai AS$223 juta.

Keputusan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu dibuat hanya beberapa hari sebelum Pilihan Raya Umum Malaysia Ke-14, yang dikatakan penganalisis akan melihat kelebihan memihak kepada parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) dan gabungan pimpinannya Barisan Nasional (BN), disebabkan parti pembangkang yang berpecah belah.

Hakim Muhammad Jamil Hussin dalam penghakimannya berkata pihak kerajaan telah gagal membuktikan bahawa 2,435 unit barang kemas, tujuh jam tangan mewah jenama Richard Mille, dan 29 beg tangan mewah jenama Hermes yang dirampas polis di Pavillion Residence di Kuala Lumpur pada 18 Mei 2018 adalah merupakan barangan yang dibeli melalui pengubahan wang haram dari dana 1MDB.

"Pihak pendakwaan, dalam keseimbangan kebarangkalian, telah gagal membuktikan bahawa aset berkenaan merupakan hasil daripada aktiviti haram. Oleh itu, permohonan untuk menyita aset tersebut ditolak," kata Muhammad Jamil.

Rampasan barangan berkenaan dibuat dalam satu serbuan ke atas kondominium mewah itu yang dimiliki oleh OBYU Holdings Sdn Bhd - di mana Najib dan keluarganya tinggal kira-kira satu minggu selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 yang menyaksikan blok tertua parti politik Malaysia, Barisan Nasional yang dipimpin Najib kalah buat pertama kali sejak negara itu merdeka.

Kekalahan bersejarah itu sebahagian besarnya adalah disebabkan kemarahan orang ramai berhubung skandal kewangan 1MDB yang dikaitkan dengan Najib. Pendakwaraya Malaysia dan AS mendakwa bahawa sekurang-kurangnya AS$4.5 bilion (RM18.8 bilion) telah dicuri daripada 1MDB dalam kes yang disifatkan sebagai “skandal kleptokrasi paling teruk”.

Dalam keputusan beliau, Hakim Jamil menyatakan bahawa bukti dan keterangan yang dibawa ke mahkamah oleh pihak pendakwaan adalah tidak mencukupi untuk menunjukkan bahawa aset dirampas tersebut merupakan hasil daripada perbuatan pecah amanah jenayah terhadap dana 1MDB.

Hakim itu juga mengenepikan permohonan kerajaan supaya mahkamah menggantung keputusan itu sementara rayuan dibuat.

Keputusan mahkamah berkenaan dibuat hanya beberapa hari sebelum rakyat Malaysia keluar mengundi untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 pada 19 November ini.

Pada Mei tahun lepas, mahkamah yang sama turut mengenepikan satu lagi kes sitaan membabitkan wang tunai berjumlah RM114 juta (AS$24.8 juta) yang dirampas dari premis sama. Wang tunai tersebut yang terdiri dari pelbagai denominasi mata wang asing dipulangkan kepada Najib kira-kira tiga bulan selepas itu.

Pulangkan

Hakim Muhammad Shafee Abdullah memberitahu BenarNews bahawa barangan berkenaan akan dipulangkan kepada Najib dan Rosmah kerana OBYU Holding - yang merupakan pemilik kondominium Pavillion, tidak akan membuat tuntutan.

"Mereka tidak akan menuntut barangan berkenaan kerana mereka bukan pemiliknya. Najib dan Rosmah akan mendapat balik barang mereka dalam masa terdekat," kata Shafee kepada BenarNews.

Sebelum ini, mahkamah telah membenarkan firma Lebanon, Global Royalty Trading SAL, untuk menuntut satu rantai tangan bernilai AS$220,000 (RM1.01 juta) yang dirampas semasa serbuan di Pavillion, selepas Najib dan Rosmah membatalkan tuntutan mereka terhadap barang kemas berkenaan.

Dalam satu sidang media diadakan oleh Polis DiRaja Malaysia pada 2018, pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil polis ketika itu, Amar Singh Ishar Singh berkata pasukannya telah menyerbu enam premis yang dikaitkan dengan Najib dan menemui ribuan jam tangan mewah, beg tangan Hermes, barang kemas dan wang tunai dengan nilai rampasan dianggarkan berjumlah antara RM900 juta (AS$216 juta) dan RM1 bilion (AS$264 juta).

Berlian berwarna merah jambu yang dikatakan telah diberikan kepada Rosmah oleh ahli perniagaan Jho Low bagaimanapun tidak termasuk dalam senarai barangan ditemui pihak berkuasa.

Najib sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang atas kesalahan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram membabitkan anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd. Beliau juga perlu membayar denda berjumlah RM210 juta (AS$45.6 juta).

Selain itu, Najib juga mempunyai beberapa kes lain yang sedang berjalan di mahkamah. Beliau kini sedang menjalani perbicaraan atas 25 pertuduhan - iaitu empat atas dakwaan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion (AS$500 juta) daripada dana 1MDB, dan 21 dakwaan pengubahan wang haram membabitkan amaun yang sama.

Isteri beliau, Rosmah Mansor pula telah didapati bersalah pada 1 September lepas atas dakwaan meminta dan menerima rasuah sebanyak RM194 juta berkaitan dengan kontrak kerajaan bernilai RM1.25 bilion (AS$272 juta) untuk projek solar hibrid di sekolah di kawasan pedalaman negeri Sarawak.

Beliau kini sedang merayu hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta (AS211 juta). Tarikh pengurusan kes bagi tiga kes rasuahnya telah ditetapkan pada 19 Disember depan, seperti diputuskan oleh timbalan pendaftar Mahkamah Rayuan Norkamilah Aziz pada Isnin.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.