Follow us

Malaysia Fail Permohonan Beku, Sita AS$340 juta Milik 1MDB di UK

Hadi Azmi
Kuala Lumpur, Malaysia
2020-07-14
E-mel
Komen
Share
Bangunan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Malaysia 9 Oktober, 2019.
Bangunan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Malaysia 9 Oktober, 2019.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Malaysia memfailkan satu permohonan untuk menyita lebih AS$340 juta (RM1.45 bilion) daripada dana skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dipercayai disimpan oleh firma PetroSaudi International (PSI) dan pengarahnya Tarek Obaid di dalam akaun bank di United Kingdom.

Notis usul tersebut yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur minggu lalu dan akan didengari pada 16 Julai mendakwa wang tersebut adalah berkaitan dengan kesalahan pengubahan wang haram di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Permohonan itu bermatlamat untuk membekukan sejumlah AS$340,258,246.87 yang tersimpan dalam akaun anakguam firma undang-undang antarabangsa Clyde & Co di London serta sejumlah lagi wang di Barclays Bank di bawah penama ‘Temple Fiduciary Services’ yang jumlahnya tidak dinyatakan.

Bercakap kepada media selepas sesi pengurusan kes dihadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Mahyuddin Md Som pada Selasa, Timbalan Pendakwa Raya Budiman Lutfi Mohamad berkata permohonan tersebut dibuat mengikut Seksyen 53 AMLATFPUAA yang memberi kuasa kepada pihak pendakwaan untuk mengeluarkan perintah larangan terhadap mana-mana pihak untuk menguruskan harta-harta tersebut.

“Jika kita mendapat perintah (daripada mahkamah) kita akan menyampaikannya kepada pihak United Kingdom melalui bantuan perundangan bersama menerusi saluran diplomatik kepada pihak berkuasa di sana, untuk mendaftarkan dan menguatkuasakan perintah larangan tersebut.

“Sebaik sahaja dibenarkan oleh Hakim di Malaysia, kita akan sampaikan permohonan  bantuan perundangan bersama secara serta merta,” kata Budiman.

Selain Tarek dan PSI sebagai responden pertama dan kedua, permohonan itu turut menyenaraikan firma PetroSaudi Oil Services (Venezuela) Ltd, Clyde & Co dan Temple Fiduciary Services, masing-masing sebagai responden ketiga, keempat dan kelima.

Tarek serta seorang lagi pengarah PSI, Patrick Mahony pada 10 Febuari lalu telah dikenakan waran tangkap oleh Suruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Notis Merah Interpol – iaitu permintaan kepada agensi penguatkuasaan undang-undang di seluruh dunia untuk mencari dan menangkap orang yang dinamakan itu, berhubung tuduhan melakukan konspirasi jenayah membabitkan wang sejumlah AS$69 juta (RM294 juta) yang turut dipercayai milik 1MDB.

Bercakap dengan BeritaBenar, Budiman menjelaskan bahawa setelah kes itu berjaya dibawa dan didaftarkan dalam sistem kehakiman United Kingdom, kes tersebut akan diambilalih dan didengar di negara berkenaan oleh pihak perundangannya.

“Rakan sejawat kami di United Kingdom akan melaksanakannya,” tambah timbalan pendakwa raya itu lagi.

Menurut afidavit sokongan yang dibawah penama Mohd Afiq Abd Aziz iaitu seorang penguasa Suruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang juga salah seorang pegawai penyiasat kes 1MDB, Clyde & Co baru-baru ini memohon kebenaran pihak berkuasa United Kingdom untuk mengunapakai dana dipercayai milik 1MDB untuk kepentingan kumpulan PetroSaudi secara umum atau pun Tarek Obaid secara peribadi.

“Saya sesungguhnya menyatakan bahawa ianya adalah penting untuk (harta tersebut) dilindungi dengan kadar segera untuk menggelakkan risiko pelupusan dan seterusnya meninggalkan 1MDB dan kerajaan Malaysia tanpa penyelesaian,” kata Mohd Afiq.

Selain itu, pihak berkuasa Kuwait pada Sabtu dilaporkan telah menangkap Sheikh Sabah Jaber Al Mubarak Al Sabah, anak bekas perdana menteri Kuwait serta rakan perniagaannya Hamad Al Wazzan pada Rabu lalu berkaitan skandal 1MDB, demikian menurut laporan agensi berita Gulf News.

Selain itu, agensi berita Wall Street Journal pada 9 Jun turut mendakwa watak utama skandal 1MDB, Jho Low yang dalam pelarian telah memasuki Kuwait walaupun turut berdepan dengan Notis Merah Interpol.

Kerjasama Polis Hong Kong

Terdahulu, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) berkata seorang lagi watak utama skandal 1MDB iaitu Nik Faisal Ariff Kamil yang merupakan pengarah urusan anak syarikat 1MDB, SRC International dilaporkan sedang bersembunyi di Hong Kong.

Bercakap dalam satu sidang media khas pada Jumaat, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata pihaknya telah mengesan orang yang dikehendaki tersebut namun gagal mendapat kerjasama polis wilayah berkenaan.

"Kita sudah banyak kali buat permintaan dengan pelbagai cara, tambahan lagi kita beri butiran tertentu. Tapi maklum balas kita terima daripada mereka (polis Hong Kong) negatif.

"Itu antara kekangan kita untuk membawa balik beliau (Nik Faisal)," kata Abdul Hamid.

Mengulas mengenai hubungan PDRM dengan polis Hong Kong, Abdul Hamid berkata sebelum ini, kerjasama diberikan pihak berkenaan adalah amat baik, terutama berkaitan kes jenayah dan komersial.

"Namun bagi kes ini, tidak dapat dipastikan mengapa pihak mereka sukar memberikan kerjasama,” jelas beliau lagi.

Pada 14 Mei lepas, sebuah Mahkamah Malaysia melepaskan tanpa dibebaskan Riza Aziz, 43, iaitu anak tiri kepada bekas perdana menteri Najib Razak yang sebelum ini berdepan dengan lima pertuduhan pengubahan wang haram yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta (AS$1.2 juta), lima tahun penjara atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Beliau dibebaskan selepas bersetuju mengembalikan sejumlah AS$107.3 juta (RM464.8 juta) yang digelapkan dalam skandal dana negara 1MDB.

Manakala Najib pula yang berhadapan tujuh pertuduhan berkaitan bekas anak syarikat 1MDB iaitu SRC International, termasuk salahguna kuasa dan penggubahan wang haram akan mendengar keputusan Hakim Nazlan Ghazali pada 28 Julai ini setelah perbicaraan tamat pada 5 Jun lalu.

Jika disabitkan bersalah Najib berdepan dengan hukuman penjara sehingga 20 tahun.

Kes melibatkan Najib terutamanya 1MDB masih lagi berjalan.

Lihat Laman Penuh