Waran Tangkap Terhadap Warga Emas Dera Pembantu Rumah Sampai Mati

Tertuduh MA Ambika gagal menghadirkan diri prosiding pendengaran rayuan setelah usaha menyampaikan notis gagal.
Noah Lee & Nisha Devi
2021.12.09
Kuala Lumpur
Waran Tangkap Terhadap Warga Emas Dera Pembantu Rumah Sampai Mati Petronela Koa menangis di sebelah keranda yang mempunyai mayat anak saudaranya, Adelina Lisao, pembantu rumah yang meninggal dunia di Malaysia, semasa ketibaan keranda itu di Lapangan Terbang Kupang di Nusa Tenggara Timur, Indonesia, 17 Februari 2018.
[AFP]

Mahkamah Persekutuan Malaysia pada Khamis mengeluarkan waran tangkap terhadap seorang wanita tempatan yang menghadapi tuduhan mendera sehingga mati pembantu rumah warga Indonesia beberapa tahun lepas, selepas wanita dari Pulau Pinang itu gagal menghadiri prosiding pendengaran rayuan oleh pihak pendakwaan.

Pejabat Konsulat Indonesia di Pulau Pinang pula memuji tindakan mahkamah itu sebagai satu perkembangan yang baik dalam kes berkenaan, dengan menyatakan bahawa Jakarta berasa kecewa apabila tertuduh MA Ambika dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan sebelum ini.

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai oleh Vernon Ong Lam Kiat membuat keputusan untuk mengeluarkan waran tangkap terhadap Ambika, 63, selepas mempertimbangkan bahawa wanita tersebut telah beberapa kali gagal menghadiri pendengaran rayuan dalam kes berkenaan dan menyebabkan mahkamah terpaksa ditangguhkan.

"Mahkamah telah ditunjukkan dengan sijil sakit responden (Ambika) yang menyebut mengenai keadaannya. Doktor yang memeriksa responden juga telah dimaklumkan mengenai prosiding mahkamah pada hari ini.

"Namun sijil sakit tersebut tidak menyatakan bahawa responden tidak boleh hadir hari ini. Oleh itu mahkamah tidak boleh menerima sijil sakit ini," kata Ong ketika prosiding pada Khamis, selepas mahkamah dimaklumkan bahawa Ambika tidak dapat hadir kerana dikatakan sedang sakit.

Sijil cuti sakit berkenaan telah disampaikan oleh anak beliau, R. Jayavartiny.

"Kes ini juga telah tertangguh beberapa kali disebabkan responden tidak hadir dan mengikut prosiding, bagi kes rayuan jenayah, kedua-dua pihak perlu hadir. Maka kami tiada pilihan selain mengeluarkan waran tangkap bagi memaksa responden hadir ke mahkamah," kata Ong.

Dua lagi hakim yang berada dalam panel Mahkamah Persekutuan itu adalah Zaleha Yusof dan Harminder Singh Dhaliwal.

Mahkamah itu menetapkan 24 Januari hadapan sebagai tarikh sebutan waran tangkap terhadap Ambika dengan beliau perlu melantik seorang peguam.

Pada 19 April 2019, Mahkamah Tinggi di Pulau Pinang membebaskan Ambika daripada tuduhan membunuh Adelina Lisao, pembantu rumahnya yang berasal daripada Nusa Tenggara, Indonesia selepas mendera mangsa di sebuah rumah di Bukit Mertajam.

Susulan keputusan mahkamah tinggi yang membebaskan Ambika pada 2019, pegawai Indonesia telah membuat desakan supaya pasukan pendakwaan membuat rayuan terhadap keputusan itu.

Ia juga telah membangkitkan ketidakpuasan hati beberapa badan bukan kerajaan dan pertubuhan hak asasi, termasuk Tenaganita yang melancarkan satu petisyen atas talian bagi mengumpul maklumbalas terhadap keputusan mahkamah.

Mahkamah Rayuan bagaimanapun pada 22 September 2020 turut mengekalkan keputusan yang dibuat mahkamah tinggi selepas ia selesai mendengar rayuan yang dibuat oleh pihak pendakwaan.

Barisan tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai oleh Yaacob Md Sam berkata tiada kesilapan dalam keputusan Hakim Akhtar Tahir di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang yang membebaskan Ambika mengikut Seksyen 254 (3) Kanun Tatacara Jenayah.

Susulan daripada itu, pasukan pendakwaan kemudiannya telah memfailkan satu lagi rayuan ke Mahkamah Persekutuan, iaitu mahkamah tertinggi di Malaysia. Ia juga adalah langkah rayuan terakhir dalam kes tersebut.

Tujuh kali gagal serah notis

Sebelum mahkamah mengeluarkan waran tangkap pada Khamis, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar telah memaklumkan barisan hakim bahawa pihak berkuasa telah pergi ke rumah yang didiami Ambika dan anaknya selama tujuh kali untuk menyerahkan notis kehadiran mahkamah, namun tidak berjaya kerana tertuduh tidak memberikan sebarang respon.

Peguam kerajaan itu mendakwa bahawa Ambika sengaja tidak menjawab panggilan pihak berkuasa yang hadir ke rumahnya kerana beliau tidak mahu hadir ke mahkamah.

"Saya memohon agar waran tangkap dikeluarkan terhadap Ambika kerana wanita itu jelas dengan sengaja tidak hadir ke mahkamah. Pihak kami telah pergi ke rumahnya sebanyak tujuh kali untuk menyerahkan notis kehadiran kepada Ambika.

"Tetapi dia atau anaknya yang tinggal di rumah sama tidak pernah memberikan sebarang respon walaupun loceng pintu ditekan berkali-kali dan pintu hadapan rumah dalam keadaan terbuka. Cubaan terakhir ialah sekitar pukul 8 malam semalam," kata Dusuki.

Anak tertuduh Jayavartiny kemudiannya memaklumkan kepada hakim bahawa ibunya itu susah hendak berjalan dan hanya mampu berbaring sahaja.

"Ibu saya dibawa ke hospital di Pulau Pinang pada 7 Disember kerana sakit lutut dan sukar berjalan. Keadaannya semakin teruk kerana ibu tidak dapat berdiri dan dia hanya baring di atas katil," kata Jayavartiny.

Sementara itu, Konsulat Jeneral Indonesia di Pulau Pinang, Bambang Suharto menyambut baik tindakan mahkamah mengeluarkan waran tangkap terhadap Ambika.

"Tindakan Mahkamah Persekutuan mengeluarkan waran tangkap tersebut dilihat sebagai satu perkembangan yang baik. Keputusan mahkamah terdahulu yang melepas dan membebaskan Ambika telah mengecewakan Indonesia terutamanya keluarga Adelina.

"Ini satu perkembangan baik untuk kes ini," kata Bambang Suharto.

Adelina yang bekerja dengan majikan tersebut sejak 2014 meninggal dunia jam kira-kira jam 4.45 petang pada 10 Februari, 2018 di Hospital Bukit Mertajam selepas dijumpai di dalam keadaan parah.

Adelina didapati lebam di bahagian muka dan kepala, serta kecederaan serius di bahagian lengan dan kedua-dua kakinya yang dipercayai dicurah air panas.

Menurut dakwaan jiran, Adelina turut tidur di luar rumah bersama anjing peliharaan majikannya selama sebulan selain tidak diberikan makanan secukupnya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.