Mahkamah Buruh perintah majikan lunas gaji tertunggak pekerja Bangladesh RM1 juta
2024.02.06
Kuala Lumpur
Mahkamah buruh Malaysia berkata sebuah syarikat yang memperdaya lebih 700 pekerja warga Bangladesh dengan tawaran pekerjaan palsu di negeri Johor telah bersetuju untuk membayar hampir RM1 juta (AS$300,000) bagi melunaskan separuh daripada gaji mereka yang telah tertunggak sejak Okt 2023.
Penganiayaan dihadapi kumpulan pekerja berkenaan hanya diketahui umum pada pertengahan Disember, selepas 171 daripada mereka mengambil tindakan berjalan kaki menuju ke sebuah balai polis di Pengerang untuk membuat laporan polis kerana tidak diberikan sebarang pekerjaan selepas beberapa bulan dibawa masuk ke Malaysia.
"Syarikat berkenaan akan membayar 50 peratus gaji (yang tertunggak) sejak 7 Okt 2023.
"Dengan itu, kedua-dua pihak (majikan dan pekerja) telah bersetuju untuk menyelesaikan pertikaian dengan bayaran sebanyak 50 peratus daripada tuntutan gaji, membabitkan sejumlah RM1.035 juta kepada 733 orang pengadu," kata Mahkamah Buruh Johor Bahru dalam satu kenyataan pada Isnin.
Selain membayar tunggakan gaji, mahkamah menyatakan bahawa syarikat terbabit telah memberikan komitmen untuk mendapatkan pekerjaan bagi kesemua mangsa selewat-lewatnya pada 10 Feb depan.
Selain itu, ia juga telah diarahkan supaya memindahkan kesemua pekerja berkenaan ke lokasi penempatan baru bagi mengatasi masalah penginapan teruk yang dihadapi mereka.
Menurut mahkamah, masalah itu didapati berpunca daripada kegagalan operator asrama membayar bil elektrik dan air menyebabkan bekalan keperluan asas dipotong.
"Majikan menghadapi masalah untuk berurusan dengan pemilik dan operator asrama yang didiami oleh pekerja sekarang iaitu Roy Camp. Difahamkan bahawa pihak operator asrama tidak membayar bil utiliti lebih daripada RM10,000 menyebabkan bekalan elektrik dipotong oleh Tenaga Nasional Berhad dan bekalan air juga telah dipotong oleh Syarikat Air Johor sejak tiga hari lepas.
"Bagi mengelakkan ketidakselesaan kepada semua pekerja, majikan telah menandatangani perjanjian sewaan dengan asrama lain iaitu Asrama Pekerja Alam Kasturi yang jaraknya 8km dari asrama sekarang."
Masih sangsi
Bagaimanapun, pekerja migran yang telah sekian lama merana kerana terpaksa menetap di penginapan yang menyedihkan termasuk ketiadaan kemudahan asas seperti bekalan air dan elektrik, masih sangsi dengan arahan tersebut dan hanya akan mempercayainya selepas mereka menerima wang yang dijanjikan.
Seorang pekerja yang hanya ingin dikenali sebagai Amin memberitahu BenarNews bahawa dia datang ke Malaysia dengan harapan menggunung untuk mencari nafkah bagi menyara keluarganya di kampung dan membina masa depan lebih baik bagi mereka.
Bagaimanapun, kata Amin yang dijanjikan gaji RM1,500 (AS$315) sebulan, angan-angannya musnah selepas ditipu oleh majikan dan kini berasa menyesal datang ke Malaysia.
"Saya merancang untuk bekerja antara enam ke lapan tahun di sini sebelum pulang ke kampung bagi membina rumah yang baik untuk keluarga. Kini, impian saya hancur dan hanya tinggal sesalan.
"Sekarang syarikat telah diarah membayar gaji kami. Sejak tiba Okt lepas, saya tidak merasa makanan yang elok dan tidur beralaskan tilam yang penuh pepijat. Hidup seperti dalam neraka.
“Saya hanya akan percaya apabila saya betul-betul menerima wang yang dijanjikan," kata Amin, merujuk kepada arahan mahkamah supaya majikannya membayar separuh daripada tunggakan gaji.
Menurutnya, pekerja lain juga berasa kecewa dengan kelewatan pembayaran gaji dan kesemua mereka berharap dapat meneruskan hidup dengan diberikan pekerjaan dan keadaan hidup yang lebih baik.
Seorang lagi mangsa, Arshad memberitahu BenarNews bahawa dia dan dua lagi rakan tiba di Pengerang pada Julai 2023 selepas dijanjikan pekerjaan dengan gaji lumayan oleh ejen pekerjaan di Dhaka.
"Bagaimanapun, sebaik tiba, kami dipaksa hidup dengan asrama teruk dan makanan berkualiti rendah, selain poket yang kosong," kata lelaki itu, yang meninggalkan isteri dan seorang anak di Bangladesh untuk bekerja di Malaysia.
"Kami sebelum ini dijanjikan mendapat gaji antara 60,000 hingga 70,000 Taka (hampir AS$600) sebulan," tambah Arshad, yang sebelum ini memperoleh pendapatan kira-kira AS$200 sebulan dengan bekerja sebagai tukang kayu.
Kata Arshad, dia turut menanggung beban hutang yang besar selepas terpaksa meminjam sejumlah RM30,000 (AS$6,200) untuk membayar ejen-ejen pekerjaan di Malaysia dan Bangladesh, caj pemprosesan, selain simpanan untuk kegunaan kecemasan di Malaysia.
Penganiayaan berulang
Sementara itu, aktivis hak asasi pekerja Andy Hall menyuarakan rasa kecewa terhadap jumlah wang penyelesaian yang dicapai dalam kes berkenaan.
Katanya, insiden penganiayaan pekerja migran di Pengerang sepatutnya dijadikan contoh bagi menghalang kejadian seumpama itu daripada dilakukan oleh syarikat lain.
Walaupun kerajaan Malaysia dan sistem keadilan negara mengambil serius kegiatan sindiket yang menyeludup pekerja migran dari Bangladesh, yang disifatkan sebagai satu bentuk perhambaan zaman moden, namun hukuman yang dikenakan tidak cukup kuat.
"Penyelesaian yang dicapai ini mengecewakan. Ia adalah hak pekerja berkenaan berdasarkan kontrak, dan mereka mempunyai hutang yang bertambah saban hari," kata beliau kepada BenarNews.
Seorang lagi aktivis, Adrian Pereira berkata penyelesaian tersebut sepatutnya memasukkan gantirugi ke atas kehilangan peluang mereka untuk membuat kerja lebih masa, kerana kebanyakan pekerja migran bergantung kepada pendapatan tambahan untuk menampung kehidupan.
"Mereka berdepan dengan kerugian lebih besar selain terpaksa membayar kembali pinjaman yang dibuat untuk membayar ejen pekerjaan," kata Pereira kepada BenarNews.
Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.