Malaysia Tubuh Mahkamah Khas Bicara Kes Militan

Staf BeritaBenar
2015.12.16
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
151216-MY-MAHKAMAH620 Seorang penunggang motosikar melalui bangunan Istana Kehakiman di Putrajaya, 25 kilometer dari Kuala Lumpur. 9 September 2008.
AFP

Malaysia akan menubuhkan sebuah mahkamah khas untuk membicarakan suspek terdiri daripada anggota Negara Islam (IS) dan kumpulan militan lain dalam usaha mempercepatkan pengendalian kes-kes berkenaan oleh hakim yang dilatih khas, kata pegawai tertinggi kehakiman.

Perdana Menteri Najib Razak mengumumkan penubuhan mahkamah itu pada hujung minggu lalu ketika menutup perhimpunan agung tahunan parti UMNO, di mana beliau melahirkan kebimbangannya berhubung ancaman IS.

Ketua Hakim Negara Arifin Zakaria memberitahu sidang media di Kuala Lumpur pada Rabu bahawa lima hakim khas terlatih itu akan dilantik bagi mengendalikan kes berkenaan.

Sekurang-kurangnya 130 orang yang disyaki ada kaitan dengan aktiviti IS di Iraq dan Syria telah ditangkap di Malaysia setakat ini, kata pihak berkuasa.

"Kami mempunyai hakim-hakim yang ditugaskan khusus untuk mengendalikan perbicaraan kes IS kerana kerajaan berpendapat ia merupakan ancaman serius terhadap negara,” kata Arifin seperti dilaporkan oleh Agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama).

Beliau berkata, berlaku kelewatan dalam mengendalikan perbicaraan berkaitan dengan kes keselamatan kerana ia melibatkan sejumlah besar saksi.

Dalam pada itu, Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein ketika mengulas cadangan itu berkata, penubuhan mahkamah khas berkenaan akan menjadikan proses perundangan berjalan dengan lebih telus.

Katanya, ini kerana ancaman kumpulan berkenaan benar-benar wujud dan semakin menular di seluruh negara.

“Sekiranya kita tidak mengambil langkah-langkah proaktif dan pencegahan, mereka akan dapat mengelak daripada pemantauan pihak berkuasa, lalu boleh menjadi ancaman kepada keselamatan negara.

“Perkara ini telah dibincangkan di peringkat Majlis Keselamatan Nasional, di mana mahkamah sebegini akan membantu dalam mengekang kumpulan militan serta mempercepatkan proses perbicaraan,” jelas beliau.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, Ayub Khan Mydin Pitchay pula berkata, penubuhan mahkamah berkenaan adalah tepat pada waktunya.

"Perancangan tersebut membuktikan bahawa kerajaan sentiasa memandang serius dan melaksanakan pelbagai usaha dari semasa ke semasa bagi mengekang unsur-unsur ekstremis, sekali gus menjaga keselamatan dan kedaulatan negara ini," katanya seperti dilaporkan oleh akhbar Sinar Harian.

'Ajaran sesat'

Sementara itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri II, Masit Kujat berkata, sebanyak 56 kumpulan ajaran sesat yang dipercayai boleh menggugat ketenteraman awam dan keselamatan negara, sedang dipantau oleh polis dengan kerjasama pihak berkuasa agama.

Katanya, PDRM tidak mempunyai kuasa untuk menentukan sama ada sesuatu ajaran itu sesat atau tidak kerana perkara itu terletak di bawah bidang kuasa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan pihak berkuasa agama di negeri.

"PDRM hanya boleh melakukan penilaian tahap ancaman kumpulan ajaran sesat sama ada mereka berpotensi mengancam ketenteraman awam atau pun tidak," katanya semasa sesi soal jawab di Dewan Negara seperti dilaporkan Bernama.

Masit berkata,  pelbagai agensi kerajaan seperti Jakim, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan pihak berkuasa tempatan perlu saling berkerjasama dalam menangani kegiatan ajaran sesat sebelum ia menjadi semakin parah.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.