Malaysia Pertimbang Rayuan Bawa Masuk Pembantu Rumah Asing

Noah Lee & Nisha David
2020.11.11
Kuala Lumpur, Malaysia
201111-MY-Maid1000.JPG Seorang pembantu rumah warga Indonesia semasa sedang bekerja di rumah majikannya di Kuala Lumpur, 26 Jun 2009.
[Reuters]

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) pada Rabu berkata agensi penguatkuasaan itu akan mempertimbangkan untuk membenarkan kemasukan pembantu rumah asing bagi kes tertentu yang mempunyai keperluan kritikal tenaga kerja terutamanya melibatkan kesihatan, dengan kesemua kos berkaitan COVID-19 seperti ujian saringan dan kuarantin perlu ditanggung sepenuhnya oleh majikan.

Ketua Pengarah JIM Khairul Dzaimee Daud berkata, kompromi itu yang akan dibuat secara 'case-by-case' diberikan ketika negara mengenakan sekatan sepenuhnya keatas semua tenaga kerja asing sejak wabak COVID-19 melanda Malaysia sejak awal tahun bagi mengekang penularan koronavirus daripada dibawa ke dalam negara.

“Pertimbangan kebenaran masuk boleh diberikan keatas kes-kes yang melibatkan kesihatan dan perkara kritikal yang lain. Majikan yang mempunyai pembantu rumah asing yang terkandas di luar negara dan mempunyai Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) boleh memohon rayuan untuk dipertimbangkan kebenaran masuk bagi pembantu rumah mereka melalui sistem MyTaravel Pass (MTP).

“Semua majikan yang memohon bagi kemudahan rayuan ini akan dipertimbangkan secara case by case basis," kata Khairul Dzaimee dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan di Putrajaya pada Rabu.

Tambah beliau, semua majikan yang ingin membuat rayuan perlu mematuhi kesemua syarat kemasukan yang telah ditetapkan oleh JIM.

"Mereka perlu mematuhi langkah-langkah pencegahan penularan pandemik COVID-19 seperti melakukan ujian saringan COVID-19 dan kuarantin 14 hari, serta menanggung kos kuarantin tersebut," tambah Ketua Pengarah itu lagi.

Pada Mac lepas, kerajaan Malaysia telah menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak COVID-19 di dalam negara, yang menyaksikan perjalanan keluar masuk dilarang kecuali hanya kepada rakyat Malaysia yang ingin kembali ke negara itu.

Semua kemasukan pelancong dan pelawat asing ke dalam negara juga adalah disekat sepenuhnya.

Selepas situasi pandemik semakin terkawal, Putrajaya mula melonggarkan beberapa peraturan termasuk berkenaan perjalanan keluar dan masuk negara seperti membenarkan warga asing yang memegang Pas Jangka Masa Panjang Malaysia untuk memasuki negara itu.

Akan tetapi, sekatan terhadap pekerja asing tetap dilaksanakan, dengan pengecualian diberikan hanya kepada mereka yang memegang jawatan tertinggi dalam pengurusan syarikat di negara berkenaan.

Keputusan untuk menghalang kemasukan pekerja asing juga telah diumum oleh Menteri Sumber Manusia pada 22 Jun lepas yang menurut laporan media tempatan, M. Saravanan sebagai berkata, pengambilan pekerja asing dalam semua sektor dibekukan hingga hujung 2020, dengan keutamanan hanya diberikan kepada warga tempatan.

"Kita tidak akan membenarkan pengambilan pekerja asing sehingga akhir tahun ini. Mereka (pekerja asing) boleh datang sebagai pelancong jika dibenarkan," kata Saravanan, seperti dilaporkan oleh agensi berita nasional Malaysia, Bernama.

Malaysia merupakan negara yang mempunyai jumlah pembantu rumah asing yang ramai, dengan warga Indonesia dan Filipina adalah paling ramai bertugas sebagai pembantu rumah di negara berkenaan.

Berdasarkan maklumat seperti yang disiarkan oleh Portal Data Terbuka Sektor Awam, jumlah pekerja asing yang bekerja sebagai pembantu rumah bagi Malaysia sepanjang 2019 adalah seramai 129,168 dengan 127,169 orang pada 2018.

Langkah baik

Sementara itu Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing Malaysia (PAPA) menyambut baik kesediaan Jabatan Imigresn untuk membenarkan pembantu rumah asing yang terkandas di negara masing-masing memasuki Malaysia semula.

Presidennya, Foo Yong Hooi berkata, kesediaan kerajaan memberikan kebenaran kepada pembantu rumah adalah satu langkah terbaik oleh Putrajaya tetapi perlu juga mempertimbangkan untuk memberi kebenaran kepada permohonan baharu.

"Kerajaan juga perlu mempertimbangkan untuk memberi kebenaran kepada pemohonan baharu bagi mendapatkan pembantu rumah kerana terdapat isu di mana majikan yang membatalkan permit pembantu rumah lama dan terpaksa membuat permohoan baharu tidak dapat meneruskan permohonan mereka kerana sekatan kemasukan pekerja asing oleh Putrajaya.

“Majikan yang memerlukan pembantu rumah kini sedang menghadapi kesukaran getir, terutama yang perlu untuk menjaga ibubapa yang sudah tua atau yang terlantar kerana keuzuran,” kata Yong Hooi semasa dihubungi BeritaBenar pada Rabu.

Beliau berkata semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang berlangsung ketika ini, ia tidak begitu menjadi masalah kepada majikan untuk menjaga ibubapa mereka sendiri kerana ramai yang bekerja dari rumah, akan tetapi masalah besar akan timbul sebaik sahaja mereka kembali bekerja, kerana ketiadaan pembantu untuk menjaga orang tua.

Menurut beliau, kos pengambilan pembantu rumah asing juga menelan belanja yang besar bagi majikan, dengan setiap seorang pembantu dari Filipina boleh mencecah sehingga RM13,000 (AS$3,148) manakala pembantu Indonesia sekitar RM8,000 (A.S$1,937) ke RM10,000 (A.S.$2,421) seorang.

Kemasukan warga asing adalah antara faktor yang dikhuatiri pihak berkuasa Malaysia akan menyebabkan peningkatan kes COVID-19 di dalam negara itu.

Pada 4 November lepas, Menteri Kanan Keselamatan Ismail Sabri Yaakob memberitahu pemberita bahawa kerajaan masih belum bersedia untuk membuka pintu sempadan negara kepada negara berisiko seperti Bangladesh, walaupun ramai rakyatnya mahu pulang bekerja di Malaysia.

"Saya ingin menjelaskan bahawa dasar tutup pintu masuk kepada warga asing masih kekal. Mereka tidak dibenarkan masuk, kecuali dengan kebenaran Jabatan Imigresen," kata beliau.

Dua hari sebelum itu, ratusan warga Bangladesh dilaporkan telah memprotes di hadapan Kementerian Luar Bangladesh di Dhaka, menuntut supaya visa mereka dilanjutkan dan dibenarkan kembali ke Malaysia untuk bekerja.

Bagi mengekang masalah kemasukan pekerja asing secara haram, kerajaan telah melancarkan satu operasi bersepadu di antara agensi-agensi keselamatan negara termasuk Angkatan Tentera Malaysia, Polis, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia, dinamakan Op Benteng.

Sejak ia mula dilaksanakan pada 1 Mei lepas sehingga 10 Nov, Ismail Sabri berkata bahawa seramai 8,255 pendatang asing tanpa dokumen, 784 tekong, 340 penyeludup telah ditahan manakala 218 bot dan 886 kenderaan darat turut berjaya dirampas.

Sementara itu, pada petang Rabu, pihak berkuasa kesihatan Malaysia terus mencatatkan jumlah kes harian positif COVID-19 sebanyak 822 kes dicatatkan menjadikan jumlah kumulatif 42,872 kes dan dua kes kematian terbaru menjadikan kesemuanya 302 kematian.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.