Bapa Mertua Pejuang Jihad Malaysia Mahu Jumpa Anak Perempuannya

S. Adie Zul
2015.10.09
151008-MY-NOR-WANNDY620 Mahmudah Ahmad (kanan) kelihatan bersama-sama dengan Muhammad Wanndy Mohamad Jedi dan bayi perempuan mereka dalam satu gambar yang dipaparkan dalam laman Facebook Mahmudah. 26 September 2015.
Facebook

Ahmad Hussin berkata beliau tidak berapa mengenali menantu lelakinya, Muhammad Wanndy Mohamad Jedi yang mengisytiharkan dirinya seorang pejuang jihad Malaysia, yang membawa anak perempuannya ke Syria hampir sembilan bulan lalu untuk menyertai kumpulan ekstremis Negara Islam.

Ahmad, tukang kasut di Kedah, negeri di utara Malaysia, berkata kali terakhir beliau melihat anak perempuannya Nor Mahmudah ialah setahun yang lalu. Sejak itu, beliau telah terputus hubungan dengan anaknya Mahmudah, dan suami barunya - kedua-duanya berusia dalam 20-an, yang meninggalkan negara ini pada akhir Januari.

Ahmad memberitahu BeritaBenar beliau tidak mengetahui bahawa menantunya seorang yang radikal, oleh itu berita bahawa Mahmudah telah pergi ke Timur Tengah dengan Wanndy atas nama jihad “adalah sesuatu yang amat mengejutkan dalam hidupnya."

Katanya, beliau sentiasa berdoa agar anaknya dan cucu perempuannya, yang dilahirkan di Syria beberapa minggu lalu, dapat pulang ke tanah air dengan selamat. Tetapi beliau juga sedar beliau mungkin tidak lagi dapat berjumpa Mahmudah, anak ketiganya daripada empat beradik.

"Di sana, mereka melihat kematian setiap hari. Sebagai bapa, sudah tentu, saya amat bimbangkan keselamatannya," kata Ahmad kepada BeritaBenar dalam satu temu bual di gerai membaiki kasut di hadapan ruang menunggu teksi yang sibuk di Baling, sebuah bandar sempadan, di mana beliau telah bekerja sejak 30 tahun lalu.

"Tetapi jika mereka pulang ke rumah, mereka menghadapi risiko dihukum oleh undang-undang kita dan akan dihukum penjara," katanya.

‘Dikehendaki’

Pihak berkuasa Malaysia mencari Wanndy dalam usaha memerangi pengaruh IS yang merekrut belia menerusi media sosial, serta mencegah anggota veteran IS Malaysia daripada melancarkan serangan pengganas di tanah air sendiri selepas pulang dari medan pertempuran di Timur Tengah.

Wanndy, yang berasal dari bandar kecil Durian Tunggal di Melaka, dilaporkan tergolong dalam unit IS, Majmu'ah al Arkhabiliy (sebelum ini dikenali sebagai Katibah Nusantara), yang terdiri sepenuhnya daripada pejuang berbahasa Melayu dari Indonesia dan Malaysia.

Pada akhir Februari, kisah Wanndy menjadi tajuk utama berita di tanah air apabila dia dan seorang lagi rakyat Malaysia, Mohd Faris Anuar, dilaporkan menjadi sebahagian daripada kru video IS yang merakamkan hukuman pancung banduan Syria. Satu imej yang diambil daripada video itu menunjukkan Wanndy tersenyum ketika membongkok ke arah mayat tanpa kepala itu.

"Saya ingin katakan bahawa saya memang berharap untuk kembali ke Malaysia, tetapi ia bukannya keutamaan saya, kerana tumpuan saya sekarang ialah untuk berada di sini dan berjuang bagi mencapai impian saya mempertahankan IS," kata Wanndy kepada BeritaBenar dalam satu temu bual menerusi Facebook bulan lalu.

'Tiada apa boleh dilakukan'

Bapa Mahmudah menyifatkan anak perempuannya sebagai seorang yang baik hati, namun beliau kelihatan terpaksa bergelut dengan hakikat bahawa anaknya telah jatuh cinta dengan pejuang jihad.

Walau apa pun, Ahmad masih menyayangi anak perempuannya dan tiada apa yang boleh beliau lakukan untuk membawanya pulang.

"Dia telah berkahwin dan kini di bawah jagaan suaminya. Saya telah melakukan tanggungjawab saya sebagai seorang bapa untuk membesarkannya, dan kini dia adalah isteri orang. Tiada apa yang boleh saya lakukan untuk menghalang keputusan suaminya," kata Ahmad.

Kini, Ahmad terpaksa bergantung kepada kerusi roda untuk bergerak. Sedekad yang lalu, beliau lumpuh dari pinggang ke bawah selepas diserang angin ahmar.

Apabila ditanya sama ada beliau tahu bahawa Mahmudah telah melahirkan seorang bayi perempuan di Syria, Ahmad menggelengkan kepala. Kemudian beliau mendiamkan diri sambil merenung longgokan kasut di hadapannya.

"Saya berdoa agar dia dan anaknya berada dalam keadaan selamat," kata Ahmad dengan penuh sebak.

‘Pertemuan di Pulau Pinang’

Seorang rakan rapat keluarga menggambarkan Mahmudah sebagai seorang gadis yang tidak menyokong pandangan ekstremis.

Semasa membesar, dia belajar di sekolah kebangsaan - bukan sekolah agama - kata rakan itu, seorang wargatua yang enggan dikenali di kampung Mahmudah berhampiran dengan sempadan Thailand. Kampung itu terletak di bahagian luar bandar dan konservatif di Malaysia.

Katanya, beliau mengesyaki Wanndy telah "mempengaruhi" pengantin perempuannya supaya bersetuju berpindah dengannya ke Syria.

Mahmudah bertemu Wanndy semasa bekerja di sebuah kilang elektronik di Pulau Pinang, kata rakan itu, dan kedua-duanya kemudian berkahwin tidak lama selepas suami pertama Mahmudah menceraikannya.

"Hanya beberapa bulan selepas perceraian, Mahmudah memohon restu keluarganya untuk berkahwin dengan Wanndy," kata rakan itu kepada BeritaBenar.

"Pada mulanya, keluarga Mahmudah agak keberatan kerana mereka tidak tahu latar belakangnya, namun akhirnya bersetuju kerana dia berterusan meminta."

'Beli tiket sendiri'

Cawangan memerangi keganasan Polis Diraja Malaysia telah mengenal pasti Wanndy sebagai seorang daripada 69 rakyat Malaysia yang menyertai IS di Syria atau Iraq. Tetapi bilangannya hampir 100 orang termasuk kanak-kanak, kata Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Polis Bukit Aman, Ayub Khan Mydin Pitchay

Di Malaysia, pihak berkuasa telah menahan sekurang-kurangnya 121 orang yang berkaitan IS sejak setahun lepas.

Walaupun mereka menghadapi kemungkinan ditahan di bawah akta baharu iaitu Akta Pencegahan Keganasan (POTA) - yang boleh membenarkan pihak berkuasa untuk menahan orang disyaki tanpa perbicaraan untuk tempoh dua tahun yang boleh diperbaharui - ada pejuang jihad telah meminta pihak berkuasa untuk membantu mereka pulang ke tanah air, kata Ayob.

"Jika mereka ingin kembali, mereka perlu melakukan persediaan sendiri kerana mereka telah memasuki Syria secara haram. Jadi, bagaimana kita sepatutnya membantu mereka?, " kata Ayob kepada BeritaBenar.

"Ada sebahagian daripada mereka yang meminta bantuan kami untuk membawa mereka pulang, tetapi sukar kerana mereka berada di Syria dan pada masa ini, tidak ada kerajaan yang mentadbir negara itu. Malah, jika kita memutuskan untuk membawa mereka pulang, kerajaan perlu meminta bantuan daripada negara ketiga, "katanya.

Hata Wahari menyumbang kepada laporan

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.