Rakyat Malaysia Gembira Restoran, Kedai Makan Tiada Kekangan Masa Mulai April

Ramai nyatakan kegembiraan di laman media sosial betapa tidak sabar untuk berkumpul semula di kedai-kedai mamak sehingga awal pagi.
Iskandar Zulkarnain & Suganya Lingan
2022.03.09
Kuala Lumpur
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
Rakyat Malaysia Gembira Restoran, Kedai Makan Tiada Kekangan Masa Mulai April Suasana di sebuah restoran mamak di Jalan Masjid India di Kuala Lumpur, 10 November 2021.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Selain acara sukan, makanan adalah antara elemen utama yang mampu menyatukan masyarakat berbilang kaum di Malaysia dan kebanyakan mereka nyata tidak sabar untuk meraikan detik berkumpul semula di restoran mamak sehingga awal pagi menjelang 1 April.

Rahmat Sulaiman dan Dinesh Appavu adalah antara jutaan rakyat Malaysia yang tidak sabar menikmati juadah kegemaran lewat malam bersama rakan-rakan.

“Nasi lemak dan teh tarik. Mungkin nampak agak berat tapi sedap. Kampung Baru lokasi terbaik,” kata Rahmat melalui laman sosial sebagai reaksi terhadap pengumuman kerajaan pada Selasa.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pada Selasa semasa membuat pengumuman pembukaan semula sempadan negara itu turut memaklumkan bahawa had waktu beroperasi bagi premis perniagaan akan dimansuhkan mulai 1 April, sekaligus membolehkan premis seperti kedai makan dan restoran mamak terus beroperasi melepasi jam 12 tengah malam.

Dinesh sudah mula membayangkan untuk menjamu selera dengan menikmati nasi lemak dan roti canai bersama rakan-rakan sambil menonton pertandingan bola sepak luar negara di kaca televisyen berskrin besar seperti yang terdapat di kedai makan dan restoran mamak di seluruh negara pada lewat tengah malam.

“Saya fikir restoran dibenarkan beroperasi sehingga jam 2 pagi buat masa ini dan kelihatan bilangan pengunjung agak ramai. Orang ramai lebih selesa makan di luar.

“Tambahan lagi dengan Formula 1, Piala Dunia dan musim bola sepak bakal bermula dan semua detik-detik ini paling istimewa jika dinikmati bersama rakan-rakan rapat,” ujar Dinesh dalam reaksi beliau kepada BenarNews.

Restoran yang beroperasi 24 jam, khususnya restoran mamak yang menghidangkan pelbagai menu kegemaran tempatan seperti nasi lemak, roti canai dan teh tarik, bukan haya sekadar tempat untuk mendapatkan makanan pada bila-bila masa.

Ia juga menjadi tempat ahli keluarga dan sahabat handai berkumpul, termasuk di kalangan para peminat sukan berhimpun sehingga awal pagi bagi mengikuti siaran ‘live’ pelbagai acara sukan yang biasanya berlangsung dalam zon masa yang berbeza.
Tatkala tidak dapat bertandang ke stadium atau litar lumba, restoran mamak adalah lokasi terdekat bagi seseorang untuk menikmati aura seakan-akan berada di arena pertandingan berlangsung.

Diseree Gasper, yang bekerja dalam bidang penerbitan, berkata kewujudan restoran yang beroperasi 24 jam memudahkan kehidupan mereka yang bekerja sehingga lewat malam, seperti dirinya.

“Apabila kami terlibat dalam kerja-kerja merakamkan iklan atau rancangan televisyen, kami bekerja sehingga lewat malam dan ada ketikanya berlanjutan sehingga awal pagi. Jadi adalah praktikal untuk makan di luar,” ujarnya kepada BenarNews.

Terdapat ramai individu seperti Desiree yang selesa dengan adanya restoran yang beroperasi 24 jam.

Nicholas Chow turut berkongsi pandangan yang sama, berdasarkan pengalamannya mencari tempat untuk menjamu selera selepas menjemput isterinya yang selesai bekerja pada waktu agak lewat.

“Kami akhirnya menjumpai sebuah warung burger di satu lorong belakang di Bukit Bintang,” ujarnya sambil berkata penting untuk mempunyai pilihan kedai makan yang murah dan selamat bagi mereka yang perlu menjamah makanan pada lewat malam atau awal pagi.

Di negara berbilang kaum dan agama seperti di Malaysia di mana Islam adalah agama rasmi yang diamalkan oleh kaum majoriti, premis yang menjual minuman keras bukan pilihan yang sesuai untuk kumpulan terdiri dari pelbagai etnik untuk melepak.

Jika perlu memilih, restoran mamak adalah pilihan yang terbaik kerana harganya yang berpatutan dan sedap walaupun dikatakan menghidangkan menu yang kurang sihat.

Kekurangan pekerja

Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) menyambut baik keputusan kerajaan kerana ia akan memberi peluang kepada pengusaha restoran untuk menampung kerugian yang ditanggung sepanjang pandemik. Namun begitu, terdapat beberapa kekangan yang dihadapi bagi merealisasikan pembukaan 24 jam.

“Ini membuka peluang kepada kami untuk kembali menjana pendapatan yang memberangsangkan terutamanya menjelang Ramadan, selepas terjejas akibat pandemik.

“Kami sangat mengalu-alukan pengumuman ini. Ia satu langkah positif yang akan membantu pengusaha untuk kembali menjalankan perniagaan seperti biasa, terutamanya melalui aktiviti bersahur pada Ramadan yang sebelum ini sudah dua tahun tidak boleh dijalankan di kedai makan,” ujar Jawahar Ali Taib Khan, presiden Presma.

Jawahar berkata di sebalik gembira dengan berita yang dinantikan tersebut, pihak persatuan masih resah dengan isu kekurang pekerja di restoran mereka.

“Kami kekurangan lebih 50 peratus hingga 60 peratus kakitangan berikutan pekerja asing masih tidak dibenarkan kembali ke negara ini.

“Kalau dulu kami beroperasi dengan 10 pekerja, kini hanya ada empat orang sahaja yang tinggal,” katanya lagi.

Menurutnya, Presma sebelum ini mempunyai seramai 4,500 ahli dengan lebih 12,000 premis restoran di seluruh Malaysia.

“Tetapi bilangan ahli kami telah berkurangan kepada 4,000 ahli sahaja dan bilangan restoran pula merosot kepada lebih kurang 8,000 premises restoran selepas pandemik,” katanya.

Beliau menganggarkan para ahli mereka memerlukan di antara 25,000 hingga 30,000 pekerja untuk mampu beropeasi ke tahap optimum.

Menurutnya, ahli persatuan telah meneroka beberapa pilihan lain seperti menggunakan robot bagi menggantikan tugas pelayan namun dengan kos RM55,000 (AS$13,150) seunit, agak sukar bagi ahli untuk menyediakannya dalam masa terdekat.

“Selain itu kami juga mencadangkan memperluaskan perkhidmatan layan diri bagi memastikan restoran dapat memanfaatkan sepenuhnya pemansuhan had operasi perniagaan itu, tetapi semuanya perlukan masa untuk dilaksanakan,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Hishammuddin Hussein, Menteri Kanan Pertahanan pada Rabu mengumumkan Satu SOP (prosedur operasi standard) dan 9 garis panduan akan dilaksanakan semasa negara itu berada dalam fasa Peralihan ke Endemik yang akan bermula 1 April ini.

Menurutnya, Satu SOP yang mengandungi 10 keperluan itu telah dipermudahkan daripada 181 SOP Pelan Pemulihan Negara dan ia masih akan dikuat kuasakan di bawah Akta 342.

Menurutnya, kerajaan sedang membina satu laman sesawang bagi memudahkan masyarakat memahami dengan lebih lanjut mengenai Satu SOP dan 9 garis panduan yang dijangka siap dua minggu sebelum 1 April.

Nisha David di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh