Malaysia: Rakyat Bukan Islam Pertama Dinamakan Sebagai Ketua Hakim Negara
2018.07.12
Kuala Lumpur, Malaysia
Malaysia kini menyaksikan rakyat bukan Islam pertamanya menyandang jawatan Ketua Hakim Negara, yang mencetuskan protes daripada pembangkang dan kumpulan Islam di negara yang mempunyai majoriti penduduk Islam.
Ketua Hakim Negara Richard Malanjum, 65, yang beragama Kristian dari suku Kadazandusun di negeri Sabah mengangkat sumpah jawatan pada malam Rabu bersama-sama dua hakim tertinggi lain yang diperkenankan oleh Sultan Muhammad V.
Malanjum menggantikan Md Raus Sharif, yang meletakkan jawatannya berkuatkuasa 31 Julai. Turut mengangkat sumpah ialah Hakim Besar Malaya, Ahmad Maarop yang dilantik menjadi Presiden Mahkamah Rayuan, dan David Wong Dak Wah yang menggantikan Malanjum sebagai Hakim Besar Sabah dan Sarawak.
Zaharah Ibrahim, yang akan menggantikan Ahmad sebagai Hakim Besar Malaya, dijadual mengangkat sumpah pada tarikh lain kerana beliau berada di luar negara.
Malanjum menjadi Ketua Hakim kesembilan Malaysia, dan juga merupakan hakim bukan Melayu pertama yang dilantik ke jawatan itu dalam sejarah negara yang berusia 61 tahun dengan rakyat berbilang kaum dan agama. Beliau kini mengetuai Mahkamah Persekutuan, sebuah mahkamah tertinggi di Malaysia.
Pakar Perlembagaan Shad Saleem Faruqi berkata, walaupun dibantah, orang bukan Islam boleh memegang sebarang jawatan penting dalam negara kecuali Raja, Sultan atau menyertai Angkatan Rejimen Melayu serta menjadi ketua menteri di mana ketuanya adalah Sultan.
"Selain itu, tidak ada sekatan bagi orang bukan Islam untuk memegang sebarang jawatan penting di negara ini. Tidak ada masalah sama sekali," kata Shad Saleem kepada BeritaBenar.
Terdahulu, Ketua Penerangan Parti Islam SeMalaysia (PAS) Nasrudin Hassan mengecam pelantikan Malanjum serta Peguam Negara Tommy Thomas dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) Liew Vui Keong, yang sudah pun mula bertugas. Semuanya bukan Islam.
Enam orang bukan Islam lain pernah menyandang jawatan Peguam Negara. Jawatan itu bukanlah umum di Malaysia.
"Ketiga-tiga jawatan penting itu diisi oleh individu yang menyebabkan kegelisahan di kalangan umat Islam," kata Nasrudin. "Apakah akan ada harapan untuk rakyat, terutama umat Islam, dalam memastikan masa depan kita terus dilindungi di bumi Malaysia khususnya apabila ia melibatkan perkara berkaitan undang-undang?"
Beliau berkata, rekod kejayaan Malanjum menunjukkan bahawa hakim itu tidak terlibat dengan kes-kes utama Islam.
Bercakap kepada BeritaBenar, Shad Saleem membidas kenyataan Nasrudin.
"Sangat memalukan. Jangan babitkan Islam dalam perdebatan ini kerana Islam tidak ada kaitan dengan perkara ini. Pandangannya sangat sempit dan hanya memalukan Islam, "kata pakar undang-undang tersebut.
Kerajaan baru, pemimpin baru
Sementara itu, Armand Azhar Abu Hanafiah dari Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) menyokong Nasrudin dengan berkata bahawa keputusan Pakatan Harapan (PH) untuk melantik orang bukan Islam sebagai menteri utama dibuat sebelum pilihan raya umum lagi.
PH, sebuah pakatan yang diketuai oleh Mahathir Mohamad, mengalahkan gabungan Barisan Nasional yang dipimpin oleh UMNO untuk menjadi kuasa pemerintah pada pilihan raya umum Mei lalu dan melantik pemimpin-pemimpin baru di mahkamah dan kabinet.
Armand, seorang ketua bahagian UMNO, menyalahkan Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang didominasi oleh kaum Cina yang didakwanya cuba mewujudkan sebuah republik dan menggantikan raja dan sultan.
"Kami sudah lama tahu tentang perkara ini dan mungkin PAS baru menyedari perkara itu hari ini. Inilah yang DAP cuba lakukan iaitu mewujudkan sebuah republik di Malaysia, "kata Armand.
PAS tidak berkerjasama dengan gabungan lain pada pilihan raya umum itu dan memenangi 18 kerusi Parlimen. PH menang dengan majoriti tipis 113 kerusi daripada 222 kerusi Parlimen manakala Barisan Nasional memenangi 79 kerusi.
Wan Salim Wan Mohd Noor, mufti Pulau Pinang, mencabar pendapat Armand dan Nasrudin, yang menyatakan tidak ada larangan di dalam agama Islam untuk melantik orang bukan Islam bagi jawatan di kementerian atau perundangan. Objektif utamanya adalah menegakkan untuk keadilan.
"Penyokong Pakatan Harapan belum sedar tentang perkara ini kerana mereka masih bergembira dengan kemenangan pilihan raya umum. Tetapi hari ini, kita lihat bagaimana DAP bekerja keras untuk menjadikan negara ini sebagai negara tanpa raja,’’ kata Armand.
"Dalam Al-Quran, tidak ada yang menghalang bukan Islam daripada berkuasa dan tidak ada hadis yang menyatakan orang bukan Islam tidak dibenarkan memimpin jawatan penting. Jika ada, tunjukkan teks itu kepada saya," katanya.
Wan Salim berkata, ketiga-tiga pelantikan itu telah dibincangkan secara menyeluruh oleh para pemimpin Islam dan bukan Islam dalam Pakatan Harapan.
"Ini bukannya pertunjukan secara sendirian tetapi satu pemahaman secara kolektif oleh para pemimpin dalam kerajaan," katanya.
Umat Islam merupakan 60 peratus daripada 32 juta rakyat Malaysia.