Pasangan gay Malaysia impi ucap ‘saya terima’ di Thailand

Walaupun Bangkok halalkan perkahwinan sejenis, Kuala Lumpur tidak akan mengiktiraf amalan sedemikian.
Iman Muttaqin Yusof
2025.02.11
Kuala Lumpur
Pasangan gay Malaysia impi ucap ‘saya terima’ di Thailand Pasangan LGBTQ+ Thailand bergambar secara berkumpulan selepas mereka menerima sijil perkahwinan rasmi di Bangkok, 23 Januari 2025.
[Chalinee Thirasupa/Reuters]

Bagi Nasir Ali, perkahwinan sentiasa terasa seperti impian yang mustahil – dia dan teman lelakinya telah menjalinkan hubungan jarak jauh selama 13 tahun walaupun mengetahui mereka tidak akan dapat berkahwin di Malaysia.

Bagaimanapun, apabila Thailand menguatkuasakan undang-undang membenarkan perkahwinan sejenis pada bulan lalu, beliau tiba-tiba merasakan impian itu dapat dicapai.

Bagi kebanyakan kelompok LGBTQ+ rakyat Malaysia, keputusan Thailand itu bukan "membuka jalan" untuk mereka mendirikan rumah tangga malah ia juga menjadi simbol harapan, walaupun perkahwinan mereka tidak akan diiktiraf di tanah air.

“Perkahwinan bagi saya, lebih daripada sekadar ikatan yang sah,” kata Nasir yang tinggal di Kota Kinabalu, Sabah ketika dihubungi BenarNews. "Ia adalah janji bahawa cinta akan bertahan, tanpa mengiranya jarak, cabaran atau penentangan dunia."

Nasir, 33, dan pasangannya, 38, yang tidak mahu namanya disiarkan demi menjaga privasi, mereka berdua tidak mempunyai garis masa segera untuk berkahwin.

"Kami akan berkhawin apabila tiba masanya dan boleh mencintai secara terbuka tanpa rasa takut," kata Nasir.

"Saya tidak memerlukan perkahwinan yang besar, hanya ruang di mana cinta dirasai dalam setiap kata, setiap sentuhan. Detik di mana cinta, dalam semua daya tahannya, menjadi tumpuan utama."

Thailand mencipta sejarah tahun lalu apabila menghalalkan perkahwinan sejenis, menjadi negara Asia Tenggara pertama berbuat demikian dan negara ketiga di Asia selepas Taiwan dan Nepal.

Lebih 1,000 pasangan di seluruh Thailand bertukar ikrar pada 23 Januari, hari di mana undang-undang itu berkuat kuasa.

Undang-undang tersebut membenarkan warga asing untuk berkahwin dan menghormati perkahwinan mereka tetapi pasangan-pasangan tersebut mesti melaporkan perkahwinan kepada kerajaan atau konsulat negara asal mereka.

BenarNews tidak dapat menentukan jika ada pasangan Malaysia yang melintas sempadan untuk berkahwin.

Namun, itu tidak menghalang seorang warga Kuala Lumpur, yang mahu dikenali sebagai Afiq, 25, daripada mengimpikan perkahwinan dengan teman lelakinya yang telah bersama lebih sembilan tahun.

"Sesuatu yang sederhana tetapi bermakna," katanya kepada BenarNews. “Mungkin perkahwinan bertemakan pantai atau taman yang tenang, dikelilingi orang yang menyayangi dan menyokong kami.

“Ia bukan tentang kemewahan sebaliknya bagaimana saya dapat berdiri di sebelah orang yang dicintai dan kami bersama melangkah ke masa depan tanpa halangan atau ketakutan."

Namun, biarpun idea perkahwinan itu menggembirakan, realitinya boleh menjadi rumit.

"Tidak ada guna sebenarnya," kata seorang lelaki Malaysia yang meminta agar dia tidak dikenali kerana kebimbangan privasi dan keselamatan. “Undang-undang ini tidak sah di sini [Malaysia]. Saya dan pasangan telah bersama lebih 16 tahun tetapi kami tidak dapat membeli rumah bersama.”

Kekangan undang-undang

Malaysia kekal sebagai salah satu negara paling sukar di Asia Tenggara bagi individu LGBTQ+, di mana homoseksualiti diharamkan di bawah undang-undang era penjajah dan seterusnya dikenakan hukuman lebih berat oleh mahkamah syariah bagi orang Islam.

11 MY-gay-marriage2.jpg

Seorang wanita membaca salinan laporan "I Don’t Want To Change Myself" berkenaan kumpulan LGBTQ+ yang diterbitkan Human Rights Watch dan Justice For Sisters di Kuala Lumpur, 10 Ogos 2022. (S. Mahfuz/BenarNews)

Di bawah sistem dwi perundangan negara, undang-undang sivil terpakai kepada seluruh rakyat manakala undang-undang syariah mengawal umat Islam dalam hal berkaitan keluarga, akhlak dan amalan agama.

Hubungan sejenis boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun di bawah sistem sivil.

Di samping itu, hanya 17 peratus rakyat Malaysia menyokong perkahwinan sejenis dengan umat Islam mencatatkan sokongan terendah dalam kalangan mana-mana kumpulan agama yang dikaji, menurut tinjauan Pusat Penyelidikan Pew 2023.

Justice for Sisters, sebuah kumpulan hak asasi manusia di Malaysia mencatatkan bahawa kerajaan Malaysia juga secara aktif mengekang ekspresi LGBTQ+.

“Pada Januari, pihak berkuasa melarang dua lagi buku yang memaparkan tema LGBTQ+, menjadikan jumlah penerbitan yang dilarang sebanyak 13 sejak 2020 di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA),” kata Thilaga Sulathireh, pengasas bersama kumpulan tersebut, kepada BenarNews.

“Daripada 22 buku yang dilarang dalam tempoh ini, sebanyak 59 peratus adalah berkaitan dengan LGBTQ+.”

Thilaga berkata “negara secara sistematik menyasarkan ekspresi LGBTQ+," tetapi dengan kesaksamaan perkahwinan kini tersedia di Thailand, ia “sekurang-kurangnya memberikan rakyat Malaysia rasa selamat dalam hubungan mereka.”

“Ia membuka kemungkinan untuk hidup tanpa perlu bersembunyi atau takut terhadap keganasan atau kesan undang-undang,” kata Thilaga yang mengenal pasti dirinya sebagai non binari.

Persimpangan

Bagi aktivis lain, langkah Thailand itu mungkin meletakkan Malaysia di bawah tekanan antarabangsa kerana negara berkenaan menerajui Kengerusian Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) tahun ini.

Namun begitu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 2023 menyatakan Malaysia tidak pernah mengiktiraf hak LGBTQ+. Dalam kenyataan berasingan, beliau menyatakan banyak agama “tidak boleh menerima paparan atau amalan terbuka” identiti sedemikian.

Meskipun dengan kenyataan-kenyataan tersebut, aktivis-aktivis tidak berputus harapan. 

“Terdapat tekanan serantau untuk Malaysia memperbaiki kedudukannya,” kata Dhia Rezki Rohaizad, timbalan presiden Jejaka, sebuah kumpulan Malaysia yang menyokong lelaki gay dan biseksual kepada BenarNews.

“Dengan kepengerusian Malaysia dalam ASEAN yang bertemakan 'Keterangkuman dan Kelestarian,' kami berharap advokasi kami tidak akan dipandang sepi.”

Dhia memberi amaran bahawa kemajuan Thailand boleh mencetuskan tindak balas negatif di Malaysia.

“Kami melihat peningkatan sentimen anti-LGBT di media sosial ketika Thailand masih membahaskan rang undang-undang tersebut pada Mei lalu. Ia akhirnya dilaporkan oleh berita tempatan, mencetuskan lebih banyak lagi kebencian,” kata Dhia.

11 MY-gay-marriage3.jpg

Umat Islam Malaysia memegang sepanduk ketika mereka mengadakan protes di luar Kuala Lumpur menentang hak-hak bagi golongan gay, 4 November 2011. (Lai Seng Sin/AP)

Keadaan di Malaysia diburukkan lagi oleh program “pemulihan” yang diketuai kerajaan dalam menyasarkan individu LGBTQ+, kata pengkritik.

Pada 2023, pihak berkuasa negeri Johor mencadangkan pusat pemulihan Islam untuk pesalah sejenis.

“Diskriminasi dan penganiayaan berlaku secara berterusan dan sistematik,” kata Josef Benedict, seorang penyelidik Civicus Monitor Asia Pasifik kepada BenarNews.

“Undang-undang Malaysia – baik statut sivil era kolonial mahupun syariah terus menjenayah dan menganiaya individu LGBTQ+.

Desakan kerajaan untuk program ‘penukaran’ hanya memperburuk keadaan, mendorong kepada kebencian diri dan mengukuhkan penindasan.”

Mencari pengiktirafan di tempat lain

Bagi Shayree, 23, yang menggunakan nama samaran kerana bimbangkan tindakan balas, undang-undang Thailand menawarkan kemungkinan satu jalan keluar bagi melepaskan diri. Beliau merupakan antara individu yang mempertimbangkan untuk berkahwin di seberang sempadan.

“Saya pernah terfikir untuk meninggalkan Malaysia bagi merasai cinta secara bebas, tanpa takut dijatuhkan hukuman atau rasa takut untuk menunjukkan kasih sayang di khalayak awam,” katanya kepada BenarNews.

“Berpindah ke negara di mana hubungan sejenis diiktiraf secara sah juga bermakna berada dalam masyarakat di mana lebih ramai orang merasa selamat dengan identiti mereka.”

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.