Kegagalan Malaysia raih emas pertama Olimpik cetus kritikan
2024.08.12
Kuala Lumpur
Kegagalan Malaysia meraih emas Olimpik pertamanya telah mencetuskan pelbagai reaksi, kegusaran dan kecaman dari kalangan penganalisis serta pemerhati yang menyalahkan atlet dan pegawai sukan negara itu kerana enggan menerima kritikan serta kegagalan dalam membuat perancangan yang baik.
Selepas prestasi buruk pada temasya Sukan Asia Tenggara (SEA) di Kemboja pada Mei tahun lepas, Menteri Sukan memberitahu sidang Parlimen yang punca kegagalan adalah disebabkan oleh ketidakstabilan politik yang melanda sepanjang tempoh empat tahun sehingga 2022 sehingga memberi impak terhadap belanjawan dan latihan sukan.
Bagaimanapun pada Isnin, Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang diminta mengulas mengenai prestasi negara di temasya sukan dunia di Paris itu, mahu semua tidak mengeluh dengan prestasi atlet negara yang sudah berusaha sedaya upaya, sambil memaklumkan yang satu rancangan baharu bakal dibuat bagi menyegarkan semula sukan negara walaupun tidak mendedahkan butiran lanjut.
"Kita akan menyediakan rangka kerja yang baharu bagi memperbaiki prestasi sukan dan atlet negara pada masa depan. Atlet kita telah membuat yang terbaik dan kita perlu menerima keputusan secara positif," kata Anwar kepada pemberita di Kuala Lumpur.
Misi Malaysia pada Sukan Olimpik 2024 Paris berakhir pada Ahad dengan hanya meraih dua pingat gangsa daripada pasukan badminton melalu beregu lelaki, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik serta serta jaguh perseorangan negara, Lee Zii Jia.
Malaysia telah menghantar seramai 26 atlet termasuk bagi acara memanah, olahraga, terjun, golf, perahu layar, menembak, renang dan angkat berat, dengan negara itu telah lama ketandusan kejayaan di Olimpik walaupun atletnya telah banyak kali hampir berjaya merangkul pingat.
Pemerhati sukan yang juga pensyarah kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi di Universiti Teknologi Mara Pekan Ramli berkata Olimpik Paris menunjukkan kelompongan dalam cara Malaysia mengendalikan sukan berprestasi tinggi.
"Kita memerlukan usaha baik pulih yang besar sekiranya mahu memenangi emas dalam Olimpik yang akan datang. Ini termasuk menyediakan para atlet dengan cara yang lebih terancang dan sistematik.
"Para atlet mesti disiapkan dengan minda yang kuat dan fokus kepada mentaliti mahukan kemenangan. Atlet juga mesti berlatih secara berterusan bagi menyesuaikan diri dengan tekanan dan belajar cara mengatasinya.
"Para pentadbir di peringkat atas semua persatuan sukan kebangsaan mesti mempunyai semangat dan minat mengenai sukan. Sekiranya ada ahli sukan yang layak untuk mengetuai persatuan-persatuan ini, itu lebih baik," kata beliau kepada BenarNews.
Sejak penampilan kali pertama Malaysia di temasya sukan Olimpik kira-kira tujuh dekad lalu, iaitu sebelum negara tersebut mencapai kemerdekaan, Malaysia telah berjaya memenangi 15 pingat tetapi tiada satu pun pingat emas.
Pingat pertama Olimpik iaitu gangsa yang dimenanginya adalah melalui acara badminton semasa temasya di Barcelona pada 1992 dan sejak itu, sukan berkenaan menjadi penyumbang utama pingat kepada Malaysia.
Dalam pada itu, seorang lagi penganalisis sukan tempatan Tony Mariadass semasa dihubungi BenarNews berkata, Malaysia perlu memberi fokus terhadap acara sukan yang ia mempunyai kelebihan, punya strategik dalam setiap usaha selain menyediakan atlet pada usia muda.
"Kita perlu mempunyai strategi dalam setiap usaha... Beri lebih fokus terhadap sukan yang kita punya kelebihan atau acara yang pasukan lawannya tidak begitu gagah. Selain mula menyediakan atlet dari usia muda seperti apa yang dilakukan oleh China, Jepun dan Korea Selatan.
"Badminton memang bagus tetapi kita perlu mempelbagaikan kekuatan sekiranya ingin meningkatkan potensi untuk menang emas," kata Mariadass yang juga editor sukan veteran.
Mengenai rangka kerja diumumkan Anwar, Mariadass menegaskan bahawa isu yang dihadapi oleh sukan negara bukan hanya dari segi pelaburan dan modal atau kerangka tetapi juga mengenai rancangan jangka panjang yang jelas serta komitmen untuk melaksanakannya.
"Kita sudah mempunyai empat menteri sukan dalam tempoh beberapa tahun sahaja. Setiap seorang daripada mereka mempunyai idea masing-masing dan tidak ada satu pun yang diselesaikan. Pembangunan sukan adalah satu projek jangka masa panjang, ia bukannya sesuatu yang boleh diperbaiki dalam tempoh setahun dua," tambah beliau.
Harapan terkubur
Harapan Malaysia untuk memenangi emas terkubur daripada jaguh basikal negara, Azizulhasni Awang setelah penyertaannya dalam acara keirin dibatalkan disebabkan kesilapan teknikal.
Atlet yang digelar "Pocket Rocketman" yang sebelum ini telah dua kali memenangi pingat di Olimpik turut mengumumkan persaraannya pada Ahad.
"Saya berharap para peminat akan berhenti bercakap mengenai saya; ia bukan mengenai saya lagi," kata pelumba basikal yang sedang bersedih kepada pemberita pada Ahad.
"Sekarang adalah mengenai sokongan kepada Shah Firdaus, seorang pelumba basikal muda Malaysia dan generasi baharu. Apa saja yang diperlukan mereka, saya akan ada untuk membantu."
Impian terakhir untuk memenangi emas pertama juga ranap apabila pelumba basikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom, 28, yang digelar The Terminator disingkirkan dalam perlumbaan final keirin pada Ahad walaupun berada pada kedudukan keempat selepas terbabit dalam pelanggaran.
Shah Firdaus hampir-hampir untuk meraih gangsa namun dia terbabit dengan kemalangan bersama Jack Carlin dari Great Britain dengan pelumba Jepun - Shinji Nakano ketika di hujung perlumbaan.
Pada 2023, Malaysia telah melancarkan program Road To Gold bagi membantu atlet memperbaiki prestasi mereka dalam sukan Olimpik di mana ia memberikan bantuan bersasar, insentif kewangan dan latihan untuk mereka yang berpotensi memenangi pingat.
Hanya 10 daripada 26 atlet yang menyertai temasya sukan Olimpik Paris telah terpilih menyertai program tersebut.
Selain itu, kerajaan turut menyediakan peruntukan sebanyak RM72 juta (AS$15 juta) dalam belanjawan negara itu bagi meningkatkan kebolehan para atlet dan menyokong inisiatif berkenaan.
Hamidin Mohd Amin, Ketua Kontinjen Malaysia di Olimpik Paris mengakui yang Malaysia berada di tempat keempat dalam kalangan negara Asia Tenggara iaitu di belakang Filipina dan Indonesia yang masing-masing berjaya memenangi dua pingat emas serta Thailand yang berjaya mendapat satu pingat emas.
Dalam membuat persediaan bagi Olimpik akan datang, Hamidin berkata Malaysia akan memberi fokus kepada acara seperti angkat berat, terjunan kolam, renang, memanah, atletik, golf dan lumba basikal trek.
Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.