Malaysia tingkat hubungan dengan Rusia ketika blok Barat asingkan Moscow

Pertemuan Anwar dengan Putin boleh datangkan risiko tindak balas rakan perdagangan Barat, kata penganalisis.
Iman Muttaqin Yusof
2024.09.04
Kuala Lumpur
Malaysia tingkat hubungan dengan Rusia ketika blok Barat asingkan Moscow Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dua hala dengan Presiden Vladimir Putin di luar Forum Ekonomi Timur di Vladivostok, Rusia, 4 September 2024.
[Ihsan Pejabat Perdana Menteri]

Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim bertemu Presiden Rusia Vladimir Putin di Vladivostok pada Rabu dengan memberi penekanan terhadap dasar luar negara yang berkecuali, selain menjadi pemimpin terbaharu melawat negara itu di tengah-tengah percubaan blok Barat untuk mengasingkan Moscow.

Penganalisis serantau pula melihat lawatan sulung Anwar ke Rusia sebagai Perdana Menteri menandakan peralihan pro-Timur dalam dasar luar Malaysia yang mereka katakan boleh menjejaskan hubungan diplomatik global negara Asia Tenggara itu, bersama-sama dengan hasratnya untuk menyertai kumpulan ekonomi BRICS yang diketuai Moscow dan Beijing dengan Anwar dijangka berbincang mengenai perkara itu dengan Putin.

"Sebagai sebuah negara yang percaya kepada sikap berada di tengah-tengah, melibatkan semua negara, kami sudah tentu, memutuskan untuk datang dengan pasukan besar untuk menunjukkan usaha ikhlas kami untuk meningkatkan kerjasama," kata Anwar kepada Putin semasa mesyuarat dua hala yang disiarkan di luar Forum Ekonomi Timur (EEF) pada Rabu.

"Terdapat potensi besar yang anda ada di Rusia."

Putin pula menyatakan hasratnya untuk memperkukuh kerjasama dengan Malaysia, selepas jurucakap Kremlin sebelum ini menyatakan potensi besar untuk pembangunan selanjutnya dalam hubungan antara Moscow dan Kuala Lumpur.

"Saya berharap kami akan mempunyai peluang untuk meneroka cara untuk mengembangkan kerjasama kami sebagai sebahagian daripada usaha ini," kata Putin dalam bahasa Rusia.

“Hari ini, perdagangan antara negara kita berjumlah kira-kira AS$3.5 bilion, yang hampir tidak boleh dianggap sebagai hasil yang memuaskan bagi kita memandangkan potensi yang kita ada. Malah, terdapat banyak peluang di kedua-dua pihak.”

Pakar BRICS Mihaela Papa menyatakan bahawa minat Malaysia untuk menyertai BRICS telah mendedahkan pendirian negara itu yang cenderung kepada Moscow dan Beijing.

“Semasa ketidaktentuan geopolitik yang tinggi, banyak negara berusaha untuk memperkukuh autonomi strategik dengan menyelaras bersama pelbagai institusi. Minat Malaysia untuk menyertai BRICS telah mendedahkan pendirian yang lebih mesra Moscow dan Beijing," kata Papa yang merupakan Pengarah Penyelidikan di MIT Center For International Studies kepada BenarNews melalui e-mel.

Jelas beliau, Malaysia perlu membuat pilihan sama ada menyertai senarai pemohon BRICS yang semakin meningkat atau kekal sebagai hab serantau berkecuali dalam landskap geoekonomi yang berubah.

“Indonesia, sebagai contoh telah meneruskan penglibatan mesra dengan BRICS tanpa keahlian rasmi, peranan yang sama dimainkan Singapura antara Timur dan Barat, membolehkan kebangkitannya sebagai hab ekonomi utama sejak beberapa dekad kebelakangan ini,” jelas Papa.

Kedua-dua negara telah bekerjasama dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan, pertahanan dan pendidikan selama lima dekad.

Pada 2023, Rusia menjadi rakan dagangan Eropah kelapan terbesar Malaysia dengan perdagangan dua hala meningkat 15.6 peratus kepada RM14.22 bilion (AS$3.1 bilion) daripada RM12.3 bilion (AS $2.79 bilion) pada 2022, menurut Kementerian Luar Malaysia.

Terdahulu dalam lawatan kerjanya, Anwar bertemu dengan Timbalan Mufti Rushan Hazrat Abbyasov dan Rustam Minnikhanov, ketua Tatarstan bagi meneroka kerjasama dalam bidang pendidikan, hal ehwal Islam, keselamatan makanan dan sektor teknologi maju di mana Rusia telah menyatakan kesediaan untuk bekerjasama.

Persamaan jarak

Anwar merupakan pemimpin Asia ketiga yang bertemu dengan Putin dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini selepas lawatan Menteri Pertahanan Indonesia Prabowo Subianto dan Perdana Menteri India Narendra Modi.

“Anwar nampaknya mempunyai sikap sebegini untuk menjadikan Malaysia berkawan dengan semua kuasa besar walaupun terdapat perbezaan di antara kuasa tersebut,” kata Tunku Mohar Mokhtar, penolong profesor di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, kepada BenarNews.

“[Lawatan] ini sememangnya satu anjakan besar dalam dasar luar Malaysia, ia menjauhi prinsip persamaan jarak.”

Hubungan Malaysia yang semakin erat dengan Rusia boleh berisiko mendapat tindak balas daripada rakan perdagangan Barat dan meletakkan negara Asia Tenggara itu dalam kedudukan janggal, terutamanya berkaitan konflik Ukraine, kata Tunku Mohar.

Sementara itu, waktu lawatan Anwar juga patut diberi perhatian kerana ia berlaku sejurus selepas lawatan Menteri Luar Rusia Sergey Lavrov ke Kuala Lumpur pada Julai, di mana beliau telah mengkritik Amerika Syarikat (AS) kerana ketegangan yang semakin meningkat di rantau Asia Pasifik.

“Pendirian seimbang dan jelas [Rusia] sentiasa datang daripada keperluan untuk mewujudkan platform untuk rundingan dan bersetuju atas dasar keseimbangan kepentingan. Pendirian ini mendapat penghormatan,” kata Lavrov.

“Sudah tentu, berbeza dengan tindakan invasif dan agresif Amerika Syarikat dan NATO untuk pembangunan ketenteraan di rantau ini, pendirian kami lebih dekat dengan rakan ASEAN kami.”

Dilema BRICS

Walaupun pada awalnya Malaysia dijangka membawa isu BRICS - sebuah kumpulan ekonomi yang kini terdiri daripada Brazil, Rusia, India, China, dan Afrika Selatan semasa mesyuarat dua hala pada Rabu, topik itu tidak dibincangkan dan tidak ada pemimpin yang menyebutnya dalam pertemuan dua hala selama tiga minit itu.

Bagaimanapun, lewat Rabu, Anwar dalam satu kenyataan berkata Putin secara peribadi telah memanjangkan jemputan kepada Malaysia bagi menyertai Sidang Kemuncak BRICS di Kazan, Rusia yang dijadualkan pada Oktober.

Jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov mengesahkan bahawa keputusan mengenai pengembangan BRICS akan dibuat secara kolektif pada Sidang Kemuncak Kazan pada akhir tahun ini, menurut agensi berita milik Rusia, Sputnik.

“Kami sedar minat Malaysia untuk menyertai pertubuhan ini. Kami menyokong minat itu, bersama-sama dengan beberapa negara lain dan kami akan membincangkan isu ini dengan rakan sekerja BRICS kami,” kata Peskov.

Beliau menambah bahawa terdapat had untuk mengembangkan blok itu dan cadangan untuk mewujudkan status negara rakan kongsi BRICS akan menjadi agenda.

Tambahnya jika ketegangan geopolitik bertambah buruk, "risiko yang mungkin berlaku termasuk gangguan perdagangan, pencegahan pelaburan atau ketidakstabilan pasaran kewangan".

Sebagai contoh, Mei lalu, kerajaan AS menyekat firma Malaysia, Jatronics kerana membekalkan semikonduktor kepada Rusia.

Pegawai Malaysia segera menjelaskan bahawa Jatronics adalah syarikat perdagangan dan bukan pengilang.

Di sebalik kebimbangan itu, Benedict Weerasena, pengarah penyelidikan badan pemikir Bait Al-Amanah yang berpangkalan di Kuala Lumpur mengendurkan kebimbangan bahawa cita-cita Malaysia menyertai BRICS mungkin mengasingkan sekutu Barat.

“Anwar telah menekankan bahawa pendekatan Malaysia terhadap dasar luar adalah berteraskan kemerdekaan, pragmatisme dan penglibatan yang seimbang dengan semua negara sama ada mereka dari Timur atau Barat.

“Mengeratkan hubungan dengan Rusia harus dilihat sebagai sebahagian daripada strategi Malaysia untuk mempelbagaikan hubungan diplomatik dan ekonominya, memastikan dasar luar yang menyeluruh, tidak terlalu bergantung atau bermusuhan terhadap mana-mana kumpulan negara tertentu,” kata Weerasena kepada BenarNews.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.