Malaysia sedia menilai langkah sekatan Amerika Syarikat terhadap Iran

Kerajaan Malaysia tegaskan ia sebuah negara merdeka dan hanya mematuhi peraturan sekatan oleh PBB.
Noah Lee dan Iman Muttaqin Yusof
2024.05.08
Kuala Lumpur
Malaysia sedia menilai langkah sekatan Amerika Syarikat terhadap Iran Kapal tangki Pegas, yang menukar namanya kepada Lana dilihat dari pelabuhan Karystos di Pulau Evia, Laut Aegean, Greece, 27 Mei 2022. Sebulan sebelum itu, kargo minyak mentah dari kapal tangki yang mengibarkan bendera Iran tersebut telah dirampas di perairan Greece dan dipindahkan ke kapal lain atas permintaan Amerika Syarikat.
[Thanassis Stavrakis/AP]

Kerajaan Malaysia pada Rabu berkata ia akan menilai langkah sekatan Amerika Syarikat (AS) terhadap Iran namun menegaskan bahawa ia sebuah negara yang merdeka dan hanya mematuhi peraturan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam isu boikot terhadap sesebuah negara.

Bagaimanapun, Malaysia sedia berbincang dan mendengar kebimbangan AS, kata jurucakap kerajaan ketika diminta mengulas mengenai lawatan pegawai tinggi Jabatan Perbendaharaan AS yang dijadualkan pada Khamis, yang mendakwa syarikat pembekal perkhidmatan negara Asia Tenggara itu digunakan untuk mengeksport minyak oleh Iran.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, yang juga jurucakap rasmi Putrajaya memberitahu media bahawa Perdana Menteri dan Jemaah Menteri memandang serius isu yang dibangkitkan oleh AS itu.

"Kerajaan Malaysia termasuk semua kementerian dan agensi berkaitan bersedia untuk mengadakan libat urus dengan rakan sejawatan kami dari AS bagi memahami apa yang mereka maksudkan berkaitan kebimbangan yang dizahirkan oleh mereka.

"Malaysia adalah sebuah negara berdaulat dan kami mematuhi sekatan yang dibuat oleh PBB tetapi dalam isu sekatan yang dibuat secara sendirian, kami perlu meneliti situasinya," kata beliau dalam sidang media selepas mesyuarat Kabinet di Putrajaya pada Rabu.

Fahmi berkata demikian ketika diminta mengulas kegusaran AS mengenai pembekal perkhidmatan di Malaysia yang didakwa telah digunakan untuk menjual minyak dari Iran yang berdepan sekatan Washington.

Pendirian Malaysia

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail pula memberitahu media bahawa pihaknya akan mendengar pembentangan oleh Setiausaha Rendah Jabatan Perbendaharaan AS, Brian Nelson sebelum menyatakan pendirian Malaysia.

"Saya akan menemui Brian Nelson esok pagi. Pertama untuk mendengar apa juga perkara yang beliau ingin sampaikan. Pada akhir pembentangan mereka, saya akan berikan penjelasan ataupun pendirian rasmi kerajaan tentang perkara-perkara yang berlaku esok," katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur pada Rabu.

Pada Isnin, BenarNews melaporkan delegasi pegawai Jabatan Perbendaharaan AS akan membincangkan kesan tindakan Malaysia membenarkan pemindahan minyak Iran semasa pertemuan dengan pegawai Malaysia di Kuala Lumpur.

Ia susulan dakwaan laporan berita dan firma penyelidikan Barat bahawa Malaysia membenarkan Iran menggunakan perairannya untuk berbuat demikian.

Duta AS ke Malaysia Edgard Kagan dilaporkan berkata pada Isnin bahawa pegawai Amerika akan berbincang secara terus-terang dengan rakan sejawatan mereka mengenai kebimbangan itu.

Menurut laporan media, delegasi itu termasuk Nelson, Setiausaha Rendah Jabatan Perbendaharaan AS mengenai risikan kewangan dan keganasan serta peguam Neil MacBride. Mereka telah melawat Singapura sebelum ke Kuala Lumpur.

Jurucakap Jabatan Perbendaharaan AS memaklumkan media dalam sesi taklimat di Singapura pada Selasa bahawa AS percaya Iran bergantung kepada pembekal perkhidmatan di Malaysia untuk menjual minyaknya dan mendakwa pemindahan bahan api tersebut dilakukan berhampiran Singapura serta di serata rantau ini, menurut laporan portal berita Channel News Asia (CNA).

Beliau juga berkata AS meningkatkan fokusnya terhadap aktiviti pembiayaan kumpulan militan di rantau Asia Tenggara termasuk melalui usaha pengumpulan derma dan penjualan minyak Iran secara haram.

"Kami bimbang dengan kapasiti Hamas untuk mengumpul dana di rantau ini termasuk di Malaysia, jadi kami mahu mengadakan perbincangan secara terus mengenai kebimbangan ini," kata pegawai itu seperti dipetik oleh CNA.

Sekatan ke atas Iran

Iran telah menjadi sasaran pelbagai sekatan Amerika Syarikat sejak 1979 selepas mahasiswa negara itu merampas Kedutaan AS di Tehran dan mengambil tebusan. Sekatan terbaharu telah dikenakan ke atas program nuklear Iran.

Pada Disember, Jabatan Perbendaharaan AS telah mengenakan sekatan ke atas empat syarikat berpangkalan di Malaysia yang didakwa membantu pengeluaran dron Iran.

Washington menuduh Iran membekalkan dron berbahaya kepada kumpulan yang didakwa sebagai proksi pengganas di Timur Tengah dan Rusia untuk digunakan di Ukraine.

Pada Jumaat, Jabatan Perbendaharaan berkata dua pegawai tingginya akan melawat Malaysia dan Singapura dari 6 hingga 9 Mei untuk melaksanakan tugas mereka dalam menangani apa yang disifatkan sebagai pembiayaan keganasan oleh Iran dan proksinya serta pelaksanaan sekatan terhadap Rusia.

"Sejak awal tahun ini, Jabatan Perbendaharaan AS telah mengambil beberapa tindakan penting untuk memerangi dan mengekang penghantaran haram minyak Iran kepada pembeli di Asia Timur termasuk melalui pemindahan kapal ke kapal di perairan antarabangsa berhampiran Singapura dan Malaysia," menurut jabatan itu dalam kenyataan pada Jumaat.

Kunjungan pegawai Jabatan Perbendaharaan AS ke Malaysia dibuat tidak sampai dua minggu selepas Presiden Joe Biden menandatangani pakej keselamatan negara termasuk Akta Keamanan Abad Ke-21 Melalui Kekuatan yang memanjangkan statut pengehadan bagi pelanggaran sekatan kepada 10 tahun.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.