Sijil Perakuan Pengendali Udara Malaysia Airlines dipendekkan, jalani audit lebih kerap

Malaysia Airlines dibelenggu masalah teknikal hingga jejaskan penerbangan ke luar negara.
Iman Muttaqin Yusof
2024.08.28
Kuala Lumpur
Sijil Perakuan Pengendali Udara Malaysia Airlines dipendekkan, jalani audit lebih kerap Deretan pesawat Malaysia Airlines di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang, Selangor, 22 Julai 2024.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Malaysia berkata pihak berkuasa penerbangan awam negara itu akan mengaudit keupayaan operasi Malaysia Airlines Berhad (MAB) setiap setahun dan bukan lagi tiga tahun, sekaligus mengurangkan tempoh sijil pengendalian udara syarikat penerbangan tersebut berikutan pelbagai masalah mekanikal termasuk pendaratan kecemasan beberapa penerbangan baru-baru ini.

Putrajaya juga akan meminda Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia yang menghendaki syarikat penerbangan membayar balik sepenuhnya kepada penumpang bagi penerbangan yang tertunda selama lima jam atau lebih yang akan berkuat kuasa mulai September ini, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke pada Rabu.

“Di bawah peraturan yang dipertingkatkan, Malaysia Airlines dikehendaki mengemukakan laporan bulanan kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam [CAAM] dan berdasarkan audit terkini CAAM ke atas syarikat MAB, tempoh pembaharuan Sijil Perakuan Pengendali Udara (Air Operator Certificate – AOC) akan dikurangkan daripada tiga tahun kepada satu tahun sahaja mulai 1 September 2024 hingga 31 Ogos 2025.

"Mana-mana syarikat penerbangan harus melalui audit sebelum AOC diperbaharui dengan tempoh AOC yang lebih pendek akan mewajibkan audit yang lebih kerap. Hal ini bagi memastikan MAB mengambil tindakan-tindakan penambahbaikan sewajarnya sebagai mana pelan mitigasi yang telah dikemukakan oleh CAAM,” kata Loke semasa sidang media di Putrajaya.

Pengumuman Loke itu susulan beberapa insiden masalah teknikal melibatkan pesawat Malaysia Airlines termasuk penerbangan ke Madinah, Arab Saudi pada 22 Ogos yang terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur kerana isu tekanan kabin.

Sehari sebelumnya, penerbangan ke Shanghai, China juga berpatah balik atas sebab yang sama.

Dalam tempoh dua bulan sahaja, Malaysia Airlines telah melaporkan sekurang-kurangnya enam insiden termasuk pendaratan cemas di Hyderabad, India; Bangkok, Thailand dan Alice Springs, Australia.

Sebagai tindak balas, syarikat induk Malaysia Airlines, Malaysia Aviation Group (MAG), berkata pada Sabtu bahawa ia akan mengurangkan penerbangan dan laluan sepanjang akhir tahun untuk menangani isu rantaian bekalan yang berterusan, kekurangan tenaga kerja dan masalah teknikal.

Pengurangan dalam perkhidmatan memberi kesan kepada anak syarikat MAG yang lain termasuk Firefly dan perkhidmatan umrah, Amal hingga menjejaskan beberapa laluan antarabangsa ke destinasi seperti Bangkok, Denpasar, Ho Chi Minh, Jakarta dan banyak lagi.

“Kami sedang mengambil langkah segera untuk menangani punca isu penting ini yang menyumbang kepada kesukaran operasi,” kata Pengarah Urusan MAG, Izham Ismail dalam satu kenyataan.

Beliau memberikan jaminan bahawa syarikat itu akan menstabilkan operasi dan memulihkan keyakinan terhadap kebolehpercayaan syarikat penerbangan itu.

Bayaran balik sepenuhnya

Sementara itu, pindaan Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia, polisi baharu yang mewajibkan pembayaran balik sepenuhnya kepada penumpang bagi penerbangan tertangguh selama lima jam atau lebih, menawarkan pilihan pembayaran balik alternatif seperti baucar perjalanan atau tiket terbuka dan memulangkan surcaj bahan api, cukai dan yuran penerbangan yang tidak diambil.

Syarikat penerbangan juga mesti memaklumkan penumpang tentang perubahan waktu berlepas sekurang-kurangnya dua minggu lebih awal atau berdepan denda sehingga RM200,000 (AS $46,000), dengan pelanggaran seterusnya dikenakan penalti sehingga RM2 juta (AS$460,000).

Dasar bayaran balik terpakai kepada syarikat penerbangan, lapangan terbang dan penyedia perkhidmatan penerbangan lain termasuk syarikat penerbangan asing yang beroperasi di Malaysia, menurut Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM).

MAVCOM yang menyelia isu berkaitan ekonomi dan pengguna penerbangan berkata, syarikat penerbangan dikehendaki mengekalkan sekurang-kurangnya 85 peratus prestasi menepati masa setiap bulan.

Sebagai contoh, ketepatan masa Malaysia Airlines untuk penerbangan domestik menurun daripada 79.5 peratus pada Mei kepada 67.2 peratus pada Julai. Penerbangan antarabangsa juga mengalami penurunan, jatuh daripada 68.1 peratus kepada 56.9 peratus dalam tempoh yang sama.

Kemerosotan terbaharu menyebabkan peningkatan aduan penumpang di media sosial termasuk kelewatan ketara dalam penerbangan dari Doha ke Kuala Lumpur pada 13-14 Ogos, yang menyebabkan penumpang terkandas selama lebih 24 jam.

Malaysia Airlines kemudiannya mengeluarkan permohonan maaf atas kejadian tersebut.

Bagaimanapun, permohonan maaf dan dasar pembayaran balik yang baharu tidak banyak membantu penumpang, kata penumpang.

“Dalam keadaan ini, bayaran balik penuh tidak mencukupi, orang ramai perlu sampai ke destinasi mereka setepat mungkin dengan masa yang dirancang,” ulas seorang penumpang, Fergus Sinclair Smith dalam hantaran di Facebook.

Pengguna lain turut melahirkan kekecewaan terhadap standard perkhidmatan syarikat penerbangan negara itu.

“[Pihak berkuasa] perlu mengenakan penalti untuk memastikan syarikat penerbangan atau sektor perkhidmatan mematuhi piawaian operasi mereka,” tulis Raymond Ting.

BenarNews menghubungi beberapa pakar penerbangan untuk mendapatkan pandangan mereka tentang penemuan audit CAAM, tetapi mereka menolak memberikan ulasan dengan alasan bahawa adalah terlalu awal untuk memberikan analisis menyeluruh.

Sebelum ini, bekas Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong melahirkan kebimbangan mengenai insiden masalah teknikal yang dihadapi MAB dan menggesa kerajaan membantu syarikat penerbangan negara itu untuk mengelakkan kejadian sama berulang.

“Orang ramai mempersoalkan, apa yang telah berlaku kepada Malaysia Airlines? Adakah selamat untuk terbang dengan Malaysia Airlines?” kata Wee dalam hantaran di Facebook pada 23 Ogos.

“Ini seolah-olah satu krisis keyakinan penumpang terhadap Malaysia Airlines yang sudah pasti menjejaskan reputasi negara dan berpotensi membawa kerugian kepada syarikat penerbangan Malaysia Aviation Group jika insiden ini berterusan lagi, akhirnya menjejaskan ekonomi negara.”

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.