Portal Berita The Malaysian Insight Umum Gantung Penerbitan
2018.03.23
Kuala Lumpur

The Malaysia Insight, portal berita popular di Malaysia akan menamatkan penerbitannya mulai minggu depan kerana mahu menyemak kembali arah tuju, operasi dan kebolehdayaan komersilnya, demikian kata Ketua Pengarang yang juga Ketua Pegawai Eksekutifnya Jahabar Sadiq pada Jumaat.
Jahabar membuat pengumuman itu yang disiarkan dalam beberapa bahasa penerbitannya di laman web portal berkenaan, turut berkata bahawa penamatan tersebut disebabkan masalah kekangan kewangan.
“The Malaysian Insight akan menggantung operasi penerbitan bermula minggu depan kerana kami terlepas jangka masa perancangan utama untuk memperkenalkan sistem pembayaran berita, serta trafik laman kami juga tidak mencapai tahap sasaran yang ditetapkan,” kata Jahabar.
Beliau berkata, The Malaysian Insight perlu menyemak kembali arah tuju, operasi dan kebolehdayaan komersial dan keputusan penangguhan penerbitan buat sementara waktu adalah sangat sukar untuk dibuat.
"Keputusan ini sangat sukar diambil, tetapi terpaksa dilakukan kerana persekitaran kewangan yang mencabar bukan sahaja dihadapi oleh The Malaysian Insight tetapi juga jenama media lain,” katanya lagi.
The Malaysian Insight yang ditubuhkan pada 31 Mac 2017, terdahulu itu dikenali sebagai The Malaysian Insider, memulakan operasinya pada awal 2007.
Pada Jun 2014, portal media itu telah diambil alih oleh The Edge Media Group, yang menerbitkan laporan berita kewangan secara mingguan di Malaysia dan Singapura.
The Malaysian Insider sering menarik perhatian kerajaan kerana laporannya yang didakwa sentiasa mengkritik pentadbiran Barisan Nasional dan Perdana Menteri Najib Razak yang memerintah terutamanya dalam skandal rasuah dana negara yang sarat hutang, 1Malaysia Development Berhad [1MDB].
Pada 25 Feb 2016, pihak berkuasa Malaysia telah mengambil tindakan menyekat akses kepada The Malaysian Insider di negara itu, iaitu sehari selepas portal berkenaan menyiarkan laporan yang berjudul “Cukup Bukti Dakwa Najib Isu SRC International, kata panel SPRM” yang antara lain menyebut mengenai adanya bukti yang boleh dipercayai untuk mendakwa Najib yang mempunyai kaitan dengan skandal 1MDB.
Pada hari yang sama, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia SKMM berkata, tindakan menyekat laman web portal berita itu diambil berikutan aduan daripada orang ramai bahawa laman web tersebut telah menyiarkan kandungan yang boleh membawa kesalahan dibawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Lepas lebih sebulan ianya disekat, pada 14 Mac 2016, The Malaysian Insider mengambil keputusan untuk menamatkan penerbitan kerana masalah kewangan walaupun Ketua Pegawai Eksekutifnya Jahabar Sadiq mempertahankan kesahihan berita yang disiarkan itu.
Sementara itu, Jahabar juga mengucapkan terima kasih kepada pembaca, wartawan serta semua kakitangan yang setia bersama portal berita itu sejak ianya ditubuhkan.