CEO Malaysiakini Didakwa Hina Peguam Negara Melalui Penyiaran Video
2017.05.15
Kuala Lumpur

Ketua Pegawai Eksekutif portal berita Malaysiakini didakwa di Mahkamah Khas Siber Kuala Lumpur pada Isnin atas pertuduhan menghina Peguam Negara melalui dua siri video yang dimuat naik di laman web video portal itu tahun lalu.
Premesh Chandran mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan ketika dihadapkan ke mahkamah khas itu pada Isnin.
Pertuduhan serupa turut dibacakan terhadap Ketua Pengarang Kumpulan portal berita itu, Steven Gan, pada November tahun lalu. Ketika itu Premesh berada di luar negara dan tidak menerima surat untuk hadir ke mahkamah bagi menghadapi pertuduhan.
Pramesh, yang juga Pengarah portal video KiniTV Sdn Bhd, didakwa membuat dan menyiarkan komunikasi dengan niat mengganggu orang lain melalui penyiaran video sidang media bekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan, Khairuddin Abu Hassan, pada Julai 2016 yang bertajuk “Khairuddin: Apandi tidak layak jadi AG, wajar letak jawatan” yang dimuat naik pada 27 Julai 2016.
Pertuduhan kedua melibatkan penyiaran video sama dalam Bahasa Inggeris dengan tajuk “Khairuddin: Apandi Ali not fit to be AG, he should quit immediately.”
Kedua-dua video telah dilihat di Jabatan Peguam Negara, Putrajaya pada pukul 10 pagi, 2 Ogos tahun sama.
Sejak 2015, beberapa individu dan portal berita dalam talian yang menyiarkan berita mengenai skandal 1Malaysia Development Berhad [1MDB] serta kaitannya dengan Perdana Menteri Najib Abdul Razak telah dikenakan tindakan. Ini termasuk penggantungan selama tiga bulan ke atas akhbar kewangan, The Edge, kerana menyiarkan beberapa laporan mengenai 1MDB.
Prosiding mahkamah pada Isnin menyaksikan Ketua Pendakwaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Mohd Sophian Zakaria,meminta mahkamah menetapkan ikat jamin sebanyak RM10,000 untuk setiap pertuduhan.
Bon peribadi
Bagaimanapun Hakim Zaman Mohd Noor memerintahkan tertuduh membayar bon peribadi sebanyak RM2,000 untuk setiap pertuduhan selepas peguam Premesh, Fahri Azzat, memberitahu mahkamah anak guamnya telah pulang dari London semata-mata untuk didakwa di mahkamah.
Hakim Zaman juga memutuskan Premesh tidak perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan menetapkan 15 Jun depan untuk sebutan semula kes.
Premesh dan Steven didakwa mengikut Seksyen 244 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang berkaitan penggunaan kedudukan mereka sebagai pengarah KiniTV untuk memuat naik video itu dalam talian.
Mereka berdepan hukuman maksimum denda RM50,000 atau penjara setahun, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Denda RM1,000 sehari juga boleh dikenakan untuk setiap hari sepanjang tempoh kesalahan itu dilakukan sehinggalah tarikh sabitan.
KiniTV Sdn Bhd pula berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 233(1)(a) akta sama iaitu berkaitan penyalahgunaan kemudahan jaringan. Hukuman sama diperuntuk bagi kesalahan ini.
Menurut Malaysiakini, peguam yang mewakili portal itu akan memfailkan permohonan bagi mencabar pertuduhan itu daripada aspek perundangan dalam tempoh dua minggu.
Sementara itu, kumpulan hak asasi manusia Human Rights Watch (HRW) melabelkan pendakwaan tersebut sebagai tindakan rejim diktator.
"Pendakwaan terhadap Malaysiakini adalah pencabulan serius kebebasan akhbar dan menunjukkan ciri diktator Perdana Menteri Najib Razak dan kerajaannya yang semakin menebal.
"Dengan hak menyalahgunakan undang-undang, hujah-hujah yang mengarut dan mahkamah siber khas, Malaysia nampaknya mahu menamatkan persekitaran berita dalam talian yang meriah dan pelbagai serta berkembang subur kerana kawalan dan penapisan akhbar dan tv media arus perdana kerajaan," kata Timbalan Pengarah HRW Asia, Phil Robertson, dalam satu kenyataan pada November lepas.