Mahkamah Tetapkan 13 Julai Dengar Kes Portal Berita Malaysiakini
2020.07.02
Kuala Lumpur, Malaysia

Mahkamah Persekutuan Malaysia memerintahkan supaya satu pendengaran bagi kes menghina mahkamah terhadap portal berita Malaysiakini dan ketua pengarangnya dimulakan pada 13 Julai ini dengan perintah itu disampaikan sendiri oleh Presiden Mahkamah Rayuan Malaysia, Hakim Rohana Yusuf pada Khamis.
Rohana yang mengetuai barisan panel tujuh hakim menolak permohonan Malaysiakini dan Ketua Pengarangnya Steven Gan bagi mengenepikan kes terhadap portal berkenaan.
Prosiding berkenaan dibuat setelah Peguam Negara Idrus Harun pada 15 Jun lalu memfailkan satu permohonan secara ex-parte di mahkamah berkenaan, untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan tindakan terhadap Malaysiakini berkaitan lima komen oleh pembaca-pembacanya yang disiarkan dalam laman berkenaan pada 9 Jun lepas.
"Berdasarkan kepada fakta-fakta (yang disebutkan), antara lain, kami berpandangan bahawa responden telah menerbitkan komen-komen yang tidak berasas dan prima fasi telah ditunjukkan dalam kes ini.
"Kami juga berpandangan bahawa, berdasarkan Seksyen 114A Akta Keterangan 1950, para responden dianggap sebagai telah menerbitkan komen-komen berkenaan. Anggapan itu adalah sesuatu yang boleh disanggah," kata Rohana ketika membacakan keputusan panel hakim berkenaan.
Selain Rohana, panel tersebut dianggotai oleh Ketua Hakim Mahkamah Tinggi Malaya Azahar Mohamed; Ketua Hakim Sabah dan Sarawak Abang Iskandar Abang Hashim; dan empat orang Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Mohd Zawawi Salleh, Nallini Pathmanathan, Vernon Ong Lam Kiat dan Abdul Rahman Sebli.
Malaysiakini.com adalah sebuah laman yang menggelarkan dirinya sebagai sebuah portal berita bebas dari sebarang pengaruh.
Ini adalah kali pertama portal berkenaan didakwa menghina mahkamah sejak ia mula beroperasi 20 tahun lalu, namum pernah beberapa kali menjadi sasaran siasatan pihak berkuasa dan kerajaan Malaysia serta dilihat sebagai entiti yang tidak mesra kerajaan semasa era pemerintahan Barisan Nasional.
Berdasarkan dokumen mahkamah, prosiding penghinaan terhadap Malaysiakini itu dibuat atas penyiaran lima komen yang bersifat menghina sistem kehakiman negara dimana kesemua komen tersebut telah diposkan oleh beberapa pembaca Malaysiakini di ruangan komen sebuah artikel berbahasa Inggeris pada 9 Jun bertajuk “CJ orders all courts to be fully operational from July 1” [Ketua Hakim Arahkan Semua Mahkamah Beroperasi Sepenuhnya Mulai 1 Julai].
Rohana berkata semua pihak terlibat tidak dibenarkan membuat sebarang komen mengenai prosiding berkenaan sehingga kes selesai bagi mengelakkan kesalahan sub-judice.
Sebelum mahkamah itu membuat keputusan, pada sebelah pagi, wakil kedua-dua pihak telah membuat hujahan masing-masing di hadapan panel hakim mengenai permohonan pengenepian kes berkenaan.
Peguam Malik Imtiaz Sarwar yang mewakili Malaysiakini dan Gan dalam hujahan beliau telah memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya tidak boleh dipersalahkan diatas komen yang diposkan oleh pembaca.
Tambah beliau, laman Malaysiakini menerima lebih daripada 2,000 komen setiap hari dan sistem yang digunakan hanya menapis perkataan-perkataan tidak senonoh secara automatik.
Bagi komen lain, Malaysiakini bergantung kepada makluman daripada pembaca sebelum mengambil tindakan.
Selain itu, tambah Malik, undang-undang Malaysia tidak mengkehendaki laman web untuk menapis komen pembaca sebelum ia diposkan, dan tindakan hanya boleh diambil selepas ia dimuatnaik pembaca.
"Responden tidak terlibat dalam memuatnaik komen-komen berkenaan. Dan responden juga tidak mengetahuinya," kata peguam berkenaan, seperti dilaporkan media tempatan.
Malik juga menambah bahawa Malaysiakini telah memadamkan kesemua komen berkenaan secepat mungkin setelah dimaklumkan mengenainya oleh pihak polis.
Selain itu, beliau juga menyuarakan isu prosiding berkenaan dimulakan di Mahkamah Persekutuan, dan mendakwa ianya akan menidakkan peluang anak guamnya untuk sebarang rayuan.
Untuk rekod, sistem kehakiman Malaysia membenarkan rayuan dua-peringkat (two-tier appeal), di mana sebarang keputusan dibuat mahkamah lebih rendah boleh dirayu sebanyak dua kali kepada mahkamah lebih tinggi. Dalam sistem itu, Mahkamah Persekutuan adalah yang paling tinggi.
Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan yang mewakili Peguam Negara pula berhujah bahawa laman portal Malaysiakini dianggap telah memudahkan penerbitan komen-komen oleh pembaca dan oleh itu perlu dipertanggungjawabkan.
Menurut beliau, Malaysiakini juga sepatutnya membuang komen berkenaan sebaik sahaja ia dimuatnaik dan bukannya mengambil masa empat hari iaitu pada 12 Jun untuk memadamkannya.
"Malaysiakini juga sepatutnya boleh mengupah wakil untuk memantau ruangan komen," kata Suzana.
Mengenai isu prosiding dimulakan terus di Mahkamah Persekutuan, Peguam kerajaan itu memberitahu mahkamah bahawa ia adalah mahkamah yang tepat untuk membicarakan kes berkenaan kerana komen-komen yang dibuat membabitkan badan kehakiman tertinggi negara.
Kes beri impak besar
Gan ketika ditemui pemberita sebelum mahkamah bermula berkata bahawa mereka berharap dapat mengenepikan prosiding berkenaan kerana keputusan mahkamah akan memberi kesan besar kepada Malaysiakini dan juga media lain termasuk jutaan pengguna media sosial.
"Ini kerana mereka akan dipertanggungjawabkan bukan hanya ke atas kandungan yang mereka muatnaik ke laman Facebook dan sebagainya, tetapi juga ke atas komen-komen oleh pembaca, walaupun setelah ia diturunkan," kata Gan.
Pusat Untuk Kebebasan Kewartawanan (CIJ) dalam satu kenyataan menyelar tindakan Peguam Negara yang dilihat sebagai cubaan kerajaan untuk menekan kebebasan media di Malaysia.
"Sebagai pemerhati media, kami bersama bersolidariti dengan Malaysiakini dan mengecam sekeras-kerasnya cubaan kerajaan untuk mengintimidasi serta menekan kebebasan media di Malaysia," kata kenyataan yang dikeluarkan itu pada Khamis.
CIJ menambah kebebasan ekspresi dan bersuara adalah hak asasi untuk mencari dan bertukar idea, pendapat dan informasi yang membolehkan orang ramai membentuk pendapat mereka sendiri dan membenarkan perbezaan pendapat atau pendapat lain terutamanya berkenaan isu yang dekat dengan rakyat.
Presiden Parti Keadilan Rakyat Anwar Ibrahim dalam satu kenyataan yang dikeluarkan malam Khamis menegaskan peranan media dalam sistem demokrasi adalah amat penting maka kerajaan harus memperlihatkan etika dan tatacara terbaik.
“Media berfungsi sebagai ejen penting dalam menyebarkan maklumat. Justeru, saya melihat apa saja bentuk hukuman kepada mereka sebagai bertentangan dengan semangat demokrasi dan negara hukum,” kata Anwar.
Beliau menambah bahawa ianya adalah salah dan keterlaluan untuk menjadikan media sebagai mangsa.
“Saya menggesa Peguam Negara untuk mengkaji semula tindakan tersebut kerana ia akan memberi kesan kepada imej dan reputasi Malaysia di mata dunia,” kata Anwar lagi.