Polis Siasat Ketua Pengarang Berita Malaysiakini Bawah Akta Hasutan

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Kedah mengesahkan siasatan terhadap Gan dan seorang Ahli Parlimen DAP dibawah akta yang sama setelah menerima laporan polis.
Noah Lee & Hadi Azmi
Kuala Lumpur
2021-02-22
Share
Polis Siasat Ketua Pengarang Berita Malaysiakini Bawah Akta Hasutan Ketua Pengarang portal berita Malaysiakini, Steven Gan semasa ditemui media di luar ruang mahkamah selepas keputusan dibacakan di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya, 19 Februari, 2021.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Malaysia pada Isnin memberitahu yang pihak berkuasa negara itu telah melancarkan siasatan ke atas Ketua Pengarang portal Malaysiakini di bawah Akta Hasutan, selepas mendapat laporan polis berhubung satu kenyataan yang dibuat wartawan itu yang mengkritik keputusan Mahkamah Persekutuan apabila portal berkenaan didapati bersalah menghina mahkamah berhubung lima komen pembaca yang mengutuk institusi kehakiman.

Polis DiRaja Malaysia (PDRM) turut memberitahu yang kertas siasatan ke atas seorang ahli parlimen berkaitan isu yang sama juga telah dibuka, selepas menerima dua laporan polis daripada seorang individu pada Ahad.

"Pihak polis telah menerima dua laporan polis yang dibuat seorang individu terhadap Steven Gan dan YB (Yang Berhormat) Charles Santiago. Kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia," kata Ketua Polis Daerah Kuala Muda Adzli Abu Shah kepada BeritaBenar ketika dihubungi pada Isnin.

Beliau merujuk kepada Gan, yang merupakan Ketua Pengarang Malaysiakini, dan Santiago yang merupakan ahli parlimen Klang dari parti pembangkang Parti Tindakan Demokratik (DAP).

Seksyen 4(1) Akta Hasutan merujuk kepada kesalahan melakukan perbuatan menghasut, yang mana jika didapati bersalah, seseorang boleh dihukum denda maksima sebanyak RM5,000 (AS$1,237) atau tiga tahun penjara, atau kedua-duanya sekali, bagi kesalahan pertama kali. Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia pula merujuk kepada kesalahan menggunakan kemudahan rangkaian telekomunikasi dengan tidak wajar.

Menurut pegawai polis itu, siasatan dijalankan selepas mereka menerima laporan dari seorang wakil sebuah NGO, dan mereka akan memanggil Gan dan Santiago bagi membantu siasatan. Beliau bagaimanapun tidak menamakan NGO terbabit.

Berdasarkan salinan laporan polis berkenaan, yang dimuatnaik seorang ahli akademik ke laman Facebook pada Isnin, individu itu melaporkan kepada pihak berkuasa mengenai kenyataan dibuat oleh Gan and Santiago yang dilaporkan media susulan keputusan Mahkamah Persekutuan pada Jumaat lalu yang mendapati Malaysiakini bersalah atas kesalahan menghina mahkamah.

Keputusan bersalah itu dibuat oleh majoriti enam dari keseluruhan tujuh hakim kes berkenaan, berdasarkan lima komen yang dimuatnaik pembaca Malaysiakini ke dalam portal itu tahun lepas dengan mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM500,000 (AS$123,793) ke atas Malaysiakini.

Panel hakim itu bagaimanapun membebaskan Gan daripada pertuduhan yang sama, dan menyatakan bahawa mereka berpuas hati bahawa Gan tidak mempunyai sebarang peranan dalam membantu pembaca dalam memuatnaik komen mereka.

Dalam respon beliau sebaik sahaja keputusan berkenaan diumumkan, Gan telah memberitahu media ketika ditemui di luar mahkamah bahawa beliau berasakan bahawa denda yang besar itu adalah usaha untuk bukan sahaja menghukum tetapi untuk menutup Malaysiakini.

"Saya rasa keputusan yang dibuat terhadap kami dan denda besar yang telah dijatuhkan terhadap kami mungkin merupakan usaha untuk tidak hanya menghukum kami tetapi menutup kami.

"Saya sangat kecewa. Jenayah apa yang dilakukan oleh Malaysiakini sehingga kami terpaksa membayar RM500,000 apabila ada individu yang dituduh menyalahgunakan kuasa berjuta-juta dan berbilion masih bebas?," persoal Gan.

Sementara itu, Santiago pula dilaporkan telah memuatnaik status di laman sosial Facebooknya pada hari yang sama, di mana beliau berkata denda dikenakan mahkamah itu "bukan menghukum tetapi bersifat membalas dendam (vindictive)".

"Ia menimbulkan persoalan mengenai kebebasan institusi kehakiman dan memberi amaran kepada kita supaya tidak bersuara. Keputusan ini amat mengejutkan dan merupakan satu pukulan kepada kebebasan media dan kebebasan bersuara," tambah Santiago.

Sedia beri kerjasama

Santiago pada Isnin menyatakan kesediaan beliau untuk bekerjasama dengan polis dalam siasatan tersebut, tetapi menegaskan bahawa beliau hanya menggunakan hak sebagai rakyat kepada kebebasan bersuara.

"Ia adalah penting untuk diperhatikan bahawa Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan memberikan saya sebagai seorang rakyat hak untuk bersuara dan berekspresi dengan bebas. Oleh itu, saya hanya mempraktikkan hak asasi saya.

"Dan dalam kes ini, saya sepatutnya berhak untuk mengeluarkan pandangan serta kekhuatiran mengenai keputusan (mahkamah) tanpa ada sebarang ketakutan mengenai menghina mahkamah atau laporan polis dibuat ke atas saya, seperti yang berlaku ini," kata Santiago dalam satu kenyataan di laman Facebook.

Beliau turut merujuk kepada keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut yang tidak sebulat suara, di mana seorang hakim di dalam panel telah membuat keputusan berbeza.

"Juga adalah penting untuk diingat bahawa keputusan-keputusan Mahkamah Persekutuan sebelum ini pernah diubah dan sebagai seorang penggubal undang-undang, saya mempunyai tanggungjawab untuk bersuara," tambah beliau.

Gan tidak memberikan sebarang respon apabila dihubungi BeritaBenar.

Sementara itu, seorang peguam jenayah Mohd Hafiz Zainol Abidin ketika dihubungi pada Isnin berkata interpretasi Akta Hasutan adalah agak umum, dan ia menyatakan bahawa kesalahan hasutan berlaku sekiranya apa-apa ucapan, perbuatan atau penulisan menjurus kepada mencetuskan kebencian serta rasa tidak puas hati.

Ditanya mengenai pandangan beliau samada ucapan oleh Gan dan Santiago mempunyai elemen seperti itu, beliau berkata: "Kalau diikutkan ada (elemen hasutan)."

"Kerana ia nampak seperti cuba menaikkan emosi," kata Hafiz, yang merupakan rakan kongsi firma guaman Messrs Hafiz, Zabir dan Rezal.

Komen (0)

Lihat semua komen.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh