Suspek Pengeboman Bali Akan Dihadapkan di Mahkamah Selepas 15 Tahun Ditahan di Gitmo

Warganegara Indonesia, Hambali, dan dua rakyat Malaysia akan dihadapkan di mahkamah Teluk Guantanamo pada 30 Ogos untuk mendengar pertuduhan berkaitan keganasan.
Shailaja Neelakantan
Washington
2021-08-27
Share
Suspek Pengeboman Bali Akan Dihadapkan di Mahkamah Selepas 15 Tahun Ditahan di Gitmo Anggota polis Indonesia memeriksa mayat-mayat selepas kejadian letupan di sebuah kelab malam di Kuta, di pulau Bali, Indonesia, 13 Oktober 2002.
[Reuters]

Tiga suspek pengeboman Bali 2002 termasuk "Osama Asia Tenggara" akhirnya akan dihadapkan di mahkamah pada Isnin ini selepas 15 tahun ditahan dalam penjara tentera Amerika Syarikat (AS) di Teluk Guantánamo, Cuba.

Buat pertama kalinya, media Amerika Syarikat akan melihat ketiga-tiga tahanan itu - dua rakyat Malaysia dan seorang warganegara Indonesia - sejak mereka ditahan di penjara yang terkenal itu.

Seorang penganalisis menyatakan bahawa perbicaraan mereka akan menyerlahkan semula dakwaan penderaan dan penyeksaan di Gitmo serta memberi gambaran buruk terhadap Washington, terutamanya sejurus selepas Taliban mengambil alih semula Afghanistan.

Meskipun begitu, prosiding itu akan memberi tumpuan kepada kejadian pengeboman di Bali dan di Jakarta pada 2002-2003 - yang menyebabkan 214 orang terbunuh. Ini kerana, seperti yang diperjelaskan oleh jurucakap Pejabat Suruhanjaya Tentera, pihak pendakwaan akan membacakan pertuduhan keganasan terhadap ketiga-tiga suspek itu semasa mereka berada dalam mahkamah.

"Tertuduh tidak pernah dilihat sejak bertahun-tahun lamanya, kecuali oleh peguam bela mereka," kata jurucakap Ron Flesvig kepada BenarNews, yang merujuk kepada Hambali, warganegara Indonesia yang dipercayai menjadi dalang pengeboman Bali, serta dua rakyat Malaysia itu.

Pada prosiding pendakwaan itu, ketiga-tiga tertuduh sepatutnya membuat pengakuan mereka – sama ada bersalah atau tidak bersalah - tetapi seseorang tertuduh boleh meminta penangguhan berbuat demikian jika hakim membenarkannya, kata beliau.

"Tertuduh juga boleh mengetepikan hak untuk mendengar pertuduhan itu, tetapi pihak pendakwaan akan tetap membacakannya," kata Flesvig.

Pertuduhan itu termasuklah konspirasi - pihak pendakwa raya mendakwa bahawa kesemua tertuduh bersubahat dengan pemimpin al-Qaeda, Osama bin Laden, serta yang lain untuk melakukan serangan pengganas di seluruh Asia Tenggara dan di tempat-tempat lain. Hambali dikatakan telah bertemu Osama pada 1996 di Afghanistan, kata AS.

Hambali, yang nama sebenarnya Encep Nurjaman, ditangkap di Thailand pada Ogos 2003 bersama-sama dua rakyat Malaysia itu, Mohammad Nazir Lep dan Mohd Farik Bin Amin. Mereka dihantar ke rangkaian penjara rahsia CIA sebelum dipindahkan ke penjara di Teluk Guantanamo pada September 2006.

Hambali, yang turut dikenali sebagai "Osama Asia Tenggara," menghadapi lapan pertuduhan pengganas yang berkaitan dengan pengeboman Bali manakala dua rakyat Malaysia itu menghadapi sembilan pertuduhan. Kesemua pertuduhan itu tidak membawa hukuman mati.

210827-MY-Gitmo-Inside1.jpg

Seorang pelancong duduk di tapak peringatan bagi memperingati mereka yang terkorban dalam pengeboman Bali 2002, yang dibina di lokasi Paddy's Pub yang musnah dalam kejadian itu, di Jalan Legian, Kuta, Bali, 24 November 2008. [Reuters]

Hambali ‘sangat pintar, kreatif dan berkarisma’

Pendakwaan terhadap suspek pengeboman Bali itu diadakan pada masa yang buruk bagi Indonesia dan Malaysia, kata Zachary Abuza, pakar keselamatan Asia Tenggara dan profesor di National War College di Washington.

Pengambilalihan Afghanistan oleh Taliban boleh mencetuskan kembali semangat militan di Asia Tenggara dan jika Hambali dihantar pulang ke Indonesia - bergantung kepada bagaimana dia membuat pengakuannya - Jakarta pasti "tidak mahukan masalah itu," kata Abuza.

Suspek Indonesia itu dipercayai dalang operasi untuk Jemaah Islamiyah (JI), sebuah kumpulan militan Asia Tenggara yang bersekutu dengan al-Qaeda, kata AS.

Dan, JI kini kembali bangkit di Indonesia, kata Abuza.

"Mereka bimbang dengan perkembangan JI - jika anda membawa pulang ketua operasi JI ke negara itu, ia akan mencetuskan semangat kepada komuniti [militan]," kata Abuza kepada BenarNews.

"Idea untuk menunjukkan seseorang yang bangkit menentang dan dilayani dengan amat buruk oleh orang Amerika, berpotensi memanfaatkan pihak militan. Dia [Hambali] adalah contoh yang melambangkan kegigihan dalam perjuangan menentang kafir, ”katanya, yang merujuk kepada layanan terhadap tahanan di Gitmo.

Nasir Abbas, bekas anggota JI di Indonesia, bersetuju dengan pendapat Abuza.

Hambali adalah "insan yang sangat pintar, kreatif dan berkarisma, oleh itu, orang mudah terpengaruh dengannya," kata Nasir, yang kini bekerjasama dengan polis dalam usaha-usaha deradikalisasi, kepada BenarNews.

“Dia berjaya bertahan di Guantanamo selama ini. ... seperti yang anda tahu, tidak mudah menjadi tahanan di Guantanamo. Ini dikira sebagai mata faedah bagi kalangan pejuang jihad.”

Nasir berkata beliau mengenali Hambali ketika mereka berlatih di sebuah akademi tentera di Afghanistan. AS menyatakan bahawa Hambali turut berperang menentang tentera Soviet di Afghanistan pada 1986-1987.

210827-MY-Gitmo-Inside-Hambali.jpg

Encep Nurjaman, yang juga dikenali sebagai Hambali, dilihat dalam foto tanpa tarikh ini, yang disediakan oleh Pejabat Peguam Bela Awam Persekutuan di pangkalan AS di Teluk Guantanamo, Cuba. [Pejabat Peguam Bela Awam Persekutuan melalui AP]

Kes AS terhadap tertuduh umpama ‘mimpi buruk’

Beberapa pegawai Indonesia telah menyatakan pada 2016 bahawa sekiranya Hambali dibebaskan, mereka keberatan menerima kepulangannya kerana bimbang ia boleh mencetus kebangkitan semula sel pengganas domestik.

Nampaknya, mereka masih mempunyai tanggapan yang sama.

Ketika BenarNews bertanya tentang prospek perbicaraan kes Hambali, Teuku Faizasyah yang merupakan jurucakap Kementerian Luar Negeri Indonesia, mendakwa suspek itu bukan rakyat Indonesia.

Bagi rakyat Malaysia itu pula, Abuza berkata mereka "sememangnya bersedia untuk menghadapi” saat tersebut.

"Kedua-dua rakyat Malaysia [di Gitmo] itu tetap yakin dan amat komited ... mereka benar-benar tegar," kata Abuza, memetik maklumat yang diperolehnya daripada pegawai Malaysia yang bertemu dengan kedua-dua tertuduh itu di Gitmo.

"Malaysia telah memantau perkara ini dan menjangka yang pihak Amerika akan melakukan sesuatu."

Ketua Cawangan Khas Bahagian Counter Terrorism Polis Diraja Malaysia, Normah Ishak, mengulangi apa yang diperkatakannya pada Januari: bahawa perbicaraan itu akan memberi peluang kepada tertuduh untuk membela diri.

Ketika ditanya sama ada kedua-dua rakyat Malaysia itu perlu pulang ke negara itu, beliau tidak menjawab "ya" atau "tidak."

Beliau hanya memberitahu BenarNews bahawa "sebagai rakyat Malaysia, mereka berhak untuk pulang."

Abuza berkata beliau terkejut ketika mendengar pemakluman mengenai tarikh pendakwaan itu buat pertama kalinya pada Januari lalu.

"Saya yakin tawaran berkaitan bentuk pengakuan telah dicapai .... bagaimana Amerika dapat tampil hebat daripada tindakan ini? ” katanya.

Menurut penganalisis itu, yang merupakan penyumbang artikel kepada BenarNews, kes terhadap ketiga-tiga tertuduh itu adalah umpama "mimpi buruk" jika dilihat daripada perspektif perundangan. Semua maklumat yang diperoleh daripada proses soal siasat tertuduh adalah meragukan, katanya, berikutan dakwaan berlakunya penyeksaan di Gitmo.

"Itulah sebabnya saya begitu yakin bahawa adanya suatu bentuk perjanjian di mana Hambali mengaku bersalah bagi beberapa pertuduhan dan dihantar pulang ke Indonesia, mungkin setelah menjalani hukuman penjara."

Tria Dianti di Jakarta serta Muzliza Mustafa dan Noah Lee di Kuala Lumpur, turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh