Malaysia Sekat Laman Web The Malaysian Insider

Hata Wahari
2016.02.25
Kuala Lumpur
160225-my-block-620 Notis yang dikeluarkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia apabila pengguna di Malaysia hendak log masuk ke laman web portal berita 'The Malaysian Insider' di Kuala Lumpur, 25 Feb 2016.
BeritaBenar

Kerajaan Malaysia telah menyekat laman web berita popular, The Malaysian Insider, dipercayai berikutan laporannya yang mendakwa bahawa terdapat bukti yang cukup untuk mendakwa Perdana Menteri Najib Razak berhubung skandal dakwaan rasuah dan salah urus dana negara yang dibebani hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB)

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia SKMM, dalam satu kenyataan ringkas tiga perenggan yang dikeluarkan pada Khamis berkata, tindakan itu diambil berikutan aduan daripada orang ramai bahawa laman web tersebut telah menyiarkan kandungan yang menjurus kepada kesalahan dibawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Kenyataan itu bagaimanapun, tidak memperincikan laporan yang mana didakwa menyalahi Akta berkenaan.

Rakyat Malaysia yang cuba untuk log masuk ke jurnal dalam talian itu, disambut dengan mesej yang memberitahu "laman web ini tidak boleh didapati di Malaysia kerana ia melanggar undang-undang negara."

Perkara itu disahkan sendiri oleh Pengarang dan Ketua Pegawai Eksekutif The Malaysian Insider, Jahabar Sadiq kepada BeritaBenar melalui mesej aplikasi Whatsapp yang menyatakan Ketua Pegawai, Sektor Keselamatan Rangkaian, Penguatkuasaan dan Advokasi SKMM Zulkarnain Mohd Yasin mengesahkan kepadanya bahawa portal tersebut telah disekat.

“Ini merupakan satu kejutan yang tidak menyenangkan dan kami sedang menunggu penjelasan daripada SKMM, malahan kami tidak menerima sebarang notis dari agensi itu mengenai sebarang pelanggaran undang-undang di Malaysia,’’ katanya kepada BeritaBenar pada Khamis.

'Siar laporan’

The Malaysian Insider awal pagi Khamis telah menyiarkan laporan berjudul “Cukup Bukti Dakwa Najib Isu SRC International, kata panel SPRM” yang melaporkan terdapat bukti untuk mendakwa Perdana Menteri Najib Razak dalam satu skandal kewangan membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Laporan yang disiarkan itu antara lain berkata, keputusan PPO SPRM supaya dua kertas siasatan membabitkan SRC International diserahkan semula kepada peguam negara kerana terdapat bukti untuk mendakwa perdana menteri kata seorang ahli panel, yang enggan namanya didedahkan.

Dalam satu kenyataan SPRM pada Rabu berkata, bahawa panel bebas itu, telah meminta agensi berkenaan membuka semula siasatan terhadap sumbangan kontroversi yang telah didepositkan ke dalam akaun bank peribadi Najib, walaupun Peguam Negara Apandi Ali telah mengarahkan kes berkenaan ditutup.

Kurang daripada 24 jam berita itu disiarkan, dua ahli PPO tampil menafikan mereka adalah pemberi maklumat kepada The Malaysian Insider itu serta tidak mempunyai kaitan dengan sumber berita berkenaan.

“Kami juga ingin menegaskan bahawa tidak dalam satu ketika pun PPO menyatakan 'terdapat bukti kukuh untuk mendakwa Najib mengenai SRC' seperti didakwa dalam berita tersebut," kata Pengerusi PPO Hamid Bugo dan seorang ahli panel Mohamed Jawhar Hassan dalam satu kenyataan bersama.

Hamid dan Jawhar juga berkata mereka tidak mengeluarkan sebarang kenyataan bahawa "terdapat bukti kredible untuk membuktikan kes prima facie keatas Najib."

Hamid bagaimanapun mengaku bahawa PPO telah menasihatkan SPRM untuk menyelesaikan siasatan mereka tetapi menegaskan tidak sesekali menasihatkan suruhanjaya itu mengeluarkan kenyataan awam dalam isu tersebut.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Abu Kassim Mohamed berkata, “Berkaitan dengan siasatan SRC International dan dana RM2.6 bilion, SPRM mengambil maklum nasihat dan syor yang diberi oleh PPO dalam mesyuarat yang ke-29 panel itu semalam.

“Kenyataan yang dikeluarkan oleh SPRM diharap tidak disalah tafsir sebagai satu tindakan mencabar kuasa Peguam Negara,” katanya dalam satu kenyataan pada lewat Khamis.

Abu Kassim bagaimanapun menegaskan kuasa pendakwaan sebagaimana Perkara 145(3) Perlembagaan Perserkutuan kuasa pendakwaan adalah dibawah Peguam Negara.

‘Kedua disekat’


Penyekatan laman web The Malaysia Insider oleh SKMM adalah yang kedua dilakukan oleh suruhanjaya itu selepas Asia Sentinel, sebuah laman web berita asing yang menyiarkan laporan mempersoalkan asas kepada keputusan kerajaan untuk tidak meneruskan sebarang pertuduhan berkaitan skandal rasuah melibatkan Perdana Menteri, pada hujung Januari lepas.

Julai lepas, sebuah lagi laman web berita The Sarawak Report yang berpangkalan di Britain, telah disekat oleh pihak berkuasa Malaysia kerana dikatakan mampu mengganggu-gugat kestabilan negara, malahan Medium.com yang menyiar berita laman berkenaan turut disekat.

Perdana Menteri, semasa mula menerajui tampuk pemerintahan negara pernah berjanji akan memberi lebih kebebasan dan keterbukaan untuk bersuara.

Sebilangan pembaca yang mendapati laman berita itu tidak boleh diakses telah memaklumkan cara alternatif untuk log masuk, manakala mereka yang menggunakkan syarikat telekomunikasi milik kerajaan iaitu Celcom dan Unifi (Telekom Malaysia) tidak boleh melayarinya dan pengguna dari syarikat swasta seperti Maxis masih dapat mengakses laman web berita itu.

Dalam pada itu, SKMM dalam kenyataan yang dikeluarkan itu jugak memberi peringatan terhadap laman portal berita lain supaya tidak menyebarkan atau menyiarkan artikel yang tidak ditentukan kesahihannya, kerana, tindakan itu boleh mengundang kekeliruan dan mencetuskan situasi yang tidak diingini.

‘Tiada kebebasan bersuara’

Mengulas mengenai sekatan SKMM itu, Centre of Independent Journalism (CIJ) dalam satu kenyataan berkata, rakyat Malaysia perlu mengambil berat dengan peningkatan kes-kes sekatan Internet oleh kerajaan sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Katanya, sekatan pada Khamis amat membimbangkan dan menunjukkan masa depan yang lebih sukar bagi kebebasan bersuara dan maklumat di Malaysia.

“Ini jelas adalah satu serangan terhadap kebebasan media, kebebasan maklumat dan janji Malaysia untuk internet yang bebas,” kata badan itu dalam kenyataan berkenaan.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.