Malaysia Tahan Diplomat Maldives
2015.10.30
Seorang diplomat dari Maldives bersama empat rakan senegaranya ditahan kerana dipercayai terlibat dalam rancangan untuk membunuh Presiden negara itu, kata Polis Malaysia.
Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar berkata, diplomat berusia 47 tahun yang bertugas sebagai ‘duta pelaburan’ di pejabat Kedutaan Maldives di Kuala Lumpur ditahan bersama dua lelaki dan dua perempuan di sebuah kondominum di ibu negara pada Rabu lepas.
“Suspek (diplomat) itu disyaki terlibat dalam rancangan untuk membunuh Presiden Maldives, Abdulla Yameen, pada 28 September lepas,” kata Khalid dalam satu kenyataan yang dikeluarkan lewat petang Jumaat.
Beliau berkata selepas dua hari ditahan, keempat-empat warga Maldives yang berusia antara 28 dan 38 tahun bersama diplomat berkenaan, dihantar pulang pada Jumaat.
Dalam kejadian pada 28 September lepas, Abdulla terselamat dalam cubaan untuk membunuhnya apabila bot laju yang dinaiki bersama isteri dan anaknya meletup ketika menghampiri pelabuhan di Male, ibu negara Maldives.
Kesemua mereka dalam perjalanan pulang ke negara itu selepas mengerjakan haji di Arab Saudi. Isteri dan anak beliau serta dua pembantunya mengalami kecederaan dalam nahas tersebut.
Khalid berkata, operasi khas oleh Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Polis Bukit Aman dengan kerjasama pihak berkuasa Maldives, telah membawa kepada kesemua penangkapan di Kuala Lumpur.
Tambah beliau, kesemua suspek ditangkap di bawah Akta Imigresen dan telah diserahkan kepada pihak berkuasa Maldives untuk dibawa pulang ke negara itu.
'Sahkan tangkapan'
Dalam pada itu, agensi berita Reuters melaporkan, Kementerian Luar Maldives mengesahkan penangkapan pegawai berkenaan berkaitan dengan siasatan letupan bom pada 28 September lepas.
Kementerian Luar negara itu juga mengenalpasti diplomat berkenaan sebagai Hamid Ismail, yang bertugas sebagai ‘duta pelaburan’ bagi negara kepulauan di selatan India yang terkenal dengan resort pelancongannya.
Naib Presiden Maldives, Ahmed Adeed telah ditahan pada Sabtu lepas oleh pihak berkuasa negara itu kerana dipercayai terlibat dalam cubaan membunuh Abdulla manakala Menteri Pertahanan Moosa Ali Jaleel dipecat pada pertengahan Oktober.
Tentera dan polis kini meningkatkan kawalan keselamatan di Male sebagai langkah berjaga-jaga, ekoran penahanan Adeed.
Sebuah suruhanjaya yang menyiasat letupan itu, berkata dalam satu kenyataan pada Khamis, bahawa penyiasat Arab Saudi telah melaporkan bahawa mereka menemui kesan-kesan RDX iaitu bahan kimia yang dikenal pasti sebagai C4, satu bahan letupan utama untuk membuat bom.
Abdulla, 59, telah mengenakan tindakan keras ke atas mereka yang mempunyai perbezaan politik, termasuk menangkap Presiden pertama negara itu yang dipilih secara demokrasi, Mohamed Nasheed. Langkah tersebut telah mencetuskan demonstrasi jalanan di Maldives.
Nasheed dijatuhi hukuman penjara 13 tahun kerana didakwa terlibat dengan keganasan, lantas menimbulkan bantahan di peringkat antarabangsa.
Menteri Luar Maldives Dunya Maumoon menafikan pada Selasa bahawa politik pembangkang cuba menjatuhkan Abdulla, sambil berkata pergerakkan beliau sendiri kini dipantau.