Malaysia dan Maldives Jalin Kerjasama Kongsi Maklumat Ekstremisme
2016.03.30
Putrajaya

Malaysia dan Maldives akan menjalinkan kerjasama melalui perkongsian maklumat dan risikan dalam menangani keganasan, jenayah rentas sempadan dan ekstremisme termasuk kumpulan militan Islam Negeri (IS), kata pemimpin tertinggi kedua-dua negara dalam satu pertemuan di Putrajaya.
Presiden Maldives Abdulla Yameen Abdul Gayoom yang dalam rangka lawatan rasmi dua hari ke Malaysia bertemu Perdana Menteri Najib Razak di pusat pentadbiran negara berkenaan pada Rabu.
Dalam satu sidang media bersama, kerajaan kedua-dua negara yang majoritinya beragama Islam itu, bersatu menolak keganasan dengan meminta semua negara membawa pesalahnya ke muka pengadilan.
"Kami juga merakamkan kutukan kuat keatas Islamophobia dan keganasan dalam segala bentuk serta manifestasinya," kata Najib pada sidang media berasa Abdulla itu seperti dilaporkan media tempatan.
Lawatan Abdulla adalah yang pertama baginya selepas mengambil alih jawatan Presiden negara itu pada 2013.
Sementara itu, Pengarah Cawangan Khas Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Mohamad Fuzi Harun berkata kepada BeritaBenar, persefahaman semula dan segar antara kedua-dua negara pasti akan meningkatkan keupayaan kolektif.
"Malaysia mempunyai sejarah kerjasama dengan Maldives. Dari segi memerangi keganasan, kami sudahpun mempunyai usaha-sama jangka panjang dengan pihak berkuasa negara itu, mengulas mengenai kerjasama memerangi keganasan,” katanya pada Rabu.
Beliau berkata, pembaruan perjanjian mengenai isu memerangi keganasan memberi manfaat kepada kedua-dua negara dan ianya bukan sahaja masalah dalam negeri, sebaliknya banyak negara serantau dan global menghadapi isu serius itu.
Empat puluh rakyat Maldives telah mengembara ke Timur Tengah untuk menyertai IS, kata Setiausaha negara di kepulauan Lautan Hindi itu, Ali Naseer Mohamed seperti dilaporkan berkata.
Maldives sebuah negara paling kecil di Asia itu mempunyai penduduk seramai 350 ribu orang yang hampir kesemuanya beragama Islam.
Sementara itu, Abdulla menyifatkan perbincangannya dengan Najib sebagai "satu kejayaan" kerana beberapa isu serantau dan antarabangsa telah dibangkitkan pada pertemuan itu, serta pelabur Malaysia juga telah dijemput untuk menjalankan perniagaan di Maldives terutamanya dalam bidang pembinaan, perhotelan dan pelancongan.
Beliau berkata, Maldives telah menikmati hubungan baik dengan Malaysia sejak 48 tahun.
Malaysia pada minggu lepas menahan lima belas orang termasuk seorang anggota polis kerana dipercayai terlibat dalam kumpulan militan IS dan merancang serangan di negara itu.
Tangkapan terbaru melonjakkan jumlah yang ditahan kepada 177 orang ditahan kerana disyaki mempunyai hubungan dengan IS.