Malindo: Malaysia-Indonesia Tingkatkan Latihan Perangi Keganasan

Fadzil Aziz
2017.07.25
Kuala Lumpur
170725-my-malindo620.jpg Panglima Angkatan Tentera Malaysai Jeneral Raja Mohamed Affandi dan Jeneral Gatot ketika sidang HLC Malindo di Kuala Lumpur.
[Ihsan Angkatan Tentera Malaysia]

Angkatan Tentera Malaysia dan Indonesia yang mengakhiri sidang jawatankuasa tertinggi pada Selasa bersetuju meningkatkan usaha serta latihan ketenteraan secara bersama selepas berjaya memperincikan kaedah terhadap usaha itu dalam memerangi ancaman keganasan bagi kedua-dua negara.

Sidang Jawatankuasa Peringkat Tinggi Malaysia-Indonesia Ke-13 (HLC Malindo) yang berlangsung di Kuala Lumpur sejak 17 Julai lepas dan berakhir hari ini telah membincangkan latihan ketenteraan bersama serta kaedah paling sesuai untuk memastikan sempadan udara, darat dan air kedua-dua negara berada di tahap terbaik.

"Kedua-dua negara bersepakat meningkatkan lagi latihan bersama dalam mewujudkan situasi aman dan kondusif untuk bekerjasama," kata Panglima Tentera Nasional Indonesia (TNI) Jeneral Gatot Nurmantyo dalam satu kenyataan ringkas diedarkan oleh unit media Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kepada BeritaBenar.

Sementara itu, Panglima ATM  Jeneral Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor berkata sidang itu juga turut memperhalusi kaedah yang bakal diguna pakai dalam latihan di sempadan.

"HLC secara tidak langsungnya memperkukuhkan hubungan antara dua negara melalui keselamatan bersama," katanya.

Semangat persahabatan


Sidang HLC telah wujud sejak Perjanjian Malaysia dan Indonesia (MALINDO) pada 1972 dan dihoskan secara bergilir-gilir antara Malaysia dan Indonesia.

Persidangan itu dipengerusikan secara bersama oleh Raja Mohamed Affandi selaku Pengerusi HLC Malaysia dan Gatot selaku Pengerusi HLC Indonesia.

Gatot pada Khamis lalu memberitahu Malaysia dan Indonesia berkongsi musuh yang sama iaitu ancaman pengganas dan kedua-dua negara perlu bersepakat untuk menentangnya.

“Maka itulah, angkatan bersenjata (pasukan tentera) masing-masing perlu bekerjasama” katanya dalam sidang media pada Khamis.di Hotel Royal Chulan, Kuala Lumpur tadi.

Sementara itu, kerajaan Malaysia pada minggu lalu telah menganugerahkan darjah Panglima Gagah Angkatan Tentera (PGAT) kepada Gatot bagi mengiktiraf peranannya selaku penggerak utama dalam operasi di kawasan perbatasan antara TNI dan ATM.

Malaysia dan Indonesia masing-masing telah mengalami serangan keganasan Negara Islam (IS) pada tahun ini dan tahun lepas dan Filipina sedang bertempur dengan kumpulan itu di bandar Marawi, Selatan Filipina.

Tiga anggota polis maut di luar terminal bas yang sibuk di kawasan Jakarta  dan dua orang yang disyaki pengebom turut terbunuh manakala 10 lagi cedera dalam serangan pengganas pada bulan Mei lalu.

Pada Januari 2016, kumpulan IS menyerang bandar Jakarta di mana tujuh orang, termasuk lima suspek dan dua orang awam, iaitu seorang warga Kanada dan seorang lagi rakyat tempatan, disahkan maut.

Manakala 24 orang lagi dilaporkan cedera, termasuk lima anggota polis, empat warga asing (Jerman, Austria, Algeria dan Belanda) dan 15 rakyat tempatan apabila sekumpulan suspek militan melancarkan serangan bunuh diri di kawasan membeli-belah di pusat bandar Jakarta.

Penyerang berkenaan dilaporkan menyasarkan kedai kopi Starbucks untuk meletupkan bom dan menembak orang ramai.

Pada Jun 2016 Malaysia menjadi sasaran serangan pengganas apabila sebutir bom tangan dilemparkan ke arah kelab malam Movida yang mencederakan lapan orang.

Dua lelaki tempatan mengaku bersalah melakukan serangan berhampiran Kuala Lumpur itu, dan telah dijatuhkan hukuman penjara selama 25 tahun setiap seorang.

Muhammad Wanndy Bin Mohamed Jedi, perekrut prolifik bagi IS di Malaysia, yang berpangkalan di Syria, sebelum beliau terbunuh dalam satu serangan pesawat ‘drone’ di Syria bulan lepas, mengaku bertanggungjawab terhadap serangan di kelab berkenaan.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.